Kurap adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan kulat jenis dermatophyte. Selain kaedah perawatan moden, terdapat juga petua yang boleh menghilangkan kurap yang boleh dilakukan di rumah.
Dalam istilah perubatan kurap dikenali dengan nama tinea corporis, dermatophytosis atau jangkitan dermatophyte. Jangkitan kulat ini boleh berlaku di bahagian badan, leher, tangan dan kaki.
Terdapat beberapa nama yang menggambarkan jangkitan kulat dermatophyte ini di anggota badan seperti kulit kepala (tinea capitis), muka (tinea faciei), tangan (tinea manuum), selangkang (tinea cruris) dan kaki (tinea pedis).
Jangkitan kurap ini boleh berlaku melalui beberapa situasi iaitu:
- Sentuhan antara manusia atau haiwan yang telah dijangkiti kulat ini.
- Sentuhan dengan tanah dimana kulat ini dipercayai hidup pada jangka masa yang lama.
- Sentuhan dengan objek yang mempunyai kulat di atasnya. Contohnya seperti pakaian, tuala mandi, cadar dan alat mainan atau sukan.
Kurap juga boleh merebak pada bahagian anggota badan yang lain jika penghidapnya menggaru-garu dengan kuku jari yang telah dijangkiti.
Artikel ini akan menyenaraikan beberapa petua yang boleh mengurangkan atau menghilangkan kurap berdasarkan amalan orang-orang terdahulu dan kajian.
Selain perubatan konvensional, terdapat juga petua-petua atau rawatan dirumah yang boleh dicuba untuk menghilangkan kurap.
Antaranya termasuklah:
1. Campuran Madu, Minyak Zaitun dan Lilin Lebah
Campuran madu lebah, minyak zaitun dan lilin lebah (beeswax) dengan pengkadaran satu bahagian bagi setiap satu bahan (1: 1: 1) didapati boleh merawat dan menyembuhkan kurap yang berlaku badan dan di selangkang. [1]
2. Kunyit
Kunyit mempunyai banyak khasiat dan manfaat. Salah satu daripadanya adalah mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat.
Kajian mendapati minyak kunyit dan krim yang mengandungi kunyit mempunyai ciri-ciri antikulat terhadap kulat dermatophyte iaitu kulat yang menyebabkan kurap. [2]
Untuk menggunakan kunyit ini, campurkan serbuk kunyit dengan air untuk dijadikan pes. Sapukan pes ini di kawasan yang dijangkiti dan biarkan sehingga kering.
3. Minyak Kelapa
Minyak kelapa dipercayai boleh merawat jangkitan kulit yang sederhana dan ringan. Selain itu, minyak kelapa juga boleh digunakan untuk melembapkan kulit dan mencegah jangkitan kulat.
Terdapat kajian yang mendapati minyak pati kelapa daripada tempurung kelapa mempunyai sifat antikulat terhadap kulat yang menyebabkan kurap. [3]
Untuk menggunakannya, sapukan minyak kelapa ini di kawasan yang dijangkiti sebanyak 3 kali sehari.
4. Minyak Pati Tea Tree
Minyak pati tea tree popular digunakan oleh masyrakat di Australia untuk merawat jangkitan kulat.
Terdapat kajian yang melaporkan minyak tea tree berkesan dalam merawat jangkitan kurap di kaki (tinea pedis). [4]
Bagi mereka yang tidak mempunyai kulit sensitif, boleh menggunakan minyak pati ini terus ke bahagian yang dijangkiti.
Manakala bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, cairkan terlebih dahulu minyak pati tea tree ini dengan mencampurkan 12 titis minyak pati ini dengan 28 gram minyak pembawa (carrier oil) seperti minyak kelapa atau minyak zaitun. Sapukan di tempat yang dijangkiti 3 kali sehari.
5. Aloe Vera
Aloe vera juga mempunyai ciri-ciri antikulat dan antibakteria.
Sapukan gel aloe vera ke tompok-tompok kurap sebanyak 3 kali sehari. Gel aloe vera ini juga mempunyai ciri-ciri penyejukan yang berguna untuk melegakan kegatalan atau bengkak.
Ubat Antikulat Belian Kaunter
Sememangnya rawatan menggunakan bahan semulajadi adalah baik. Tetapi, anda mungkin memerlukan ubat-ubatan yang lebih kuat untuk melawan jangkitan ini.
Ubat belian kaunter jenis sapuan boleh didapati di farmasi-farmasi terdekat untuk merawat kurap ini. Pastikan ubat-ubat ini mengandungi bahan aktif seperti:
- Terbinafine
- Clotrimazole
- Miconazole
Langkah-langkah Pencegahan
Kurap adalah salah satu penyakit kulit yang mudah berjangkit. Penyakit ini agak sukar untuk dicegah.
Meskipun begitu, beberapa langkah berikut boleh membantu mengurangkan risiko kepada jangkitan kulat ini. Antaranya adalah:
- Sentiasa memastikan kulit anda sentiasa bersih dan kering
- Mandi selepas melakukan aktiviti fizikal atau selepas sesi latihan di gimnasium
- Jauhi haiwan seperti kucing atau anjing yang berkurap
- Pakai pakaian bersih
- Jangan berkongsian barangan peribadi seperti tuala, pakaian, pakaian sukan dan sebagainya
- Pakai alas kaki (selipar) setiap kali masuk ke tandas
Rujukan
- Al-Waili N. S. (2004). An alternative treatment for pityriasis versicolor, tinea cruris, tinea corporis and tinea faciei with topical application of honey, olive oil and beeswax mixture: an open pilot study. Complementary therapies in medicine.
- Jankasem, M. et al. (2013). Antidermatophytic Properties of Ar-Turmerone, Turmeric Oil, and Curcuma longa Preparations. ISRN dermatology.
- Khalid Thebo, N. et al. (2016). Antifungal Potential and Antioxidant Efficacy in the Shell Extract of Cocos nucifera (L.) (Arecaceae) against Pathogenic Dermal Mycosis. Medicines (Basel, Switzerland).
- Tong, M. M. et al. (1992). Tea tree oil in the treatment of tinea pedis. The Australasian journal of dermatology.