Biji teratai boleh makan ke? Mungkin bagi sesetengah orang berasa janggal kerana memakan biji teratai bukanlah perkara yang biasa di negara ini. Namun, sebenarnya biji teratai boleh dimakan dan mempunyai khasiat yang menarik.
Teruskan membaca untuk mengetahui akan khasiat-khasiat biji teratai yang turut disahkan melalui kajian.
Teratai (Nelumbo nucifera) atau dalam bahasa Inggerisnya “Lotus” adalah tumbuhan akuatik daripada keluarga Nelumbonaceae. Teratai turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Chinese water lily, Indian lotus atau sacred lotus.
Walaupun dilihat sebagai tumbuhan hiasan, sebenarnya biji teratai telah dijadikan sebagai makanan fungsian sejak lebih 2,000 tahun lalu di Asia. Kini, negara China adalah pengeluar dan pengguna biji teratai terbesar di dunia dengan hasil pengeluaran mencecah 45,000 tan biji teratai kering setahun.
Setelah dikupas dan dibuang terasnya, biji teratai boleh dimakan secara mentah, dipanggang atau dijadikan serbuk dan direbus menjadi sirap atau pes.
Biji teratai juga telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti demam, ketidakhadaman, cirit-birit kronik, insomnia, berdebar-debar, keradangan tisu, radang pada usus dan kanser.
Tambahan itu, embrio biji teratai juga turut digunakan untuk merawat gangguan keresahan, insomnia, demam panas, tekanan darah tinggi dan aritmia (variasi denyutan jantung).
Kajian-kajian terhadap khasiat biji teratai terus dijalankan oleh para saintis bagi mengkaji keberkesanannya dalam merawat pelbagai penyakit.
Berikut adalah antara khasiat-khasiat biji teratai yang bermanfaat untuk kesihatan anda:
1. Biji Teratai Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Biji teratai turut dikategorikan sebagai makanan fungsian. Ini bermakna ia mempunyai sebatian yang boleh memberikan kesan positif terhadap kesihatan.
Biji teratai kering mengandungi nutrien-nutrien yang bermanfaat kepada fungsi badan. Antaranya adalah: [1]
- Kalori/Tenaga: 332 kcal
- Protein: 15.4 gram
- Karbohidrat: 64.5 gram
- Kalsium: 163 miligram
- Zat besi: 3.53 miligram
- Magnesium: 210 miligram
- Fosforus: 626 miligram
- Kalium: 1370 miligram
- Zink: 1.05 miligram
- Tembaga: 0.35 miligram
- Mangan: 2.32 miligram
- Vitamin B1: 0.64 miligram
- Vitamin B2: 0.15 miligram
- Vitamin B3: 1.6 miligram
- Vitamin B5: 0.85 miligram
- Vitamin B6: 0.63 miligram
- Folat: 104 mikrogram
- Vitamin A: 3 mikrogram
2. Biji Teratai Kaya dengan Pelbagai Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan bahawa biji teratai mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti: [2]
- Kuersetin
- Luteolin
- Kaempferol
- Astragalin
- Orientin
- Apigenin
- Vitexin
- Myricetin
3. Biji Teratai Boleh Membantu Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan. Ia adalah proses di mana sistem imun bertindak balas terhadap penceroboh asing atau kecederaan.
Keradang terbahagi kepada dua iaitu keradagan akut dan kronik. Keradangan kronik adalah berbahaya kerana ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti kanser, diabetes, sakit sendi, obesiti dan lain-lain lagi.
Pengambilan makanan yang mempunyai ciri-ciri antiradang seperti biji teratai adalah baik bagi mengurangkan dan mencegah keradangan terutamanya keradangan kronik.
Satu kajian makmal mendapati protein daripada biji teratai mempunyai kesan antiradang melalui pengurangan penghasilan nitrik oksida. [3]
Penghasilan nitrik oksida yang berlebihan boleh mencetuskan keradangan.
4. Biji Teratai Boleh Membantu Menguatkan Sistem Imun
Biji teratai juga boleh membantu anda untuk menguatkan sistem imun atau sistem pertahanan badan.
Ini berdasarkan kajian yang mendapati ekstrak biji teratai mempunyai kesan perangsangan terhadap sistem imun dengan meningkatkan jumlah limfosit iaitu sel imun yang menghasilkan antibodi dan membunuh sel-sel tumor. [4]
5. Biji Teratai Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Biji teratai juga didapati boleh membantu mengurangkan obesiti dan berat badan melalui pengurangan terhadap pembentukan lemak badan.
Kajian mendapati kandungan fenolik di dalam biji teratai memainkan peranan penting dalam menambah baik pengawalan terhadap pembentukan lemak (lipid). [5]
Selain itu, fenolik dalam biji teratai ini juga merencatkan kenaikan berat badan dan menambah baik profil lemak dalam darah bagi haiwan yang diuji.
Meskipun begitu, kajian-kajian klinikal masih diperlukan bagi melihat kesan biji teratai terhadap obesiti dalam kalangan manusia.
6. Biji Teratai Berpotensi Mencegah Kanser
Biji teratai juga didapati mempunyai sebatian alkaloid yang mempunyai kesan antikanser.
Khasiat biji teratai ini ditunjukkan dalam satu kajian tabung uji yang mendapati sebatian neferine, iaitu alkaloid yang diekstrak daripada biji teratai boleh membunuh sel-sel kanser hati. [6]
Kajian lain turut mendapati ekstrak etanol biji teratai turut mempunyai kesan antikanser terhadap sel-sel kanser usus besar. [7]
Melihat kepada potensi ini, kajian-kajian lanjutan adalah wajar dilakukan untuk mengukuhkan lagi dapatan awal ini.
7. Biji Teratai Boleh Mencegah Keracunan Makanan
Keracunan makanan biasanya disebabkan memakan makanan yang tercemar oleh bakteria, virus atau parasit. Keracunan makanan akan menyebabkan gejala-gejala seperti cirit-birit (diarea), sakit perut, loya dan muntah.
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, minyak biji teratai didapati mempunyai kesan antidiarea dan antibakteria terhadap bakteria-bakteria yang biasanya menyebabkan keracunan makanan seperti Salmonella sp., Escherichia Coli., Shigella sp. dan Staphylococcus aureus. [8]
8. Biji Teratai Boleh Membantu Melegakan Kesakitan
Kesakitan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu kesakitan nosiseptif dan neuropati. Kesakitan nosiseptif berpunca daripada kerosakan tisu sebenar atau yang tidak disedari.
Manakala, kesakitan neuropati pula berlaku akibat kerosakan atau kecederaan pada sistem saraf periferal dan sistem saraf pusat dan ia kekal walaupun selepas semua tanda kecederaan asal telah hilang.
Kajian terhadap haiwan telah dijalankan untuk mengesahkan kesan analgesik (melegakan kesakitan) biji teratai. Kajian ini mendapati biji teratai putih pada dos 600 mg/kg berat badan mempunyai aktiviti analgesik yang paling tinggi. [9]
Kajian lain turut mendapati biji teratai mempunyai kesan analgesik yang kuat pada dos 200 mg/kg. Kesan analgesik ini dipercayai disumbang oleh gabungan sebatian flavanoid, saponin dan tanin. [10]
9. Biji Teratai Boleh Mengurangkan Penuaan Kulit
Proses penuaan kulit boleh dibahagikan kepada dua iaitu penuaan akibat faktor dalaman seperti usia atau akibat faktor luaran seperti cahaya matahari (sinaran UV). Penuaan akibat faktor luaran terutamanya akibat sinaran UV dipanggil “photo-aging“.
Biji teratai turut didapati berkhasiat dalam membantu melindungi kulit dan digunakan secara meluas untuk mengurangkan kedutan dan memutihkan kulit.
