Apa itu Vitamin B Kompleks?
Sebelum kita mengetahui fungsi vitamin B kompleks untuk wanita hamil, harus diketahui dahulu apa itu vitamin B kompleks dan fungsi umum setiap satunya.
Vitamin B kompleks terdiri daripada 8 jenis vitamin B iaitu:
- Vitamin B1 (tiamina/thiamine)
- Vitamin B2 (riboflavin)
- Vitamin B3 (niacin)
- Vitamin B5 (asid pantotenik/pantothenic acid)
- Vitamin B6 (piridoksina/pyridoxine)
- Vitamin B7 (biotin)
- Vitamin B9 (folat/folate)
- Vitamin B12 (kobalamin/cobalamin)
Setiap daripada vitamin ini mempunyai banyak peranan terhadap fungsi badan. Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai vitamin B kompleks ini serta fungsinya kepada wanita hamil.
Fungsi Vitamin B
Vitamin B adalah vitamin larut air. Ini bermakna badan kita tidak menyimpan vitamin ini. Oleh itu, vitamin ini harus didapati melalui diet harian (pemakanan harian).
Vitamin B kompleks mempunyai banyak fungsi kepada kesihatan badan dan ia penting untuk seseorang itu kekal sihat.
Berikut adalah fungsi vitamin B kompleks secara ringkas mengikut jenisnya:
- Vitamin B1 (tiamina): Tiamina memainkan peranan penting dalam metabolisme badan dengan membantu menukarkan makanan kepada tenaga. Tiamina juga penting untuk pertumbuhan.
- Vitamin B2 (riboflavin): Riboflavin juga turut membantu menukarkan makanan kepada tenaga dan turut bertindak sebagai antioksidan.
- Vitamin B3 (niacin): Niacin memainkan peranan penting dalam pengisyaratan sel, metabolisme, penghasilan dan pembaikan DNA.
- Vitamin B5 (asid pantotenik): Asid pantotenik membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga. Asid ini juga mempunyai banyak fungsi lain termasuklah membuat dan memecahkan lemak.
- Vitamin B6 (piridoksina): Piridoksina diperlukan oleh badan untuk lebih daripada 100 tindak balas enzim yang melibatkan metabolisme. Piridoksina juga terlibat dalam perkembangan otak semasa mengandung dan bayi.
- Vitamin B7 (biotin): Biotin membantu menukarkan karbohidrat, lemak dan protein yang dimakan kepada tenaga.
- Vitamin B9 (folat): Folat diperlukan oleh badan untuk menghasilkan DNA dan bahan-bahan genetik yang lain. Dalam suplemen atau makanan tambahan, folat dipanggil asid folik (folic acid).
- Vitamin B12 (kobalamin): Vitamin B12 membantu mengekalkan kesihatan sel-sel saraf dan darah. Vitamin ini juga turut membantu menghasilkan DNA dan bahan-bahan genetik yang lain.
Fungsi Vitamin B Kompleks untuk Wanita Hamil
Bagi wanita hamil, keperluan untuk vitamin B terutamanya vitamin B9 (folat) dan vitamin B12 adalah tinggi untuk menyokong pertumbuhan janin dan mengelakkan kecacatan bayi. [1]
Vitamin B6 juga didapati boleh membantu meningkatkan berat lahir (birthweight) bagi bayi yang baru lahir. [2]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa vitamin B2 semasa mengandung mungkin boleh melindungi anak dalam kandungan daripada masalah emosi pada zaman kanak-kanak. [3]
Bagi wanita hamil yang mengamalkan diet vegan atau vegetarian, pengambilan makanan tambahan (suplemen) vitamin B kompleks amat penting bagi memastikan bekalan vitamin B ini mencukupi semasa mengandung.
Tambahan lagi, vitamin B kompleks boleh membantu meningkatkan tenaga, mengurangkan loya dan mengurangkan risiko berlakunya praeklampsia (keracunan darah pada peringkat akhir kehamilan yang dicirikan dengan hipertensi, edema dan proteinuria) bagi wanita hamil.
