Terdapat banyak punca yang menyebabkan lemak perut (belly fat). Majoritinya adalah bergantung kepada gaya hidup anda. Contohnya seperti kurang bersenam, makan secara berlebihan dan stres.
Perubahan terhadap gaya hidup boleh membantu anda untuk menghilangkan lemak perut tersebut.
Apa itu lemak perut? Lemak perut merujuk kepada lemak yang berada di sekeliling abdomen. Terdapat dua jenis lemak perut iaitu:
- Lemak viseral: Lemak jenis ini mengelilingi organ-organ dalaman seseorang.
- Lemak subkutaneus: Lemak jenis ini terletak di bawah kulit.
Dalam bahasa mudahnya, lemak yang anda boleh cubit adalah lemak subkutaneus. Manakala, lemak viseral di dalam perut anda hanya boleh dilihat dan diukur, tetapi tidak dapat dicubit.
Lemak viseral lebih berbahaya berbanding lemak subkutaneus. Lemak viseral dikaitkan dengan gangguan metabolik dan meningkatkan risiko kepada penyakit kardiovaskular dan diabetes jenis 2.
Bagi wanita, lemak viseral dikaitkan dengan kanser payudara dan keperluan kepada pembedahan hempedu. [1]
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan lemak perut, antaranya adalah seperti berikut:
1. Pemakanan yang Tidak Baik
Pemakanan atau diet yang tidak baik seperti makanan bergula, minuman bergula dan makanan tinggi karbohidrat boleh menjadi punca kepada lemak perut.
Makanan dan minuman manis seperti gula-gula, kek, jus buah, air berkarbonat boleh menyebabkan peningkatan berat badan, memperlahankan metabolisme dan mengurangkan keupayaan seseorang untuk membakar lemak.
Selain itu, diet yang tinggi dengan karbohidrat dan rendah protein juga menyumbang kepada peningkatkan berat badan dan lemak perut.
Pemakanan yang tinggi lemak terutamanya lemak trans menyumbang kepada keradangan dan menyebabkan obesiti. [2]
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa lemak trans boleh meningkatkan paras kolesterol jahat, lemak badan dan ukur lilit pinggang. [3]
2. Banyak Meminum Alkohol
Meminum alkohol atau arak meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit hati berlemak dan keradangan.
Satu kajian semula pada 2015 yang melibatkan pengambilan alkohol dan obesiti mendapati meminum arak terutamanya secara berlebihan menyebabkan orang lelaki mengalami kenaikan berat badan kawasan perut. [4]
3. Tekanan (Stres)
Apabila badan mengalami stres atau tekanan, ia akan menghasilkan sejenis hormon yang dikenali sebagai kortisol.
Stres yang berpanjangan boleh menyebabkan paras hormon kortisol ini kekal tinggi.
Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa paras kortisol yang tinggi dalam satu jangka masa panjang mempunyai kaitan dengan obesiti abdomen. [5]
Selain itu juga, ramai yang cuba “menenangkan” diri yang stres dengan makanan. Ini boleh menyebabkan pengambilan kalori yang berlebihan yang seterusnya menyumbang kepada lemak perut.
4. Kurang Bersenam
Jika anda makan lebih kalori daripada apa yang badan bakar, ia akan menambah berat badan anda.
Gaya hidup yang tidak aktif menyebabkan anda sukar untuk membakar kalori atau lemak yang berlebihan.
Malah, kajian telah membuktikan bahawa senaman seperti senaman aerobik atau kardio adalah berkesan dalam membantu mengurangkan lemak badan terutamanya lemak viseral. [6]
5. Merokok
Tabiat merokok juga boleh menjadi punca kepada lemak perut walaupun tidak secara terus.
Penyelidik percaya, tabiat merokok adalah salah satu faktor risiko kepada lemak perut.
Ini berdasarkan satu kajian yang mendapati perokok mempunyai lebih banyak lemak viseral dan lemak perut berbanding bukan perokok. [7]
6. Kurang Tidur
Kurang tidur atau tidak cukup tidur juga dikaitkan dengan peningkatan berat badan yang boleh menjurus kepada lemak perut.
Kurang tidur boleh menyebabkan anda makan lebih banyak. Makanan secara berlebihan boleh menyumbang kepada pembentukan lemak perut.
Kajian turut menunjukkan bahawa kekurangan tidur menyebabkan peningkatan pengambilan kalori dan peningkatan pengambilan kalori tanpa diikuti dengan peningkatan penggunaan tenaga menyumbang kepada obesiti. [8]
7. Genetik
Terdapat beberapa bukti bahawa genetik seseorang boleh memainkan peranan sama ada mereka menjadi obes atau tidak.
Para saintis berpendapat genetik boleh mempengaruhi tingkah laku, metabolisme, dan risiko menghidap penyakit berkaitan obesiti. [9]
Faktor persekitaran dan tingkah laku juga memainkan peranan dalam kemungkinan seseorang menjadi obes.
Kenapa Lemak Perut Bahaya?
Mempunyai berat badan yang berlebihan meningkatkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik.
Mempunyai lemak perut berlebihan meningkatkan risiko kepada: [10]
- Penyakit jantung
- Strok
- Tekanan darah tinggi
- Diabetes jenis 2
- Demensia
- Asma
- Kanser payudara
- Kanser usus besar
Rumusan
Walaupun sesetengah masyarakat menganggap mempunyai lemak perut berlebihan adalah tanda “bahagia”, sebenarnya ia adalah tidak “okay.”
Lemak perut boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai penyakit yang serius. Oleh itu, dengan mengetahui punca yang menyebabkan lemak perut, anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan dan penambah baikkan bagi menghilangkan lemak tersebut.
Rujukan
- Harvard Health Publishing. (2019). Abdominal fat and what to do about it.
- American Heart Association. Trans fat.
- Bendsen, N. T. et al. (2011). Effect of trans fatty acid intake on abdominal and liver fat deposition and blood lipids: a randomized trial in overweight postmenopausal women. Nutrition & diabetes.
- Traversy, G., & Chaput, J. P. (2015). Alcohol Consumption and Obesity: An Update. Current obesity reports.
- van der Valk, E. S. et al. (2018). Stress and Obesity: Are There More Susceptible Individuals?. Current obesity reports.
- Vissers, D. et. al. (2013). The effect of exercise on visceral adipose tissue in overweight adults: a systematic review and meta-analysis. PloS one.
- Kim, J. H. et al. (2012). Cigarette smoking increases abdominal and visceral obesity but not overall fatness: an observational study. PloS one.
- Calvin, A. D. et al. (2013). Effects of experimental sleep restriction on caloric intake and activity energy expenditure. Chest.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2018). Behavior, environment, and genetic factors all have a role in causing people to be overweight and obese.
- Harvard Health Publishing. (2021). Taking aim at belly fat.