Khasiat cuka epal telah menjadi perhatian sejak berdekad lamanya dalam membantu merawat pelbagai masalah kesihatan. Kekurangan kajian-kajian perubatan sebelum ini menyebabkan agak sukar untuk membuktikan khasiat cuka ini.
Kini, banyak kajian telah dijalankan untuk mengetahui khasiat sebenar cuka epal dan manfaat yang boleh diberikan kepada penggunanya.
Cuka epal atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil apple cider vinegar adalah cuka yang dihasilkan menggunakan buah epal yang difermentasi iaitu proses yang menukar gula dalam buah epal ini kepada alkohol dan kemudiannya kepada cuka (asid asetik).
Proses fermentasi epal ini turut menghasilkan sebatian-sebatian bioaktif lain seperti asid galik, katekin, epikatekin, asid kafeik, asid sitrik dan lain-lain lagi.
Cuka epal digunakan untuk mengawet makanan, menambah rasa, menyembuhkan luka, melawan jangkitan dan lain-lain lagi. Baru-baru ini, cuka epal dikatakan berkhasiat untuk membantu menghilangkan berat badan, berfungsi sebagai “detox” atau boleh merendahkan paras gula darah. Sejauh mana kebenarannya?
Oleh itu, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat cuka epal yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian-kajian sains perubatan.
1. Menurunkan Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi kebiasaanya berlaku kepada penghidap diabetes jenis 2 yang berpunca sama ada disebabkan oleh kegagalan menghasilkan insulin atau rintangan kepada insulin.
Cuka epal didapati berkhasiat dalam membantu merendahkan paras gula darah bagi penghidap diabetes jenis 2 (penyakit kencing manis).
Kajian mendapati cuka termasuklah cuka epal mampu menambahbaik kesensitifan insulin bagi penghidap diabetes jenis 2 ketika makan makanan yang tinggi karbohidrat. [1]
Selain itu, kajian terhadap haiwan juga mendapati cuka epal menunjukkan kesan penurunan paras gula darah yang ketara disamping meningkatkan kesan antioksidan bagi mencegah komplikasi diabetes pada buah pinggang dan hati. [2]
2. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Seperti yang dipopularkan, cuka epal juga berkhasiat membantu mengurangkan berat badan dan juga lemak diperut.
Kesan pengurangan berat badan dan lemak di bahagian perut ini dapat dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 39 individu yang obes dan berat berlebihan. Pengambilan 30 ml cuka epal di samping diet rendah kalori boleh mengurangkan berat badan, BMI, ukur lilit pinggul, lemak di perut dan selera makan dengan ketara. [3]
Kajian oleh pengkaji di Jepun juga mendapati pengambilan cuka seperti cuka epal boleh mengurangkan berat badan, BMI, lemak perut, dan ukur lilit pinggang dengan ketara berbanding kumpulan yang tidak mengambil cuka. [4]
3. Merendahkan Paras Kolesterol dan Trigliserida
Paras kolesterol dan trigliserida (lemak) yang tinggi boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk terkena penyakit jantung dan strok.
Pemakanan cuka epal didapati berkhasiat dalam membantu merendahkan paras kolesterol dan trigliserida.
Ini berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Sains Perubatan Tehran yang mendapati diet rendah kalori yang ditambah cuka epal boleh merendahkan paras kolesterol dan trigliserida di samping penurunan berat badan. [3]
Penurunan paras trigliserida dalam darah turut dapat diperhatikan dalam kajian yang dijalankan oleh pengkaji di Jepun. [4]
4. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Khasiat cuka epal turut merangkumi kebolehannya dalam melawan jangkitan bakteria dan kulat.
Terdapat kajian yang mendapati cuka epal mempunyai ciri-ciri antimikrobial dengan mencegah pertumbuhan bakteria seperti E.coli, S.aureus dan kulat Candida albicans. [5]
Bakteria E.coli dan S.aureus adalah bakteria-bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan.
Kulat atau yis Candida albicans pula boleh menyebabkan jangkitan yis pada faraj wanita.
Terdapat laporan kes yang menunjukkan bahawa cuka epal berkesan dalam merawat jangkitan yis pada faraj wanita. [6]
Terdapat juga laporan kes dimana pesakit diabetes jenis 2 mengalami jangkitan kulat Candida di mulut dan penggunaan cuka epal berkesan merawat jangkitan kulat tersebut. [7]
5. Boleh Merawat Masalah Kelemumur
Cuka epal juga dipercayai berkesan dalam merawat masalah kelemumur. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan asid asetik yang dominan dalam cuka epal.
Asid asetik boleh mengubah kadar pH pada kulit kepala yang menyukarkan jangkitan kulat (salah satu penyebab kelemumur). Kelemumur dikategorikan sebagai penyakit ‘seborrheic dermatitis‘ yang ringan.
Satu kajian yang diterbitkan dalam Galen medical Journal mendapati penggunaan bunga herba Althaea officinalis yang digabungkan dengan cuka boleh merawat masalah ‘seborrheic dermatitis.’ [8]
6. Menetapkan Kitaran Haid
Sindrom ovari polisistik (polycystic ovarian syndrome) adalah kondisi hormon yang berkaitan dengan kitaran haid yang tidak teratur, hormon androgen yang tinggi, sista ovari dan rintangan insulin.
Kajian mendapati cuka epal turut mempunyai khasiat dalam merawat atau mengurangkan simptom-simptom penyakit ini.
Satu kajian yang dijalankan di Jepun terhadap 7 orang pesakit sindrom ovari polisistik (PCOS) mendapati pengambilan cuka epal sebanyak 15ml setiap hari selama 3 hingga 4 bulan boleh mengurangkan kadar hormon yang menyebabkan ketidaksuburan dan menetapkan kitaran haid. [9]
7. Membantu Proses Penghadaman
Cuka epal juga sesuai dimakan sebelum anda makan hidangan yang tinggi kandungan protein seperti daging merah.
Ideanya adalah cuka epal ini boleh meningkatkan keasidan dalam perut. Ini akan membantu badan menghasilkan lebih banyak pepsin. Pepsin adalah enzim yang menguraikan protein.
Walaupun tiada kajian khusus terhadap peranan cuka dalam proses penghadaman,terdapat makanan tambahan seperti betaine HCL boleh meningkatkan keasidan dalam perut. [10]
Oleh itu, cuka epal juga mungkin mempunyai kesan yang sama, tetapi lebih banyak kajian diperlukan.
8. Melegakan Sedu
Cuka epal juga berkhasiat dalam membantu melegakan sedu yang berulang-ulang.
Khasiat cuka epal ini dapat dilihat dalam satu laporan perubatan yang mendapati pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi mengalami sedu yang berterusan selama 7 hari walaupun telah diubati dengan beberapa ubat-ubatan yang biasa digunakan untuk merawat sedu.
Masalah sedu ini akhirnya berjaya diatasi dengan menghirup cuka epal. [11]
9. Mengandungi Antioksidan
Khasiat cuka epal yang seterusnya adalah cuka epal turut mempunyai kesan antioksidan.
Antioksidan adalah sebatian yang boleh mencegah atau meneutralkan radikal bebas. Sekiranya tidak dibendung, radikal bebas akan menyebabkan tekanan oksidatif (oxidative stress) yang boleh membawa kepada penyakit-penyakit kronik.
Kajian terhadap haiwan mendapati cuka epal boleh melemahkan tekanan oksidatif yang berpunca daripada obesiti melalui sistem pertahanan antioksidan dan mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan obesiti. [12]
Rumusan
Cuka epal adalah sejenis cuka yang dihasilkan daripada buah epal. Berbeza dengan cuka sintetik (cuka tiruan), cuka epal turut mengandungi sebatian-sebatian bioaktif yang lain selain daripada asid asetik yang mempunyai khasiat tersendiri.
Kajian-kajian menunjukkan khasiat cuka epal boleh membantu menurunkan paras gula darah, membantu mengurangkan berat badan, merendahkan paras kolesterol, melawan jangkitan bakteria dan kulat, merawat masalah kelemumur, menetapkan kitaran haid, membantu proses penghadaman dan melegakan sedu.
Namun begitu, pengguna harus tahu cara minum atau cara penggunaan cuka epal yang betul. Cuka epal yang dijual biasanya berada pada kepekatan yang tinggi, ia harus dicairkan dahulu sebelum diminum atau digunakan secara sapuan bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini.
Rujukan
- Johnston, C. S. et al. (2004). Vinegar improves insulin sensitivity to a high-carbohydrate meal in subjects with insulin resistance or type 2 diabetes. Diabetes care.
- Hmad Halima, B. et al. (2018). Antidiabetic and Antioxidant Effects of Apple Cider Vinegar on Normal and Streptozotocin-Induced Diabetic Rats. International journal for vitamin and nutrition research.
- Khezri, S.S. (2018). Beneficial effects of Apple Cider Vinegar on weight management, Visceral Adiposity Index and lipid profile in overweight or obese subjects receiving restricted calorie diet: A randomized clinical trial. Journal of Functional Foods.
- Kondo, T. et al. (2009). Vinegar intake reduces body weight, body fat mass, and serum triglyceride levels in obese Japanese subjects. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.
- Yagnik, D. et al. (2018). Antimicrobial activity of apple cider vinegar against Escherichia coli, Staphylococcus aureus and Candida albicans; downregulating cytokine and microbial protein expression. Scientific reports.
- Ozen, B., & Baser, M. (2017). Vaginal Candidiasis Infection Treated Using Apple Cider Vinegar: A Case Report. Alternative therapies in health and medicine.
- Shaymaa M. Hassan. (2018). The Effect of Apple Cider Vinegar (ACV) as an Antifungal in a Diabetic Patient (Type II Diabetes ) with Intraoral Candidosis. Int J Dent & Oral Heal.
- Parvizi, M.M. et al. (2017). Successful Treatment of Chronic Scalp Seborrheic Dermatitis Using Traditional Persian Medicine: A Case Report and Literature Review. Galen Medical Journal.
- Wu, D. et al.(2013). Intake of vinegar beverage is associated with restoration of ovulatory function in women with polycystic ovary syndrome. The Tohoku journal of experimental medicine.
- Yago, M. R. et al. (2013). Gastric reacidification with betaine HCl in healthy volunteers with rabeprazole-induced hypochlorhydria. Molecular pharmaceutics.
- Gonella, S., & Gonella, F. (2015). Use of vinegar to relieve persistent hiccups in an advanced cancer patient. Journal of palliative medicine.
- Halima, B. H. et al. (2018). Apple Cider Vinegar Attenuates Oxidative Stress and Reduces the Risk of Obesity in High-Fat-Fed Male Wistar Rats. Journal of medicinal food.