Kajian oleh penyelidik dari Universiti Inje, Korea mendapati biji teratai menunjukkan kesan perlindungan kulit yang jelas. Biji teratai boleh mencegah kekeringan kulit, mengurangkan pembentukan sel-sel abnormal pada lapisan luar kulit dan mencegah pengoksidaan protein. [11]
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak biji teratai berpotensi dijadikan agen pemutih kulit dan antikedutan. [12]
10. Biji Teratai Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Biji teratai juga boleh membantu mengawal paras gula darah yang bermanfaat terutamanya kepada mereka yang menghidap diabetes atau penyakit kencing manis.
Terdapat satu kajian yang mendapati kanji resistan biji teratai boleh membantu merendahkan paras gula darah sebanyak 16-33%. Selain itu, kanji resistan ini juga turut memulihkan paras insulin dalam darah sebanyak 25-39%. [13]
Kajian lain turut melaporkan bahawa gabungan serbuk biji teratai sebanyak 5% dan 10% dengan makanan boleh menambah baik intolerans glukosa dan mengawal paras gula darah. [14]
Rumusan
Biji teratai sememangnya makanan yang unik yang turut mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan.
Selain penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian-kajian moden juga turut menunjukkan bahawa biji teratai boleh membantu mengurangkan keradangan, menguatkan sistem imun, mengurangkan berat badan dan lain-lain.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Seeds, lotus seeds, dried.
- Zhu, M. et al. (2016). Current Advances in the Metabolomics Study on Lotus Seeds. Frontiers in plant science.
- Moon, S. W. et al. (2019). Lotus (Nelumbo nucifera) seed protein isolate exerts anti-inflammatory and antioxidant effects in LPS-stimulated RAW264.7 macrophages via inhibiting NF-κB and MAPK pathways, and upregulating catalase activity. International journal of biological macromolecules.
- Mukherjee, D. et al. (2010). Immunomodulatory potential of rhizome and seed extracts of Nelumbo nucifera Gaertn. Journal of ethnopharmacology.
- Lin, S. et al. (2019). Bound phenolics from fresh lotus seeds exert anti-obesity effects in 3T3-L1 adipocytes and high-fat diet-fed mice by activation of AMPK. Journal of Functional Foods.
- Yoon, J. S. et al. (2013). Neferine isolated from Nelumbo nucifera enhances anti-cancer activities in Hep3B cells: molecular mechanisms of cell cycle arrest, ER stress induced apoptosis and anti-angiogenic response. Phytomedicine.
- Zhao, X. et al. (2017). Anticancer activity of Nelumbo nucifera stamen extract in human colon cancer HCT-116 cells in vitro. Oncology letters.
- Arumugam, A. & Dhailappan, A. (2012). Fatty acid composition and antidermatophytic and antidiarrheal activity of nelumbo nucifera seed oil. International Journal of Pharmacy and Pharmaceutical Sciences.
- Chakravarthi, P. V. et al. (2009). Assessment of analgesic activity of red and white lotus seeds (Nelumbo nucifera) in albino rats. Journal of Natural Remedies.
- Rajput, M. et al. (2019). ASSESSMENT OF ANALGESIC ACTIVITY OF NELUMBO NUCIFERA FRUIT ETHANOL EXTRACT. International Journal of Pharmacy and Pharmaceutical Sciences.
- Kim, S. Y., & Moon, G. S. (2015). Photoprotective Effect of Lotus (Nelumbo nucifera Gaertn.) Seed Tea against UVB Irradiation. Preventive nutrition and food science.
- Kim, T. et al. (2011). Nelumbo nucifera extracts as whitening and anti-wrinkle cosmetic agent. Korean J. Chem. Eng.
- Wang, Q. et al. (2018). Genome-wide transcriptional changes in type 2 diabetic mice supplemented with lotus seed resistant starch. Food chemistry.
- Hwang, S. B., & Lee, B. H. (2020). Anti-Obesity and Antidiabetic Effects of Nelumbinis Semen Powder in High-Fat Diet-Induced Obese C57BL/6 Mice. Nutrients.