Kudis buta atau dalam bahasa inggerisnya Scabies adalah keadaan kegatalan pada kulit yang disebabkan oleh kutu yang dikenali sebagai Sarcoptes scabiei. Kutu ini mengorek ke dalam kulit dan menyebabkan kegatalan yang teruk.
Kutu ini boleh tinggal di atas kulit manusia sehingga berbulan-bulan lamanya dan mengorek lubang pada permukaan kulit untuk bertelur. Kemudian telur ini akan menetas mengeluarkan larva dan seterusnya berkembang menjadi nimfa dan kutu dewasa.
Kudis buta sangat mudah untuk berjangkit dan tersebar hanya dengan sentuhan atau melalui perkongsian barangan peribadi serta tempat tidur.
Ahli keluarga atau mereka yang mempunyai sentuhan kulit ke kulit dengan mereka yang telah menghidap kudis buta ini adalah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti.
Gejala-gejala Kudis Buta
Ia boleh mengambil masa sehingga 6 minggu untuk gejala-gejala ini muncul setelah terdedah kepada kudis ini.
Tanda dan gejala yang paling jelas bagi kudis buta ini adalah :
- Gatal-gatal (selalunya teruk terutamanya pada waktu malam).
- Garisan hitam beralun dan pendek pada kulit (kesan korekkan kutu).
- Calar-calar akibat kesan menggaru
- Bintak merah seperti ruam
Kawasan yang biasa dijangkiti oleh kudis buta dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa adalah:
- Celah-celah jari
- ketiak
- sekeliling pinggang
- bahagian dalam pergelangan tangan
- kawasan kemaluan
- siku
- kaki dan buku lali
- punggung
- kawasan pusat
- kawasan payudara
Bagi bayi atau kanak-kanak kecil yang diserang kudis ini, kawasan serangan termasuklah:
- kulit kepala
- tapak tangan
- tapak kaki
Rawatan
Rawatan untuk kudis buta kebiasaannya melibatkan krim atau losyen yang disapu pada kulit.
Selalunya, doktor akan akan arahkan ubat-ubat ini disapu pada waktu malam (bermula waktu maghrib) iaitu waktu kutu Scabicides ini aktif.
Losyen atau ubat-ubat ini harus disapu keseluruh badan bermula dari bawah dagu hingga ke hujung jari-jari kaki. Pastikan kawasan-kawasan yang terlibat termasuklah celah-celah jari, bawah kuku, dan kemaluan turut disapu ubat ini.
Ubat-ubatan ini harus dibiarkan semalam sebelum dibilas keesokkan paginya.
Antara ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat kudis ini adalah:
- Losyen permethrin
- Krim benzene hexachloride
- Losyen malathion
- Losyen benzyl benzoate
- Krim atau losyen crotamiton
Rawatan menggunakan ubat-ubatan ini harus diambil untuk 1 hingga 3 malam berturut-turut mengikut nasihat doktor.
Pakaian dan cadar pula harus dibasuh dengan air panas untuk membunuh kutu ini sekiranya terlekat dipakaian atau cadar.
Petua atau Rawatan Dirumah
1) Minyak atau Sabun Neem
Minyak, sabun atau krim daripada pokok Neem boleh menjadi rawatan alternatif kepada kudis ini.
Komponen aktif dalam pokok Neem ini didapati boleh membunuh kutu Scabicides ini dalam ujian makmal. [1]
2) Minyak tea tree
Minyak tea tree atau turut dikenali sebagai minyak Melaleuca adalah antara ubat sapuan yang boleh digunakan untuk merawat kudis buta.
Satu kajian menunjukkan minyak tea tree adalah pilihan yang menarik untuk merawat kudis buta terutamanya bagi kes-kes yang tidak pulih melalui rawatan biasa. Minyak tea tree mempunyai sifat antibakteria, antiradang, acaricidal (boleh membunuh kutu) dan antipruritik (boleh menghilangkan gatal-gatal). [2]
3) Aloe Vera
Aloe Vera atau lidah buaya ini mempunyai keupayaan untuk meredakan gatal-gatal dan membunuh kutu Scabicides.
Kajian pada tahun 2009 menunjukkan aloe vera mempunyai keupayaan yang sama seperti ubat benzyl benzoate dalam merawat kudis buta. [3]
Peringatan!
Sesetengah ubat atau rawatan tradisional boleh mendatangkan kesan sampingan seperti rasa pedih pada kulit, kemerahan atau bengkak.
Walaupun ia bersifat sementara, namun mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan.
Langkah Pencegahan
Bagi mengelakkan kutu ini kembali menyerang atau menjangkiti orang lain, beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah:
- Bersihkan semua pakaian dan alas tidur. Basuh pakaian, tuala mandi, cadar dan sarung bantal menggunakan air panas dan sabun. Basuh barangan ini sebelum memulakan rawatan.
- Bunuh kutu dengan membuatnya kelaparan. Sekiranya barangan yang digunakan tidak boleh dibasuh, gunakan kaedah mengasingkan barangan tersebut ke dalam plastik yang ditutup dan disimpan di kawasan tertentu selama beberapa minggu. Kutu ini akan mati selepas beberapa hari akibat ketiadaan makanan.
Rujukan
- Chen, Z. Z. et al. (2014). Studies on the acaricidal mechanism of the active components from neem (Azadirachta indica) oil against Sarcoptes scabiei var. cuniculi. Veterinary parasitology.
- Thomas, J. et al.(2016). Therapeutic Potential of Tea Tree Oil for Scabies. The American journal of tropical medicine and hygiene.
- Oyelami, O. A. et al. (2009). Preliminary study of effectiveness of aloe vera in scabies treatment. Phytotherapy research.
- Gilson RL, Crane JS. Scabies. [Updated 2021 Jul 18]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI