Artritis reumatoid (AR) adalah penyakit autoimun yang menyebabkan sakit sendi, keradangan dan kerosakan pada badan. Penyakit autoimun bermaksud sistem imun badan secara silap menyerang sel-sel badan yang sihat.
Kerosakan sendi yang disebabkan oleh artritis reumatoid biasanya berlaku di kedua-dua belah bahagian badan. Pelapik pada sendi tersebut akan mengalami keradangan menyebabkan kerosakan pada tisu-tisu sendi. Tisu yang rosak ini akan menyebabkan sakit yang kronik (berpanjangan).
Bagi sesetengah orang, artritis reumatoid boleh menyebabkan kerosakan yang lebih pada sistem badan termasuklah pada paru-paru, jantung, salur darah, mata dan kulit.
Kelaziman penyakit artritis reumatoid di dunia adalah sebanyak 0.24%. Wanita hampir 3 kali lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding lelaki.
Simptom-simptom Artritis Reumatoid
Pada awalnya, artritis reumatoid biasanya menyerang sendi-sendi kecil dahulu seperti sendi jari tangan dan sendi jari kaki.
Apabila penyakit ini berlanjutan, gejala atau simptom sering merebak ke pergelangan tangan, lutut, buku lali, siku, pinggul dan bahu.
Dalam kebanyakan kes, gejala dan simptom berlaku pada sendi yang sama pada kedua-dua belah badan anda.
Bagi penghidap AR, ada masanya simptom-simptom menjadi semakin teruk dikenali sebagai cakahan (flare) dan ada masanya simptom-simptom menjadi semakin baik, dikenali sebagai peredaan.
Tanda-tanda dan simptom-simptom artritis reumatoid adalah seperti berikut:
- Sakit pada lebih daripada satu sendi
- Bengkak dan kelembutan pada lebih daripada satu sendi
- Kekakuan pada lebih daripada satu sendi
- Simptom yang sama berlaku kepada kedua-dua belah badan (seperti kedua-dua belah tangan atau kaki)
- Demam
- Kehilangan berat badan
- Kelesuan atau keletihan
- Kelemahan
Punca atau Penyebab
Artritis reumatoid berpunca daripada tindak balas imun yang menyerang sel-sel badan yang sihat. Secara normalnya, sistem imun membantu melindungi badan daripada jangkitan dan penyakit. Tetapi bagi AR, sistem imun menyerang sel-sel sendi yang sihat.
Punca khusus kepada AR tidak diketahui tetapi terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang individu mendapat penyakit ini.
Faktor risiko
Faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko kepada artritis reumatoid:
- Jantina. Wanita lebih cenderung menghidap AR berbanding lelaki.
- Usia. AR biasanya berlaku pada pertengahan usia.
- Keturunan. Sekiranya ada ahli keluarga yang menghidap AR, anda juga berisiko tinggi untuk turut terkena penyakit ini.
- Merokok. Merokok boleh meningkatkan risiko untuk mendapat AR, terutamanya jika perokok tersebut mempunyai kecederungan genetik.
- Berat berlebihan. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan berisiko tinggi untuk mendapat AR.
Diagnosis
AR didiagnosis dengan mengkaji simptom, menjalankan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan melakukan sinar-X.
Sekiranya AR dapat didiagnosis lebih awal (kira-kira dalam masa 6 bulan selepas simptom-simptom terbentuk), pesakit boleh memulakan rawatan untuk memperlahankan atau menghentikan perkembangan penyakit.
Rawatan
Rawatan boleh membantu mengurangkan keradangan pada sendi, melegakan kesakitan, mencegah atau memperlahankan kerosakan sendi dan membolehkan anda untuk menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
Terdapat beberapa pilihan rawatan untuk artritis reumatoid yang boleh dibahagikan kepada ubat-ubatan, terapi dan pembedahan.
Ubat-ubatan
Jenis ubat yang akan diberikan oleh doktor bergantung kepada keterukan simptom-simptom yang dialami. Antara ubat-ubatan yang boleh merawat AR ialah:
- NSAID. Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) boleh membantu melegakan kesakitan dan mengurangkan keradangan.
- Steroid. Ubat kortikosteroid boleh membantu mengurangkan keradangan, kesakitan dan memperlahankan kerosakan sendi.
- DMARD. Ubat antireumatik pengubah suai penyakit (DMARD) boleh merencat dan memperlahankan proses perkembangan penyakit. Ia boleh menyelamatkan sendi dan tisu-tisu daripada kerosakan kekal.
Terapi
Terapi fizikal atau terapi cara kerja boleh membantu pesakit belajar cara baru dan efektif untuk menjalani tugasan harian.
Terapi ini boleh membantu meminimumkan tekanan pada sendi yang sakit.
Pembedahan
Bagi sesetengah kes, doktor akan mencadangkan pembedahan bagi membaiki sendi yang rosak, mengurangkan kesakitan dan membetulkan kecacatan.
Pembedahan AR mungkin melibatkan satu atau lebih prosedur berikut:
- Pembaikan tendon. Prosedur ini melibatkan pembaikan tendon yang rosak akibat keradangan dan kerosakan sendi.
- Sinovektomi. Sinovektomi adalah prosedur pembedahan untuk membuang pelapik sendi.
- Cantuman sendi. Prosedur cantuman sendi mungkin disarankan untuk menstabil atau melaraskan semula sendi serta untuk melegakan kesakitan apabila penggantian sendi bukan pilihan.
- Penggantian sendi. Pembedahan penggantian sendi dilakukan untuk membuang bahagian sendi yang rosak dan memasukkan sendi palsu.
Komplikasi
Artritis reumatoid boleh meningkatkan risiko kepada penyakit-penyakit berikut:
- Penyakit jantung
- Penyakit kencing manis atau diabetes
- Obesiti
- Tekanan darah tinggi
- Osteoporosis
- Jangkitan
- Mulut dan mata kering
- Sindrom terowong karpus
- Penyakit paru-paru
- Limfoma
Rujukan
- Chauhan K, Jandu JS, Goyal A, et al. Rheumatoid Arthritis. [Updated 2021 Oct 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2021). Rheumatoid arthritis. Mayoclinic
- CDC. (2020). Rheumatoid Arthritis (RA). Center for Disease Control and Prevention.