Kurap adalah sejenis penyakit kulit yang diakibatkan oleh jangkitan kulat jenis dermatophyte. Dalam istilah perubatan , kurap dikenali tinea corporis, dermatophytosis atau jangkitan dermatophyte. Manakala dalam bahasa Inggeris pula, ia dikenali sebagai ringworm walaupun ia tidak berkaitan dengan jangkitan cacing.
Jangkitan kulat ini boleh berlaku secara sentuhan iaitu melalui:
- Sentuhan dengan tanah dimana kulat ini dipercayai hidup pada jangka masa yang lama di dalam tanah sebagai spora.
- Sentuhan dengan manusia atau haiwan yang telah dijangkiti kulat ini.
- Sentuhan terhadap objek yang mempunyai kulat di atasnya. Contohnya seperti pakaian, tuala mandi, cadar dan alat mainan atau sukan.
Jangkitan juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain akibat individu tersebut menggaru dengan kuku jari yang telah dijangkiti.
Punca atau Penyebab Kurap
Terdapat 3 jenis kulat yang biasanya menyebabkan kurap iaitu Trichophyton, Microsporum dan Epidermophyton.
Trichophyton menyebabkan jangkitan pada kulit, rambut dan kuku. Microsporum pula menyebabkan jangkitan pada kulit dan rambut dan Epidermophyton menyebabkan jangkitan pada kulit dan kuku.
Terdapat beberapa jenis atau bentuk jangkitan kurap yang dikenali dengan beberapa nama iaitu:
- Tinea capitis: Jangkitan dikulit kepala. Ia menyebabkan tompok-tompok bersisik dan gatal. Selalu terjadi kepada kanak-kanak.
- Tinea corporis: Jangkitan kurap di badan. Kelihatan seperti tompok-tompok yang mempunyai bentuk lingkaran merah dan gatal.
- Tinea cruris: Turut dikenali sebagai Jock itch. Jangkitan kurap pada bahagian kelengkang, peha dan punggung. Selalunya terjadi kepada lelaki dewasa dan remaja lelaki.
- Tinea pedis: Turut dikenali sebagai kaki atlet. Jangkitan kurap pada kaki.
- Tinea barbae: Jangkitan yang berlaku di bahagian jambang.
- Tinea faciei: Jangkitan yang berlaku di bahagian muka. Jangkitan di bahagian ini jarang sekali berbentuk gelang. Selalunya bertompok merah dan bersisik.
- Tinea manuum: Jangkitan di tapak tangan atau antara jari. Selalunya jangkitan ini menyebabkan penebalan lapisan kulit luar (hiperkeratosis).
- Tinea unguium: Jangkitan di kuku jari tangan atau kaki. Jangkitan ini menyebabkan kuku menjadi putih atau kuning, tebal, legap dan rapuh. Jangkitan kulat jenis ini juga turut dipanggil onychomycosis.
Simptom-simptom Kurap
Simptom-simptom atau tanda-tanda jangkitan kurap adalah seperti berikut:
- Tompok kemerah-merahan yang berupa seperti lingkaran atau gelang yang bersisik atau berbintik-bintik merah.
- Rasa gatal-gatal.
- Lingkaran atau gelang kemerah-merahan ini membesar atau berkembang.
- Bahagian dalam lingkaran atau gelang bersisik atau mengandungi bintik-bintik merah.
- Rambut gugur (jika jangkitan di kulit kepala).
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, kurap ini boleh membesar dan merebak ke seluruh badan. Walaupun penyakit kulit ini jarang menyebabkan penyakit yang serius tetapi bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, mereka sukar untuk sembuh.
Selain itu, kadang-kadang kurap juga sukar untuk dibezakan dengan beberapa penyakit kulit yang lain seperti psoriasis, urticaria, ekzema diskoid, penyakit Bowen, kusta dan sifilis sekunder kerana bentuknya yang hampir sama.
Rawatan Kurap
Rawatan untuk kurap biasanya bergantung kepada lokasi jangkitan dan tahap keterukan jangkitan yang berlaku.
Ubat-ubatan
Bagi jangkitan di badan, kelengkang dan kaki, ubat sapuan dalam bentuk krim atau gel yang boleh dibeli di farmasi boleh digunakan untuk merawat kurap ini.
Ubat antikulat belian kaunter ini mengandungi bahan-bahan seperti:
- Clotrimazole
- Miconazole (jenama Zaricort)
- Terbinafine
- Ketoconazole
Kebiasaannya, anda perlu menggunakan ubat ini dalam masa 2 hingga 4 minggu bagi memastikan kulat ini betul-betul mati.
Anda juga harus memakai ubat antikulat ini beberapa hari selepas simptom-simptom kurap ini tidak lagi kelihatan bagi memastikan kulat ini benar-benar mati dan tidak berulang kembali.
Bagi jangkitan di kulit kepala atau kuku, ubat yang lebih kuat (ubat preskripsi) mungkin diperlukan. Selalunya memerlukan ubat antikulat jenis makan (oral) kerana ubat sapuan tidak berkesan untuk jangkitan di kulit kepala.
Ubat antikulat yang digunakan untuk merawat kurap di kulit kepala adalah seperti berikut:
- Griseofulvin
- Terbinafine
- Intraconazole
- Fluconazole
Harus diingat bahawa ubat-ubat antikulat yang dipreskripsi ini mempunyai kesan sampingan tertentu dan boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain.
Oleh itu, pastikan anda memperolehi ubat ini daripada doktor bertauliah.
