Kencing berbuih boleh disebabkan oleh banyak perkara. Sekiranya sekali-sekala anda mendapati bahawa kencing anda berbuih, maka itu adalah perkara normal. Ia mungkin disebabkan kelajuan air kencing.
Namun, jika anda sering mengalami kencing berbuih dan semakin lama semakin jelas, maka anda mungkin mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengannya.
Selain itu, terdapat beberapa perkara lain yang anda perlu turut perhatikan. Contohnya seperti gejala-gejala lain yang turut berlaku semasa anda sering mengalami kencing berbuih.
Bagi membantu anda mendapatkan maklumat yang lebih jelas, artikel ini akan menerangkan punca-punca yang menyebabkan kencing berbuih, gejala-gejala lain yang berkaitan dan bagaimana untuk merawat masalah ini.
Apakah Punca Kencing Berbuih?
Air kencing berbuih yang berlaku sekali-sekala biasanya disebabkan kelajuan air kencing yang menyebabkan ia kelihatan berbuih. Kelajuan tersebut boleh menyebabkan buih sementara.
Selain itu, kandungan sabun atau larutan produk pencuci di dalam mangkuk tandas juga boleh menjadi penyebab kepada air kencing berbuih.
Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa masalah kesihatan yang boleh menyebabkan buih atau kencing berbuih.
Antaranya adalah:
1. Dehidrasi
Dehidrasi: Apabila anda mengalami dehidrasi, air kencing akan menjadi lebih gelap dan pekat daripada biasa. Ini disebabkan anda tidak meminum air yang mencukupi yang diperlukan untuk mencairkan protein di dalam air kencing.
Protein mempunyai ciri-ciri surfaktan iaitu ciri-ciri sebatian yang boleh mengurangkan tegangan antara cecair atau cecair dan gas. Ini bermakna ia boleh memerangkap poket gas pada permukaan cecair dan menghasilkan buih.
Sekiranya kandungan protein tinggi dalam air kencing, ia boleh menyebabkan buih ketika dikumuhkan. [1]
2. Penyakit Buah Pinggang
Sekiranya anda sering mengalami kencing berbuih walaupun anda kekal terhidrat, ia mungkin petanda kepada gejala yang dipanggil proteinuria iaitu protein di dalam air kencing.
Ini adalah gejala awal kepada penyakit buah pinggang. Sekiranya seseorang itu mengalami penyakit buah pinggang, protein boleh bocor daripada buah pinggang dan masuk ke dalam air kencing.
Albumin adalah protein yang terdapat di dalam darah. Buah pinggang yang normal tidak membenarkan sejumlah besar protein ini masuk ke dalam air kencing manakala buah pinggang yang rosak boleh berbuat demikian.
3. Penyakit Kencing Manis (Diabetes)
Diabetes dan punca lain yang menyebabkan paras gula darah tinggi boleh mengakibatkan tahap albumin yang lebih tinggi melalui buah pinggang. Ini boleh mengakibatkan air kencing berbuih.
Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa kerosakan pada saluran darah kecil pada buah pinggang dan sistem penapisan akibat nefropati diabetes boleh membenarkan protein masuk ke dalam air kencing dengan lebih bebas. Ini boleh mengakibatkan proteinuria dan seterusnya air kencing berbuih. [2]
4. Ubat Jangkitan Saluran Kencing
Ubat yang digunakan untuk merawat kesakitan akibat jangkitan saluran kencing iaitu phenazopyridine boleh menyebabkan kencing berbuih.
Walau bagaimanapun, ia jarang-jarang berlaku.
Adakah Ada Gejala-gejala Lain yang Berlaku Bersama-sama Kencing Berbuih?
Sekiranya kencing berbuih disebabkan oleh masalah kesihatan, terdapat beberapa gejala yang mungkin turut sama-sama berlaku.
Contohnya:
Penyakit buah pinggang:
- Bengkak di kaki, tangan, muka dan abdomen (perut)
- Kulit menjadi gatal-gatal
- Kerap kencing
- Loya dan muntah
- Sukar bernafas
- Kelesuan yang tidak dapat dijelaskan
- Hilang selera makan atau turun berat badan
- Sukar untuk tidur (insomnia)
Penyakit kencing manis (diabetes):
- Penglihatan kabur
- Mulut kering
- Sentiasa rasa dahaga
- Kerap kencing
- Rasa lapar yang tidak dapat dijelaskan
- Kulit menjadi gatal-gatal
- Kelesuan yang tidak dapat dijelaskan
Bagaimana Kencing Berbuih Dirawat?
Rawatan untuk air kencing berbuih bergantung kepada puncanya. Jika air kencing anda pekat, minum lebih banyak air dan cecair lain akan melegakan dehidrasi dan menghentikan buih.
Sekiranya diabetes adalah punca sebenar, doktor mungkin menetapkan ubat oral atau suntikan insulin untuk mengurangkan paras gula dalam darah.
Di samping itu, seseorang mungkin perlu memeriksa paras gula darah mereka dengan kerap untuk memastikan bahawa mereka berada dalam julat yang boleh diterima.
Sekiranya penyakit buah pinggang adalah punca sebenar, doktor mungkin menetapkan ubat yang bersesuai serta mengesyorkan anda untuk membuat perubahan gaya hidup yang positif seperti:
- Mengamalkan diet yang sihat dan rendah garam
- Mengawal tekanan darah tinggi
- Mengawal paras gula darah
- Sentiasa bersenam atau melakukan aktiviti fizikal
- Berhenti merokok atau menghisap vape
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda mengalami kencing berbuih, anda harus mempertimbangkan punca yang paling mungkin terlebih dahulu. Ia termasuk membuang air kecil dengan aliran yang kuat, mengalami dehidrasi, dan terdapat sabun atau produk pembersih lain di dalam mangkuk tandas.
Namun, sekiranya kencing berbuih ini diikuti dengan gejala-gejala lain atau berlaku secara berterusan selama beberapa hari, anda perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut.
Rujukan
- Khitan, Z. J., & Glassock, R. J. (2019). Foamy Urine: Is This a Sign of Kidney Disease?. Clinical journal of the American Society of Nephrology.
- Ioannou K. (2017). Diabetic nephropathy: is it always there? Assumptions, weaknesses and pitfalls in the diagnosis. Hormones.
- Bökenkamp A. (2020). Proteinuria-take a closer look!. Pediatric nephrology.
- Centers for Disease Control and Prevention. Diabetes symptoms.
- National Kidney Foundation. (2020). 10 Signs You May Have Kidney Disease.