Satu kajian yang melibatkan 60 orang dewasa yang mengalami kemurungan (depresi) juga menunjukkan rawatan menggunakan vitamin B kompleks selama 60 hari boleh mengurangkan simptom-simptom kemurungan dan keresahan. [4]
Berapa Banyak Vitamin B Kompleks yang Anda Perlukan?
Bagi wanita hamil, jumlah vitamin B kompleks harian yang disarankan adalah seperti berikut: [5]
Usia Kandungan | Trimester 1 | Trimester 2 | Trimester 3 |
---|---|---|---|
Vitamin | |||
Vitamin B1 (mg/hari) | 1.4 | 1.4 | 1.4 |
Vitamin B2 (mg/hari) | 1.4 | 1.4 | 1.4 |
Vitamin B3 (mg NE/hari) | 18 | 18 | 18 |
Vitamin B5 (mg/hari) | 6 | 6 | 6 |
Vitamin B6 (mg/hari) | 1.9 | 1.9 | 1.9 |
Vitamin B7 (mikrogram/hari) | 30 | 30 | 30 |
Folat (mikrogram/hari) | 600 | 600 | 600 |
Vitamin B12 (mikrogram/hari) | 4.5 | 4.5 | 4.5 |
Risiko dan Kesan Sampingan
Vitamin B adalah vitamin larut air. Ini bermakna lazimnya badan akan menyingkirkan vitamin B yang berlebihan melalui air kencing.
Dos atau sukatan yang standard biasanya tidak mendatangkan apa-apa masalah. Walau bagaimanapun, jika vitamin B diambil pada dos yang tinggi, ia boleh mendatangkan bahaya melainkan vitamin tersebut dipreskripsi oleh doktor (selalunya bagi kes-kes kekurangan vitamin).
Berikut adalah beberapa kemungkinan kesan sampingan akibat daripada pengambilan vitamin B kompleks (suplemen):
- Dos vitamin B3 yang tinggi: Boleh menyebabkan paras gula darah tinggi, muntah, kulit menjadi merah dan kerosakan hati. [6]
- Dos asid folik yang tinggi: Boleh menyebabkan anemia akibat kekurangan vitamin B12.
- Dos vitamin B6 yang tinggi: Boleh menyebabkan kerosakan saraf, sensitif terhadap cahaya dan lesi kulit yang menyakitkan. [7]
Rumusan
Wanita hamil boleh mendapat manfaat daripada pengambilan suplemen vitamin B kompleks.
Selain baik untuk kandungan, pengambilan vitamin B kompleks juga boleh membantu meningkatkan tenaga, mengurangkan loya dan mengurangkan simptom-simptom kemurungan.
Sekiranya pengambilan suplemen ini mengikut dos yang telah ditetapkan, kemungkinan untuk berlakunya kesan sampingan adalah sangat rendah.
Adalah penting untuk wanita mengandung mendapatkan suplemen vitamin B kompleks daripada pengeluar yang boleh dipercayai, berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengamalkan amalan pengilangan baik (GMP).
Rujukan
- Finkelstein, J. L. et al. (2015). Vitamin B-12 and Perinatal Health. Advances in nutrition.
- Dror, D. K., & Allen, L. H. (2012). Interventions with vitamins B6, B12 and C in pregnancy. Paediatric and perinatal epidemiology.
- Miyake, Y. et al. (2020). Maternal B vitamin intake during pregnancy and childhood behavioral problems in Japan: The Kyushu Okinawa Maternal and Child Health Study. Nutritional neuroscience.
- Lewis, J. E. et al. (2013). The effect of methylated vitamin B complex on depressive and anxiety symptoms and quality of life in adults with depression. ISRN psychiatry.
- National Coordinating Committee on Food and Nutrition. (2017). Recommended Nutrient Intakes for Malaysia 2017. A Report of The Technical Working Group on Nutritional Guidelines. Ministry of Health Malaysia.
- Ellsworth, M. A. et al. (2014). Acute liver failure secondary to niacin toxicity. Case reports in pediatrics.
- Vrolijk, M. F. et al. (2017). The vitamin B6 paradox: Supplementation with high concentrations of pyridoxine leads to decreased vitamin B6 function. Toxicology in vitro.