Pelarasan gaya hidup
Selain ubat-ubatan, mereka yang dijangkiti juga harus mengambil langkah-langkah berikut bagi menangani jangkitan kulat ini.
- Pastikan kawasan yang dijangkiti sentiasa bersih dan kering.
- Basuh cadar, pakaian dan tuala yang dipakai secara kerap (setiap hari).
- Pakai pakaian yang longgar.
Petua Menghilangkan Kurap (Rawatan Dirumah)
Terdapat juga petua-petua orang terdahulu yang boleh digunakan untuk merawat penyakit kurap ini.
Antaranya termasuklah:
1. Cuka epal
Rendamkan kapas ke dalam cuka epal dan sapukan ke kawasan yang dijangkiti 3 kali sehari.
2. Kunyit
Campurkan serbuk kunyit dengan air untuk dijadikan pes. Sapukan pes ini di kawasan yang dijangkiti dan biarkan sehingga kering.
3. Minyak kelapa
Minyak kelapa dipercayai boleh merawat jangkitan kulit yang sederhana dan ringan. Selain itu, minyak kelapa juga boleh digunakan untuk melembapkan kulit dan mencegah jangkitan kulat.
Untuk menggunakannya, sapukan minyak kelapa ini di kawasan yang dijangkiti sebanyak 3 kali sehari.
4. Minyak pati tea tree
Minyak pati tea tree popular digunakan oleh masyrakat di Australia untuk merawat jangkitan kulat ini.
Bagi mereka yang tidak mempunyai kulit sensitif, boleh menggunakan minyak pati ini terus ke bahagian yang dijangkiti.
Manakala bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, cairkan terlebih dahulu minyak pati tea tree ini dengan mencampurkan 12 titis minyak pati ini dengan 28 gram minyak pembawa (carrier oil) seperti minyak kelapa atau minyak zaitun. Sapukan di tempat yang dijangkiti 3 kali sehari.
5. Aloe vera
Aloe vera juga mempunyai sifat-sifat antikulat dan antibakteria.
Sapukan gel aloe vera ke tompok-tompok kurap sebanyak 3 kali sehari. Gel aloe vera ini juga mempunyai ciri-ciri penyejukan yang berguna untuk melegakan kegatalan atau bengkak.
Kurap Semasa Kehamilan
Kurap boleh terjadi semasa anda hamil. Secara umumnya, ubat antikulat sapuan boleh digunakan tanpa memberikan apa-apa masalah kepada bayi dalam kandungan.
Antara ubat sapuan yang boleh digunakan adalah:
- Ciclopirox
- Clotrimazole
- Naftifine
- Oxiconazole
- Terbinafine
Namun, untuk ubat antikulat jenis makan (oral), anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambilnya.
Langkah-langkah Pencegahan
Kurap boleh berjangkit melalui banyak cara dan boleh terjadi kepada semua orang. Oleh itu, langkah-langkah pencegahan harus dipraktikan agar tidak dijangkiti kulat ini.
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah:
- Sentiasa pastikan kulit anda sentiasa bersih dan kering.
- Basuh tangan menggunakan sabun dan air yang mengalir setiap kali bermain dengan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
- Disinfeksi dan bersihkan kandang atau kawasan haiwan peliharaan anda.
- Tukar stokin dan seluar dalam setiap hari.
- Pakai kasut yang mempunyai peredaran udara yang baik.
- Potong kuku yang panjang dan pastikan kuku anda sentiasa bersih.
- Jangan berkongsi pakaian, tuala atau cadar dengan individu yang telah dijangkiti kurap.
- Jangan berkaki ayam di kawasan seperti tandas awam atau bilik loker awam.
- Jika anda seorang atlet yang melibatkan sentuhan, mandi segera setiap kali tamat sesi latihan atau perlawanan.
- Jangan berkongsi pakaian atau alatan sukan dengan atlet yang lain.
Kurap Kucing
Kucing adalah haiwan peliharaan yang lebih terdedah kepada jangkitan kurap berbanding haiwan peliharaan lain. Kurap ini boleh berjangkit kepada pemilik haiwan ini atau sesiapa sahaja yang menyentuh kucing yang berkurap ini.
Sekiranya kucing peliharaan anda terkena kurap, anda boleh membawa kucing anda ke klinik haiwan atau membeli ubat kurap untuk kucing.
Sekiranya anda dijangkiti kurap melalui kucing anda, anda boleh merawatnya menggunakan ubat antikulat seperti biasa.
Rumusan
Selain kayap dan kudis buta, kurap juga adalah antara penyakit kulit yang sering menjangkiti manusia.
Ubat antikulat jenis sapuan biasanya sudah memadai untuk merawat jangkitan kulat ini. Namun, bagi jangkitan yang teruk, ubat preskripsi daripada doktor diperlukan untuk merawat penyakit kulit ini.
Rujukan
- Tiada nama. (2020). Ringworm. CDC [diakses pada 27 Disember 2020].
- Elly Dock. (2019). Everything You Want to Know About Ringworm. Healthline [diakses pada 27 Disember 2020].
- Mayo Clinic Staff. (2019). Ringworm (body). Mayo Clinic [diakses pada 27 Disember 2020].
- Sahoo, A. K., & Mahajan, R. (2016). Management of tinea corporis, tinea cruris, and tinea pedis: A comprehensive review. Indian dermatology online journal.
- Jayne Leonard. (2020). Are there any home remedies for ringworm? MedicalNewsToday [diakses pada 27 Disember 2020].
- Surjushe, A., et al. (2008). Aloe vera: a short review. Indian journal of dermatology.