Apa itu Artritis Kanak-kanak?
Artritis dalam kalangan kanak-kanak dipanggil artritis kanak-kanak atau artritis juvenil. Jenis artritis kanak-kanak yang paling lazim berlaku adalah artritis idiopatik juvenil atau turut dikenali sebagai artritis reumatoid juvenil.
Artritis kanak-kanak boleh menyebabkan kerosakan fizikal kekal pada sendi. Kerosakan ini boleh menyukarkan kanak-kanak melakukan perkara harian seperti berjalan, berpakaian dan boleh mengakibatkan kecacatan.
Walaupun tiada penawar, sesetengah kanak-kanak dengan arthritis mencapai peredaan kekal, yang bermaksud penyakit itu tidak lagi aktif. Sebarang kerosakan fizikal pada sendi akan kekal.
Jenis-jenis Artritis Kanak-kanak
Terdapat beberapa jenis artritis kanak-kanak atau artritis juvenil yang lazim berlaku adalah:
- Artritis idiopatik juvenil
- Miositis juvenil
- Lupus juvenil
- Skleroderma juvenil
- Vaskulitis
- Fibromyalgia
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala mungkin datang dan pergi dari semasa ke semasa. Tanda dan gejala yang biasa berlaku termasuklah:
- Sakit sendi
- Bengkak
- Demam
- Ruam
- Kekejangan
- Kelesuan
- Hilang selera makan
- Keradangan pada mata
- Sukar untuk melakukan aktiviti harian seperti berjalan, memakai baju atau bermain
Punca yang Menyebabkan Artritis Kanak-kanak
Punca sebenar arthritis kanak-kanak tidak diketahui. Dalam arthritis kanak-kanak, sistem imun mungkin tidak berfungsi dengan betul yang menyebabkan keradangan pada sendi dan sistem badan yang lain.
Bagi artritis ideopatik juvenil, puncanya adalah disebabkan sistem imun badan menyerang sel-sel dan tisunya sendiri.
Walau bagaimanapun, tidak diketahui kenapa ia berlaku tetapi faktor keturunan dan persekitaran mungkin memainkan peranan.
Rawatan
Tiada penawar bagi artritis juvenil. Walau bagaimanapun, pengesanan awal dan rawatan yang agresif boleh membawa kepada peredaan di mana tanda dan gejala boleh dihentikan atau dikurangkan.
Matlamat rawatan adalah untuk:
- Memperlahankan atau menghentikan keradangan
- Mencegah kemaraan penyakit
- Melegakan gejala-gejala dan meningkatkan kualiti hidup
- Mencegah atau mengelakkan kerosakan sendi atau organ
- Memelihara fungsi sendi dan mobiliti pesakit untuk dewasa kelak
- Mengurangkan kesan jangka panjang
Ubat-ubatan
Terdapat beberapa jenis rawatan perubatan yang digunakan untuk merawat artritis juvenil. Sesetengahnya mengawal aktiviti penyakit dan sesetengah yang lain mengawal gejala-gejala.
Ubat-ubatan yang biasanya diberikan kepada pesakit adalah:
- Kortikosteroid: Ini adalah ubat antiradang yang digunakan untuk menguruskan penyakit ini sehingga ubat lain memberikan kesan.
- Ubat antireumatik pengubah suai penyakit: Ubat ini digunakan untuk merencat dan memperlahankan proses perkembangan penyakit.
- Ubat antiradang bukan steroid: Ubat ini boleh membantu melegakan kesakitan tetapi tidak boleh mengurangkan kerosakan sendi.
Pembedahan
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami artritis juvenil ini tidak memerlukan pembedahan.
Tetapi penggantian sendi boleh membantu kanak-kanak dengan kesakitan yang teruk atau kerosakan sendi.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Childhood Arthritis.
- Arthritis Foundation. Juvenile Arthritis (JA).