Vitamin B1 adalah salah satu daripada vitamin B yang diperlukan oleh badan manusia. Kekurangan vitamin B1 jarang berlaku, namun ia boleh berlaku bagi sesetengah orang. Ketahui beberapa tanda amaran kekurangan vitamin B1 dalam artikel ini.
Vitamin B1 atau tiamina adalah vitamin yang memainkan peranan penting terhadap beberapa fungsi badan. Kekurangan vitamin B1 boleh menyebabkan gejala-gejala ringan atau teruk.
Kekurangan vitamin B1 boleh berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai pola pemakanan yang terdiri daripada nasi putih, tepung putih atau karbohidrat berproses sahaja. Keadaan ini banyak terjadi di negara-negara yang mempunyai masalah ketakjaminan makanan (food insecurity).
Selain itu, kekurangan vitamin B1 juga boleh berlaku kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Tanda-tanda atau Gejala Kekurangan Vitamin B1
Tanda dan gejala kekurangan vitamin B1 mungkin boleh terlepas pandang kerana ia boleh jadi tidak spesifik dan kabur, kadangkala meniru gejala-gejala keadaan lain.
Berikut adalah tanda amaran atau gejala-gejala kekurangan vitamin B1 yang boleh anda perhatikan:
1. Hilang Selera Makan
Hilang selera makan yang tanpa sebab munasabah boleh menjadi salah satu gejala awal kekurangan vitamin B1.
Kehilangan selera makan (tidak berasa lapar) boleh menyebabkan penurunan berat badan yang tidak disengajakan, yang boleh menjadi masalah atau tidak selamat.
Keadaan ini dipercayai dipengaruhi oleh peranan vitamin B1 yang mengawal rasa lapar dan kenyang di otak.
Simpanan vitamin B1 yang tidak mencukupi boleh mengganggu keberkesanan proses ini, membuatkan anda berasa kenyang walaupun sebenarnya tidak.
2. Kelesuan
Kekurangan vitamin B1 atau tiamina boleh menyebabkan kelesuan atau keletihan.
Kelesuan ini boleh terjadi secara tiba-tiba dalam masa beberapa hari atau beransur-ansur dalam satu tempoh masa bergantung kepada keterukan kekurangan tersebut.
Tanda ini masuk akal, memandangkan peranan vitamin B1 dalam menukar makanan kepada tenaga.
Tidak mempunyai vitamin B1 yang mencukupi dalam badan bermakna ia tidak dapat menghasilkan tenaga sebanyak mungkin untuk digunakan sebagai bahan api.
3. Cepat Marah atau Melenting
Kekurangan vitamin B1 juga boleh menyebabkan perubahan terhadap emosi atau mood yang menyebabkan anda menjadi cepat marah atau melenting.
Tanda ini adalah antara tanda awal kekurangan vitamin B1 yang boleh terjadi bersama-sama dengan kelesuan.
4. Loya dan Muntah
Loya dan muntah juga boleh menjadi tanda yang tidak khusus bagi banyak keadaan termasuklah kekurangan vitamin B1.
Tanda atau gejala ini boleh berlaku bersama-sama dengan gejala kelesuan.
5. Penglihatan Kabur
Kekurangan vitamin B1 juga boleh menyebabkan tanda atau gejala seperti penglihatan kabur. Hal ini demikian kerana vitamin B1 memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan saraf.
Kekurangan vitamin B1 boleh menyebabkan saraf optik membengkak yang menjurus kepada penglihatan kabur.
Jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.
6. Sesemut dan Kebas di Tangan dan Kaki
Kekurangan vitamin B1 dalam kalangan mereka yang ketagihan alkohol boleh menyebabkan gejala seperti sesemut dan kebas di tangan dan kaki.
Gejala ini boleh diikuti oleh beberapa gejala lain seperti kekeliruan, hilang ingatan yang teruk dan disorientasi.
7. Keabnormalan Saraf dan Otot
Keabnormalan saraf dan otot boleh terbentuk sekiranya kekurangan vitamin B1 berada pada tahap yang teruk. Ia juga adalah petanda kepada penyakit beriberi kering.
Penyakit beriberi kering ini menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Rasa mencucuk di ibu jari kaki
- Sensasi terbakar di kaki terutamanya pada waktu malam
- Kesakitan dan kekejangan kaki
- Otot menjadi lemah
8. Keabnormalan Jantung
Keabnormalan jantung boleh terbentuk akibat daripada kekurangan vitamin B1 yang teruk. Ia turut dikenali sebagai penyakit beriberi basah.
Pada fasa ini, jantung akan mengepam lebih darah dan berdenyut lebih laju. Saluran darah pula akan mengendur mengakibatkan kulit menjadi suam dan lembap.
Oleh sebab jantung tidak boleh berterusan bekerja seperti ini, kegagalan jantung mungkin berlaku.
Akibatnya, berlaku pengumpulan cecair di kaki (sembab) dan paru-paru. Tekanan darah juga boleh menurun yang boleh membawa kepada kejutan dan kematian.
9. Delirium (Racauan)
Kekurangan vitamin B1 juga boleh menyebabkan delirium iaitu keadaan yang serius yang menyebabkan anda mengalami kekeliruan, tidak dapat berfikir dengan jelas dan kurang kepekaan terhadap persekitaran.
Kekurangan yang teruk boleh membawa kepada pembentukan sindrom Wernicke-Korsakoff yang melibatkan kerosakan otak dan gejala-gejala seperti:
- Racauan
- Kekeliruan
- Halusinasi
- Kehilangan memori
Sindrom Wernicke-Korsakoff selalunya berkaitan dengan ketagihan alkohol.
Punca yang Menyebabkan Kekurangan Vitamin B1
Kekurangan vitamin B1 boleh berlaku berpunca daripada:
- Diet yang hanya melibatkan nasi putih, roti putih, gula putih atau karbohidrat yang diproses tinggi.
- Penghidap anoreksia iaitu pengurangan atau kehilangan selera makan.
- Ketagihan alkohol
- Penyakit atau keadaan yang meningkatkan keperluaan badan terhadap vitamin B1 seperti hipertiroidisme, kehamilan, menyusukan anak, demam atau senaman berat.
- Penyakit hati.
- Cirit-birit atau diarea pada jangka masa panjang.
Rawatan Kekurangan Vitamin B1
Semua bentuk kekurangan vitamin B1 dirawat menggunakan suplemen vitamin B1 (tiamina).
Suplemen ini biasanya diberikan melalui mulut. Ia juga mungkin diberikan secara suntikan jika gejala adalah teruk.
Oleh sebab kekurangan vitamin B1 sering berlaku dengan kekurangan vitamin B lain, multivitamin biasanya diberikan selama beberapa minggu.
Pesakit digalakkan untuk makan secara sihat dan dinasihatkan untuk mengambil 1 hingga 2 kali pengambilan vitamin yang disyorkan setiap hari. Mereka tidak boleh minum sebarang alkohol.
Sindrom Wernicke-Korsakoff adalah satu kecemasan perubatan. Ia dirawat dengan dos vitamin B1 yang tinggi yang diberikan secara intravena atau melalui suntikan ke dalam otot (intramuskular) selama beberapa hari. Pengambilan alkohol harus dihentikan.
Rujukan
- Karakonstantis, S. et al. (2020). Missing the early signs of thiamine deficiency. A case associated with a liquid-only diet. Nutritional neuroscience.
- Roda, M. et al. (2020). Nutritional Optic Neuropathies: State of the Art and Emerging Evidences. Nutrients.
- Johnson, L.E. (2022). Vitamin A Deficiency. MSD Manual