Vitamin B1 atau nama lainnya tiamina adalah vitamin larut air yang lazimnya terdapat dalam banyak makanan harian. Mungkin ramai tidak mengetahui akan kebaikan vitamin B1 dan peranannya terhadap fungsi badan.
Justeru itu, artikel ini menyenaraikan beberapa kebaikan vitamin B1 yang disokong oleh kajian sebagai panduan umum kepada anda.
Vitamin B1 adalah salah satu ahli daripada kumpulan vitamin B kompleks. Vitamin ini membolehkan badan menggunakan karbohidrat sebagai tenaga.
Selain itu, vitamin B1 juga penting untuk pertumbuhan, perkembangan dan fungsi sel-sel dalam badan manusia.

Vitamin B1 adalah vitamin larut air, maka lebihan vitamin B1 tidak disimpan di dalam badan. Sebaliknya, ia akan disingkirkan melalui air kencing.
Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa mendapatkan vitamin B1 melalui makanan harian.
Bagi wanita dan lelaki dewasa di Malaysia, jumlah pengambilan vitamin B1 yang disarankan setiap hari adalah sebanyak 1.1 mg dan 1.2 mg. Bagi kanak-kanak dan remaja pula, jumlah pengambilan yang disyorkan adalah antara 0.5 mg hingga 1.2 mg sehari.
Vitamin B1 boleh dijumpai secara semula jadi dalam banyak makanan dan juga turut digunakan untuk memperkaya sesetengah produk makanan.
Anda boleh mendapatkan vitamin B1 daripada makanan-makanan seperti:
- Bijian penuh seperti roti, bijirin, nasi atau pasta
- Legum seperti kacang soya, kacang hitam dan kacang tanah
- Biji seperti biji teratai atau biji bunga matahari (kuaci)
- Kacang seperti kacang gajus
- Daging lembu
Walaupun badan hanya memerlukan jumlah vitamin B1 yang sedikit, tetapi vitamin ini mempunyai banyak peranan dan kebaikan yang besar terhadap fungsi badan.
Antara kebaikan vitamin B1 adalah seperti berikut:
1. Membantu Meningkatkan Tenaga
Vitamin B1 adalah vitamin yang bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan tenaga kepada badan.
Apabila gula atau karbohidrat bercampur dengan vitamin B1, ia menjadi tenaga untuk digunakan oleh badan.
Vitamin B1 membantu menjadikan proses ini lebih cepat di samping menyokong enzim-enzim yang lain.
2. Baik untuk Penyakit Kencing Manis (Diabetes)
Mendapatkan vitamin B1 yang mencukupi juga penting kepada penghidap diabetes atau penyakit kencing manis.
Satu kajian yang dijalankan terhadap penghidap diabetes neuropati (penyakit kencing manis yang merosakkan saraf) mendapati pengambilan suplemen vitamin B1 pada dos yang tinggi boleh mengurangkan keterukan gejala-gejala neuropati. [1]
Selain itu, kajian lain turut melaporkan bahawa vitamin B1 boleh membantu mencegah pembentukan produk sampingan yang berbahaya hasil daripada metabolisme gula, mengurangkan tekanan oksidatif dan meningkatkan fungsi saluran darah dalam kalangan pesakit diabetes. [2]
3. Boleh Membantu Meningkatkan Ingatan (Memori)
Vitamin B1 juga boleh membantu meningkatkan ingatan atau memori.
Mendapatkan vitamin B1 yang mencukupi setiap hari boleh meningkatkan tumpuan dan ingatan.
Kajian terhadap haiwan pada 2023 menunjukkan bahawa vitamin B1 boleh bertindak sebagai agen yang melindungi sistem saraf termasuklah otak dengan mengurangkan kecacatan atau keabnormalan pada fungsi memori akibat daripada kecederaan otak. [3]
4. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Mendapatkan vitamin B1 juga penting untuk kesihatan jantung dan mengurangkan risiko terhadap kegagalan jantung.
Terdapat kajian yang mendapati bahawa 33% daripada 100 orang pesakit kegagalan jantung kronik mempunyai kekurangan vitamin B1. [4]
Satu kajian semula yang melibatkan 20 kajian mendapati bahawa pengambilan vitamin B1 didapati boleh meningkatkan fungsi jantung bagi pesakit kegagalan jantung. [5]
Selain itu, vitamin B1 juga adalah kunci untuk penghasilan “acetylcholine.” Neurotansmiter atau elemen ini membantu badan menghantar mesej antara saraf dengan otot.
Tanpa komunikasi ini, jantung tidak dapat bekerja dengan betul.
5. Boleh Membantu Melawan Kemurungan
Mengambil suplemen vitamin B1 bersama-sama dengan antidepresan adalah baik untuk kemurungan.
Vitamin B1 membantu meredakan gejala dengan lebih cepat sambil menstabilkan mood anda. Kekurangan vitamin B1 juga telah dikaitkan dengan mood yang rendah.
Satu kajian pada 2016 mendapati bahawa pengambilan vitamin B1 sebagai terapi tambahan kepada antidepresan menambah baik simptom-simptom kemurungan selepas 6 minggu rawatan dan penambahbaikan ini berterusan sehingga akhir kajian. [6]
6. Mencegah Penyakit Beri-beri
Kekurangan vitamin B1 yang teruk boleh menyebabkan penyakit yang dikenali sebagai beri-beri.
Penyakit beri-beri dibahagikan kepada dua iaitu beri-beri basah dan beri-beri kering. Penyakit beri-beri basah menjejaskan sistem kardiovaskular dan boleh menjejaskan jantung.
Penyakit beri-beri kering pula boleh merosakkan sistem saraf pusat yang boleh menyebabkan kebas dan semut-semut, kehilangan otot dan refleks yang lemah.
Penyakit beri-beri boleh dirawat dengan pengambilan suplemen vitamin B1.
7. Berpotensi Mencegah Penyakit Alzheimer
Para penyelidik sedang mengkaji kemungkinan kekurangan vitamin B1 boleh memainkan peranan dalam pembentukan penyakit Alzheimer.
Satu kajian pada 2021 merumuskan bahawa menyediakan suplemen vitamin B1 kepada orang tua yang masih mempunyai kognisi normal tetapi yang mempunyai tanda-tanda penyakit Alzheimer boleh menghalang kemerosotan kognitif dan akhirnya demensia. [7]
Kemerosotan kognitif adalah apabila seseorang menghadapi masalah mengingat, mempelajari perkara baharu, menumpukan perhatian atau membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
Kemerosotan kognitif boleh menjadi salah satu tanda awal kepada penyakit Alzheimer. Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
Interaksi Vitamin B1 dengan Ubat-ubatan
Sesetengah ubat-ubatan boleh berinteraksi dengan vitamin B1. Ubat-ubatan tersebut boleh merendahkan paras vitamin B1 dalam badan.
Contohnya adalah:
- Furosemide: Ubat ini digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dan bengkak akibat cecair berlebihan dalam badan.
- Fluorouracil: Ubat ini digunakan dalam kemoterapi bagi merawat kanser tertentu.
Maklumkan kepada doktor, ahli farmasi dan ahli profesional kesihatan yang lain tentang sebarang suplemen, preskripsi atau ubat-ubatan tanpa preskripsi yang anda ambil.
Rumusan
Vitamin B1 atau tiamina adalah vitamin larut air yang mempunyai banyak kebaikan dan fungsi kepada badan.
Vitamin B1 penting untuk menukar makanan kepada tenaga yang anda perlukan. Vitamin ini juga baik untuk penyakit kencing manis (diabetes), mengurangkan risiko penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Anda boleh mendapatkan vitamin B1 ini dalam banyak makanan harian.
Rujukan
- Stracke, H. et al. (2008). Benfotiamine in diabetic polyneuropathy (BENDIP): results of a randomised, double blind, placebo-controlled clinical study. Experimental and clinical endocrinology & diabetes.
- Page, G. L. et al. (2011). Thiamine deficiency in diabetes mellitus and the impact of thiamine replacement on glucose metabolism and vascular disease. International journal of clinical practice.
- Husn, M. et al. (2023). Neuroprotective effects of vitamin B1 on memory impairment and suppression of pro-inflammatory cytokines in traumatic brain injury. Metabolic brain disease.
- Hanninen, S. A. et al. (2006). The prevalence of thiamin deficiency in hospitalized patients with congestive heart failure. Journal of the American College of Cardiology.
- DiNicolantonio, J. J. et al. (2013). Thiamine supplementation for the treatment of heart failure: a review of the literature. Congestive heart failure.
- Ghaleiha, A. et al. (2016). Adjuvant thiamine improved standard treatment in patients with major depressive disorder: results from a randomized, double-blind, and placebo-controlled clinical trial. European archives of psychiatry and clinical neuroscience.
- Fessel J. (2021). Supplemental thiamine as a practical, potential way to prevent Alzheimer’s disease from commencing. Alzheimer’s & dementia.