Apa itu Artritis Psoriatik?
Artritis psoriatik atau dalam bahasa Inggerisnya, “psoriatic arthritis” ialah satu bentuk sakit sendi (artritis) yang menjejaskan mereka yang menghidap psoriasis.
Ia biasanya menyebabkan sendi yang terjejas menjadi bengkak dan menyakitkan.
Kebanyakan orang mengalami psoriasis bertahun-tahun sebelum didiagnosis dengan artritis psoriatik. Tetapi bagi sesetengah orang, masalah sendi bermula sebelum tompok kulit muncul atau pada masa yang sama.
Artritis psoriatik adalah keadaan jangka panjang yang boleh menjadi semakin teruk. Jika ia teruk, terdapat risiko sendi rosak atau cacat kekal dan pembedahan mungkin diperlukan.
Tanda dan Gejala-gejala Artritis Psoriatik
Artritis psoriatik boleh menjejaskan sendi pada satu atau kedua-dua belah badan anda. Tanda dan gejala arthritis psoriatik selalunya menyerupai artritis reumatoid.
Kedua-dua penyakit ini menyebabkan sendi menjadi sakit, bengkak dan hangat apabila disentuh.
Selain itu, artritis psoriatik juga boleh menyebabkan tanda dan gejala-gejala seperti:
- Bengkak jari kaki dan tangan: Jari kaki dan tangan menjadi sakit dan bengkak seperti sosej.
- Sakit kaki: Sakit pada titik dimana tendon dan ligamen melekat pada tulang anda terutamanya di bahagian belakang tumit anda (Achilles tendinitis) atau di tapak kaki anda (plantar fasciitis).
- Sakit pinggang: Sesetengah orang mengalami keadaan yang dipanggil spondylitis. Spondylitis menyebabkan keradangan sendi antara tulang belakang dan pada sendi antara tulang belakang dan pelvis anda.
- Perubahan pada kuku: Kuku boleh membentuk lekuk kecil (lubang), runtuh atau terpisah dari dasar kuku.
- Keradangan mata (uveitis): Uveitis boleh menyebabkan sakit mata, kemerahan dan penglihatan kabur. Jika tidak dirawat, uveitis boleh menyebabkan kehilangan penglihatan.
Apakah Punca yang Menyebabkan Artritis Psoriatik
Artritis psoriatik berlaku apabila sistem imun badan anda menyerang sel dan tisu yang sihat. Tindak balas imun menyebabkan keradangan pada sendi serta penghasilan sel kulit yang berlebihan.
Selain itu, faktor genetik dan persekitaran turut memainkan peranan dalam tindak balas sistem imun ini. Ramai penghidap penyakit ini yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap psoriasis atau artritis psoriatik.
Di samping itu, jangkitan bakteria atau virus juga boleh mencetuskan penyakit ini dalam kalangan mereka yang mempunyai keturunan yang menghidap penyakit ini atau psoriasis.
Faktor Risiko
Beberapa faktor berikut boleh meningkatkan risiko untuk seseorang itu menghidap penyakit ini:
- Menghidap psoriasis
- Keturunan yang turut menghidap penyakit ini
- Berusia antara 30-55 tahun
Diagnosis
Semasa pemeriksaan, doktor mungkin:
- Memeriksa sendi anda untuk tanda-tanda bengkak atau kesakitan.
- Memeriksa kuku anda untuk mengesan lubang, mengelupas dan kelainan lain.
- Tekan pada tapak kaki anda dan di sekeliling tumit untuk memeriksa kawasan sakit.
Tiada ujian tunggal boleh mengesahkan diagnosis artritis psoriatik. Tetapi beberapa jenis ujian boleh menolak punca lain sakit sendi, seperti artritis reumatoid atau gout.
Rawatan
Rawatan kepada artritis psoriatik adalah bertujuan untuk melegakan gejala-gejala, melambatkan kemaraan penyakit dan meningkatkan kualiti hidup.
Rawatan akan bergantung pada tahap keparahan penyakit dan sendi yang terjejas. Anda mungkin perlu mencuba rawatan yang berbeza sebelum anda menemui rawatan yang boleh melegakan anda.
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang lazimnya digunakan untuk merawat penyakit ini adalah:
- Ubat pelega kesakitan (NSAID): Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) boleh membantu melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan. Paracetamol, ibuprofen atau naproxen adalah antara ubat jenis yang boleh dibeli tanpa preskripsi.
- DMARD konvensional: Ubat antireumatik pengubah suai penyakit (DMARD) boleh membantu memperlahankan kemaraan penyakit ini dan menyelamatkan sendi dan tisu daripada rosak.
- Agen biologi: Ubat ini mensasarkan laluan sistem imun yang berbeza.
- DMARD sintetik bersasar: Ubat jenis ini akan digunakan sekiranya DMARD konvensional dan agen biologi tidak berkesan.
- Ubat makan : Ubat makan seperti Apremilast (Otezla) mengurangkan aktiviti enzim dalam badan yang mengawal aktiviti keradangan dalam sel. Apremilast digunakan untuk orang yang mengalami artritis psoriatik ringan hingga sederhana yang tidak mahu atau tidak boleh dirawat dengan DMARD atau agen biologi.
Terapi
Terapi fizikal dan pekerjaan mungkin boleh meredakan kesakitan dan memudahkan untuk anda melakukan tugas harian.
Prosedur Pembedahan
Prosedur pembedahan penggantian sendi boleh dilakukan untuk sendi yang rosak dengan teruk. Ia boleh digantikan dengan sendi tiruan yang diperbuat daripada plastik atau besi.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Psoriatic Arthritis. MayoClinic
- Tiwari V, Brent LH. Psoriatic Arthritis. [Updated 2022 Aug 11]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI