Artritis ialah keadaan yang melibatkan keradangan dalam satu atau lebih sendi dalam tubuh. Dalam bahasa mudahnya, ia adalah sakit sendi.
Terdapat lebih daripada 100 jenis artritis dan setiap satunya boleh menyebabkan kesakitan yang berbeza-beza.
Untuk mencari rawatan dan strategi pengurusan yang terbaik, adalah penting untuk menentukan jenis arthritis yang anda alami. Teruskan membaca untuk mengetahui tentang jenis artritis yang banyak berlaku.

1. Osteoartritis (OA)
Apa itu Osteoartritis?
Osteoartritis (OA) merupakan jenis artritis yang paling banyak berlaku. Ia lazimnya disebabkan oleh penggunaan berlebihan sendi seiring dengan pertambahan usia.
Osteoartritis adalah penyakit degeneratif yang mempengaruhi rawan dalam sendi dan boleh berlaku hampir di mana-mana sendi dalam tubuh, tetapi biasanya mempengaruhi sendi yang memikul beban berat seperti lutut, pinggul, tangan, dan tulang belakang.
Umur, obesiti, kecederaan, sejarah keluarga, dan penggunaan berlebihan sendi boleh meningkatkan risiko anda mengalaminya.
Gejala-gejala Osteoartritis
Anda boleh mengalami gejala-gejala seperti:
- Sakit sendi: Sakit pada sendi yang terjejas adalah gejala utama. Sakit boleh berlaku semasa bergerak atau selepas berehat, dan boleh menjadi lebih teruk dari masa ke masa.
- Kekakuan: Kekakuan sendi berlaku, terutama selepas bangun tidur pada pagi hari atau selepas aktiviti yang panjang.
- Pembengkakan: Pembengkakan ringan boleh berlaku di sekitar sendi yang terjejas.
- Pergerakan terhad: Anda mungkin mengalami kesulitan melakukan gerakan penuh pada sendi yang terjejas.
- Sakit semasa berjalan: Sekiranya OA menjejaskan sendi lutut atau dibahagian kaki, anda akan mengalami kesakitan semasa berjalan.
2. Artritis Reumatoid
Apa itu Artritis Reumatoid?
Artritis reumatoid adalah penyakit autoimun yang menyerang tisu-tisu sendi yang sihat. Keadaan ini membawa kepada keradangan, yang boleh menyebabkan kerosakan sendi yang teruk jika anda tidak merawatnya.
Artritis reumatoid biasanya memberi kesan kepada sendi-sendi kecil di tangan dan kaki, tetapi juga boleh memberi kesan kepada sendi-sendi lain, seperti pergelangan tangan, siku, lutut, buku lali, dan bahu.
Ia adalah keadaan kronik, bermaksud ia berterusan dari semasa ke semasa dan memerlukan pengurusan yang berterusan.
Gejala-gejala Artritis Reumatoid
Gejala-gejalanya boleh berbeza antara satu individu dengan yang lain, namun beberapa gejala umum yang sering terjadi adalah:
- Sakit dan kekakuan sendi: Sendi-sendi yang terjejas biasanya akan terasa sakit, kaku, dan sulit digerakkan, terutama pada pagi hari atau setelah istirahat.
- Pembengkakan sendi: Sendi yang terjejas biasanya mengalami pembengkakan, merah, dan terasa hangat. Selalunya ia melibatkan lebih satu sendi.
- Kehilangan Fungsi Sendi: Seiring dengan waktu, RA dapat menyebabkan kerosakan sendi yang mengurangkan kebolehan untuk melakukan aktiviti sehari-hari seperti menggerakkan atau memegang benda.
- Sakit yang simetri: Sebagai contoh, apabila sendi di pergelangan tangan kanan sakit, pergelangan tangan kiri juga besar kemungkinan turut berasa sakit.
Gejala tambahan juga mungkin berlaku di bahagian badan yang lain termasuk jantung, paru-paru, mata atau kulit. Sindrom Sjögren sering berlaku dengan artritis reumatoid. Keadaan ini menyebabkan mata dan mulut kering teruk.
3. Gout
Apa itu Gout?
Gout merupakan jenis artritis yang dicirikan oleh serangan tiba-tiba, sakit yang teruk, kemerahan, dan bengkak di sendi.
Biasanya, ia menjejaskan ibu jari kaki. Gout berlaku disebabkan oleh penumpukan kristal asid urik di dalam sendi, menyebabkan keradangan dan sakit yang teruk.
Gejala-gejala Gout
Gejala-gejala gout termasuklah:
- Serangan Tiba-tiba dan Sakit: Serangan gout biasanya berlaku secara tiba-tiba dan mendadak. Sakitnya sering kali sangat kuat, terutama pada sendi-sendi tertentu seperti ibu jari kaki, buku lali, lutut atau siku.
- Kemerahan dan Pembengkakan Sendi: Sendi yang terkena gout biasanya menjadi merah, bengkak, dan hangat.
- Ketidakselesaan: Walaupun sakit yang kuat telah reda, sendi-sendi anda akan masih terasa sakit.
- Sukar untuk Bergerak: Anda akan mengalami kesukaran untuk bergerak kerana sendi menjadi kaku.
4. Artritis Psoriatik
Apa itu Artritis Psoriatik?
Artritis psoriatik adalah jenis arthritis inflamasi yang berlaku pada sesetengah individu yang mengalami psoriasis, iaitu penyakit kulit kronik.
Bagi artritis psoriatik, sistem imun badan secara keliru menyerang tisu-tisu sihat, termasuk sendi dan kulit, menyebabkan keradangan dan gejala lain.
