Pesakit buah pinggang memerlukan bentuk pemakanan yang berbeza daripada orang biasa yang sihat. Makanan untuk pesakit buah pinggang ini bertujuan untuk membantu menguruskan penyakit buah pinggang dan mencegah buah pinggang daripada terus rosak.
Buah pinggang adalah organ yang bertanggungjawab untuk menapis sisa, merembeskan hormon yang mengawal tekanan darah, mengimbangi cecair dalam badan, menghasilkan air kencing dan tugasan-tugasan yang lain.
Pantang larang pemakanan ini bergantung kepada tahap kerosakan buah pinggang yang dialami oleh pesakit. Sebagai contoh, mereka yang mengalami penyakit buah pinggang peringkat awal mempunyai pantang larang yang berbeza dengan mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang atau turut dikenali sebagai penyakit renal peringkat akhir.
Secara umumnya, diet untuk pesakit buah pinggang boleh dibahagikan kepada dua iaitu makanan untuk semua pesakit buah pinggang dan makanan untuk pesakit kegagalan buah pinggang.
Makanan untuk Semua Pesakit Buah Pinggang
1. Makan Makanan yang Kurang dengan Garam dan Natrium (Sodium)
Semua pesakit buah pinggang perlu mengurangkan pengambilan garam dan natrium (sodium). Natrium boleh dijumpai dalam banyak makanan dan merupakan komponen utama kepada garam.
Buah pinggang yang rosak tidak dapat menapis keluar natrium yang berlebihan dan kesannya ia menyebabkan tekanan darah meningkat.
Pemakanan harian pesakit buah pinggang perlu mengandungi kurang daripada 2,000 miligram natrium sehari. [1]
Beberapa panduan yang boleh diamalkan oleh pesakit buah pinggang adalah:
- Sentiasa membeli makanan segar berbanding makanan yang telah dimasak.
- Masak sendiri makanan berbanding membeli makanan yang telah disediakan seperti makanan segera, makanan sejuk beku atau makanan dalam tin.
- Gunakan rempah, herba atau perisa yang bebas sodium.
- Semak kandungan natrium (sodium) pada label makanan. Nilai harian (daily value) bagi natrium (sodium) yang melebihi 20% adalah bermaksud makanan tersebut tinggi dengan natrium.
- Bilas makanan di dalam tin sebelum memakannya.
Antara makanan-makanan yang rendah natrium (sodium):
- Nasi
- Ubi kentang
- Peha ayam
- Dada ayam
- Kubis bunga
- Buah beri biru
- Buah anggur merah
- Ikan siakap
- Bawang putih
- Bawang besar
- Minyak zaitun
- Kubis
- Cendawan shiitake
2. Makan Jenis dan Jumlah Protein yang Betul
Pemilihan jenis protein dan pemakanan jumlah protein yang betul penting untuk membantu melindungi buah pinggang. Apabila badan menggunakan protein, ia akan menghasilkan sisa. Buah pinggang akan membuang sisa ini.
Sekiranya anda memakan protein pada jumlah yang banyak, buah pinggang anda terpaksa bekerja dengan lebih kuat.
Panduan pemakanan protein yang boleh diamalkan oleh pesakit buah pinggang:
- Makan makanan protein pada jumlah yang kecil.
- Protein terkandung di dalam makanan berasaskan haiwan dan tumbuhan.
- Bagi daging lembu, daging ayam atau ikan yang dimasak, hidangan sebanyak 57 gram hingga 85 gram sudah mencukupi.
- Bagi produk tenusu seperti susu atau yogurt, hidangan sebanyak 1/2 cawan sudah mencukupi.
- Bagi keju, satu hirisan sudah mencukupi.
- Bagi kekacang (legum), jumlah hidangan yang sesuai adalah sebanyak 1/2 cawan.
- Bagi kacang (nuts), jumlah hidangan sesuai adalah sebanyak 1/4 cawan.
