Osteoartritis (OA) ialah bentuk radang sendi (artritis) yang paling biasa berlaku. Ia berlaku apabila rawan diantara sendi mula untuk haus atau rosak dan tulang dibawahnya mula untuk berubah. Perubahan ini biasanya terjadi secara perlahan-lahan dan semakin teruk dari masa ke masa.
Osteoartritis boleh menyebabkan sakit, ketegangan dan bengkak. Dalam sesetengah kes, OA boleh menyebabkan kekurangan fungsi dan ketidakupayaan.
Lebih parah lagi, sesetengah orang tidak mampu lagi untuk melakukan aktiviti atau pekerjaan harian.
Osteoartritis lazimnya menyebabkan kesakitan pada sendi tangan, lutut, pinggul dan tulang belakang. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kerosakan pada mana-mana bahagian sendi di dalam badan.
Gejala-gejala atau simptom OA biasanya boleh boleh dikurangkan atau diuruskan. Kekal aktif, mengekalkan berat badan yang sihat dan mendapatkan rawatan boleh membantu memulihkan fungsi sendi dan memperlahankan perkembangan penyakit ini.
Apa itu Rawan?
Rawan adalah tisu penghubung yang fleksibel, bergetah dan pejal yang meliputi pangkal tulang dalam sendi.
Rawan terhasil daripada air dan protein yang berperanan untuk mengurangkan geseran pada sendi dan bertindak sebagai penyerap hentakan.
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda osteoartritis selalunya bermula perlahan-lahan dan bermula pada satu atau sedikit sendi.
Gejala-gejala osteoartritis yang lazim berlaku termasuklah:
- Sakit apabila mengerakkan dan menggunakan sendi, menjadi semakin baik apabila berehat.
- Kekakuan sendi biasanya berlanjutan sehingga 30 minit.
- Bengkak dalam dan di sekitar sendi.
- Berasa seperti sendi tidak stabil atau longgar.
- Perubahan dalam keupayaan untuk mengerakkan sendi.
Apabila gejala-gejala ini bertambah parah, beberapa aktiviti boleh menjadi semakin sukar untuk dilakukan. Contohnya seperti:
- Naik tangga
- Mencangkung
- Duduk atau bangun dari kerusi
- Menggenggam benda
- Berjalan di tempat parking
Punca
Osteoartritis disebabkan oleh kerosakan rawan sendi antara tulang. Kerosakan ini berlaku sikit demi sedikit dalam satu tempoh masa yang lama.
Oleh sebab itu, usia adalah punca utama kepada kerosakan sendi yang membawa kepada osteoartritis.
Punca lain yang menyebabkan kerosakan sendi adalah:
- Kecacatan bentuk sendi
- Kecederaan seperti sendi terkehel, kecederaan ligamen atau rawan koyak
- Obesiti
- Postur badan yang buruk
Faktor risiko
Terdapat juga beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami osteoartritis. Ini termasuklah:
- Usia: Golongan berumur berisiko tinggi mengalami OA.
- Jantina: Wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.
- Obesiti: Berat yang berlebihan meletakkan tekanan yang lebih pada sendi terutamanya di lutut dan pinggul.
- Genetik: Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami OA berpotensi tinggi untuk turut mengalami OA.
- Kecederaan sendi atau terlebih guna: Kecederaan sendi atau terlebih guna sendi seperti aktiviti yang menyebabkan tekanan berulang-ualng terhadap sendi boleh merosakkan sendi dan meningkatkan risiko kepada OA.
Diagnosis
Doktor biasanya akan mendiagnosis osteoartritis melalui penilaian terhadap:
- Simptom-simptom atau gejala
- Pemeriksaan fizikal
- sinar-X (X-rays)
- Ujian makmal
Rawatan
Osteoartritis boleh dirawat menggunakan rawatan tanpa pembedahan atau rawatan pembedahan.
Lazimnya, rawatan tanpa pembedahan adalah rawatan pertama yang disarankan. Rawatan melalui pembedahan hanya diperlukan sekiranya rawatan tanpa pembedahan tidak lagi berkesan.
Rawatan tanpa pembedahan
- Ubat pelega kesakitan: Ubat pelega kesakitan sama ada dalam bentuk makan (oral) atau sapuan boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan.
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID): Ubat seperti ibuprofen atau naproxen boleh membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan pada sendi.
- Kortikosteroid: Ubat preskripsi ini boleh didapati dalam bentuk makan atau suntikan. Doktor akan mempreskripsi ubat jenis ini bergantung kepada keadaan OA yang anda alami.
- Makanan tambahan (suplemen): Suplemen seperti glucosamine dan chondroitin sulfate adalah dua suplemen yang boleh didapati di pasaran untuk merawat OA. Glusosamine dan chondroitin sulfate adalah dua komponen kepada rawan sendi.
- Pengurusan berat badan: Mengurangkan berat badan boleh mengurangkan tekanan pada sendi dan mengurangkan kesakitan.
- Tidur yang cukup: Tidur yang cukup boleh merehatkan otot dan mengurangkan bengkak dan keradangan.
- Terapi panas dan sejuk: Anda boleh mencuba terapi panas atau sejuk yang boleh melegakan kesakitan otot dan kekakuan.
- Senaman: Senaman berimpak rendah seperti berjalan atau berenang boleh menguatkan otot dikeliling sendi dan boleh membantu mengurangkan kekakuan sendi.
Rawatan pembedahan
Sekiranya rawatan tanpa pembedahan tidak lagi berkesan, beberapa pilihan rawatan yang melibatkan pembedahan atau prosedur lain mungkin diperlukan. Contohnya seperti:
- Pembedahan penggantian sendi: Pembedahan ini melibatkan pembuangan sendi yang rosak dan digantikan dengan bahagian sendi daripada plastik atau besi.
- Osteotomi: Pembedahan yang melibatkan pemotongan tulang.
- Suntikan pelincir: Suntikan asid hialuronik boleh membantu melegakan kesakitan dan menyediakan pelapik pada tulang sendi anda.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Osteoarthritis. MayoClinic
- Hsu H, Siwiec RM. Knee Osteoarthritis. [Updated 2021 Jul 25]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Cleveland Clinic Medical Professional. (2019). Osteoarthritis. Cleveland Clinic