Gejala-gejala Artritis Psoriatik
Gejala-gejala artritis psoriatik boleh berbeza-beza bagi setiap individu. Antara gejala-gejala yang biasanya berlaku adalah:
- Sakit dan Kekakuan Sendi: Artritis psoriatik boleh menyebabkan kesakitan, pembengkakan, dan kekakuan di sendi, yang mungkin lebih teruk pada pagi hari atau selepas tempoh rehat.
- Pembengkakan Jari dan Jari Kaki: Sesetengah individu dengan artritis psoriatik mungkin mengalami pembengkakan yang menyerupai sosej di jari mereka.
- Enthesitis: Keradangan di tempat tendon atau ligamen melekat pada tulang, sering menyebabkan sakit di tumit, siku, atau pinggang.
Dalam sesetengah orang, hanya satu sendi atau beberapa sendi sahaja terjejas. Sebagai contoh, anda boleh mengalaminya pada satu lutut sahaja. Kadangkala, ia menjejaskan tulang belakang atau hanya jari tangan dan kaki.
5. Lupus
Apa itu Lupus?
Lupus turut dikenali sebagai lupus eritematosus sistemik (SLE), adalah penyakit autoimun kronik yang boleh menjejaskan pelbagai bahagian badan, termasuk kulit, sendi, organ dalaman, dan sistem saraf.
Penyakit autoimun bermaksud sistem imun badan secara keliru menyerang tisu-tisu sihat, menyebabkan keradangan dan kerosakan.
Terdapat beberapa jenis lupus, tetapi yang paling umum adalah lupus eritematosus sistemik. Wanita dalam usia kehamilan lebih berkemungkinan mendapat lupus berbanding lelaki.
Gejala-gejala Lupus
Gejala-gejala lupus boleh berbeza-beza dari individu ke individu dan boleh datang dan pergi.
Sakit sendi dan bengkak adalah antara gejala-gejala yang lazim berlaku bagi penyakit Lupus ini.
Selain itu, ia juga menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Ruam Kulit: Ruam malar (merah pada pipi dan hidung, mirip dengan bentuk sayap kupu-kupu) adalah tanda khas Lupus, tetapi ruam lain juga boleh terjadi di bahagian badan yang lain yang terdedah kepada sinaran matahari.
- Keletihan: Keletihan yang teruk, tidak dapat diatasi dengan istirahat.
- Demam: Demam yang tidak jelas sebabnya, yang mungkin silih berganti, boleh berlaku.
- Sakit dada: Akibat daripada keradangan pada saluran pelapik jantung atau paru-paru.
- Gangguan darah: Gangguan darah seperti anemia dan tahap sel-sel darah putih atau platelet yang rendah juga merupakan simptom lupus.
6. Artritis Juvenil atau Artritis Kanak-kanak
Apa itu Artritis Juvenil?
Artritis juvenil adalah istilah yang digunakan mewakili beberapa jenis artritis yang menjejaskan kanak-kanak.
Artritis idiopatik juvenil ialah jenis yang paling biasa berlaku pada kanak-kanak. Artritis juvenil adalah kumpulan gangguan autoimun yang boleh memberi kesan kepada sendi kanak-kanak.
Artritis juvenil mula berlaku pada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 16 tahun. Ia boleh menyebabkan:
- Corak pertumbuhan berubah
- Sendi tidak sejajar
- Tulang terhakis
- Otot dan tisu lembut mengetat
Gejala-gejala Artritis Juvenil
Tanda dan gejala-gejala arthritis juvenil adalah:
- Sakit: Walaupun anak anda mungkin tidak mengadu sakit sendi, anda mungkin perasan bahawa dia pincang – terutamanya pada waktu pagi atau selepas tidur sekejap.
- Bengkak: Bengkak sendi adalah perkara biasa tetapi selalunya mula-mula diperhatikan pada sendi yang lebih besar seperti lutut.
- Kekakuan: Anda mungkin perasan bahawa anak anda kelihatan lebih kekok daripada biasa, terutamanya pada waktu pagi atau selepas tidur sekejap.
- Demam, nodus limfa bengkak dan ruam: Dalam sesetengah kes, demam panas, nodus limfa bengkak atau ruam pada badan mungkin berlaku, biasanya lebih teruk pada waktu malam.
7. Ankylosing Spondylitis
Apa itu Ankylosing Spondylitis?
Ankylosing spondylitis atau dalam Bahasa Melayunya, spondilitis mengankilosis adalah penyakit radang yang dari masa ke masa boleh menyebabkan beberapa tulang di tulang belakang bercantum.
Cantuman ini menjadikan tulang belakang kurang fleksibel dan boleh mengakibatkan postur bongkok. Jika tulang rusuk terjejas, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk bernafas dalam-dalam.
Gejala-gejala Ankylosing Spoondylitis
Gejala-gejala awal ankylosing spondylitis mungkin termasuk sakit belakang dan kekakuan di bahagian pinggang dan pinggul, terutamanya pada waktu pagi dan selepas tempoh tidak aktif.
Gejala-gejala lain yang boleh berlaku adalah:
- Sakit leher
- Kelesuan
- Kekakuan awal pagi
- Postur yang lemah atau bahu yang membongkok
- Hilang selera makan
- Demam ringan
- Pengurangan berat badan
- Anemia atau kekurangan zat besi
- Fungsi paru-paru berkurangan
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Arthritis. MayoClinic
- Debra, F.D. (2022). 5 Common Types of Arthritis. WebMD.
- Arthritis Foundation. How Arthritis Hurts