3. Makan Makanan yang Baik untuk Kesihatan Jantung
Pemilihan makanan yang baik untuk kesihatan jantung ini penting bagi mencegah pengumpulan lemak dalam saluran darah, jantung dan buah pinggang.
Panduan untuk memilih dan memasak makanan yang baik untuk kesihatan jantung adalah:
- Masak makanan dengan kaedah mengril, merebus, panggang atau goreng kilas berbanding menggoreng.
- Gunakan minyak zaitun berbanding mentega.
- Potong bahagian lemak daripada daging merah dan buang kulit pada daging ayam atau itik.
- Hadkan pengambilan lemak tepu dan elakkan lemak trans.
Antara makanan-makanan yang baik untuk kesihatan jantung adalah:
- Sayur-sayuran berdaun hijau
- Bijirin penuh
- Buah beri
- Daging pejal (tanpa lemak)
- Ikan
- Susu rendah lemak
- Kekacang dan legum
Makanan untuk Pesakit Kegagalan Buah Pinggang
Bagi pesakit buah pinggang yang mengalami kegagalan buah pinggang, golongan ini harus mengurangkan pengambilan fosforus dan kalium dalam makanan mereka.
4. Makan Makanan yang Rendah Fosforus (Phosphorus)
Buah pinggang yang rosak tidak boleh membuang fosforus yang berlebihan. Paras fosforus yang tinggi boleh merosakkan badan kerana fosforus yang terlalu banyak dalam darah akan menarik kalsium daripada tulang. Keadaan ini menyebabkan tulang menjadi nipis, lemah dan senang untuk patah.
Paras fosforus yang tinggi dalam darah juga boleh menyebabkan kulit menjadi gatal dan kesakitan pada tulang dan sendi.
Oleh itu, pengambilan fosforus harus dihadkan kepada kurang daripada 800-1000 miligram sehari. [2]
Antara makanan-makanan yang rendah fosforus adalah:
- Nasi
- Roti
- Pasta
- Buah-buahan segar
- Sayur-sayuran segar
- Bijirin jagung
- Telur
- Bawang putih
- Bawang besar
- Susu badam
5. Makan Makanan yang Rendah Kalium (Potassium)
Mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang berisiko menyebabkan pengumpulan kalium (potassium) yang terlalu tinggi di dalam darah. Keadaan ini boleh menyebabkan masalah jantung yang serius.
Selain mengamalkan diet yang rendah dengan kalium, beberapa panduan yang boleh diikuti oleh pesakit kegagalan buah pinggang adalah membuang air yang terkandung di dalam buah atau sayuran di dalam tin dan sentiasa membaca label makanan bagi mengelakkan makanan yang mengandungi pengganti garam. Pengganti garam tinggi dengan kandungan kalium.
Pesakit juga disarankan untuk mengehadkan pengambilan kalium kepada kurang daripada 2,000 miligram sehari. [3]
Antara makanan-makanan yang rendah kalium adalah:
- Epal
- Pic
- Lobak merah
- Nasi putih
- Roti putih
- Pasta
- Jus epal
- Jus anggur
- Jus kranberi
- Nanas
- Tembikai
- Manga
- Betik
- Kailan
- Terung
- Rebung (dalam tin)
- Kubis bunga
Jauhi Alkohol
Minum alkohol terlalu banyak boleh merosakkan hati, jantung dan otak serta menyebabkan masalah kesihatan yang serius. Justeru itu, elakkan daripada meminum minuman beralkohol.
Rujukan
- Humalda, J. K., & Navis, G. (2014). Dietary sodium restriction: a neglected therapeutic opportunity in chronic kidney disease. Current opinion in nephrology and hypertension.
- González-Parra, E. et al. (2012). Phosphorus and nutrition in chronic kidney disease. International journal of nephrology.
- Kovesdy C. P. (2014). Management of hyperkalaemia in chronic kidney disease. Nature reviews. Nephrology.
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. (n.d.). Eating Right for Chronic Kidney Disease.