Selain menikmati rasa kopi, sudah tentu anda juga berminat dengan kebaikan atau khasiat kopi tersebut. Salah satu daripadanya adalah membakar lemak. Adakah kopi boleh membantu membakar lemak badan?
Bagi menjawab persoalan ini, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dengan topik ini.
Kopi kecuali kopi nyahkafein mengandungi kafein sebagai bahan aktif yang utama. Kafein adalah bahan psikoaktif yang turut digunakan dalam suplemen-suplemen untuk membakar lemak yang dijual di pasaran.

Seperti yang ramai sedia maklum, kopi atau kafein boleh membantu meningkatkan metabolisme badan. Ini bermakna ia berpotensi untuk membakar lebih kalori dan lemak.
Kopi Boleh Menggerakkan Lemak daripada Tisu Lemak
Kafein merangsang sistem saraf yang menghantar isyarat terus ke sel-sel lemak, memberitahu ia untuk memecahkan lemak. [1]
Proses ini dilakukan dengan meningkatkan paras hormon adrenalin dalam darah. Adrenalin akan bergerak melalui saluran darah ke tisu-tisu lemak, memberi isyarat agar ia memecahkan lemak dan melepaskannya ke dalam saluran darah. [2]
Lemak yang dilepaskan dalam darah ini tidak akan dibakar melainkan anda membakar lebih kalori daripada apa yang anda ambil.
Anda boleh membakar lemak tersebut dengan mengurangkan makan atau membanyakkan bersenam.
Maka, secara ringkasnya, boleh dikatakan bahawa kopi anda boleh membantu anda membakar lemak badan tetapi dengan syarat anda kurang makan atau turut bersenam.
Kopi Meningkatkan Kadar Metabolisme
Semakin tinggi kadar metabolisme anda, semakin mudah untuk anda menurunkan berat badan dan lebih banyak makanan yang anda boleh makan tanpa kenaikan berat badan.
Kajian menunjukkan bahawa kafein boleh meningkatkan kadar metabolisme rehat (RMR) sehingga 3-11%. Kesan yang lebih besar dapat dilihat bagi dos yang lebih tinggi. [3]
Kadar metabolisme rehat adalah kadar di mana badan anda membakar kalori semasa rehat.
Menariknya lagi, kebanyakan kenaikan metabolisme yang direkodkan adalah disebabkan kenaikan pembakaran lemak. [4]
Walau bagaimanapun, kesan ini didapati kurang terhadap orang yang obes.
Terdapat kajian yang menunjukkan kafein meningkatkan pembakaran lemak sehingga 29% bagi individu kurus dan hanya 10% bagi individu yang obes. [5]
Kekurangan
Terdapat satu kekurangan yang mungkin boleh mengecewakan pencinta kopi iaitu lama-kelamaan anda boleh menjadi toleran terhadap kesan kafein. [6]
Bagi jangka pendek, kafein boleh meningkatkan kadar metabolisme dan meningkatkan pembakaran lemak, tetapi selepas beberapa ketika orang menjadi toleran dengan kesannya dan ia berhenti berfungsi.
Rumusan
Kopi boleh meningkatkan metabolisme dan membakar lemak dalam tempoh masa yang pendek dan kesan ini akan berkurangan akibat toleran.
Sekiranya matlamat anda meminum kopi adalah untuk membakar lemak atau kurus, anda boleh mencuba membuat kitaran terhadap tabiat minum kopi anda bagi mencegah terbentuknya toleran.
Anda mungkin boleh mempraktikkan dua minggu minum dan dua minggu tidak minum.
Rujukan
- Kim, TW. et al. (2010). Effect of caffeine on the metabolic responses of lipolysis and activated sweat gland density in human during physical activity. Food Sci Biotechnol.
- Keijzers, G. B. et al. (2002). Caffeine can decrease insulin sensitivity in humans. Diabetes care.
- Dulloo, A. G. et al. (1989). Normal caffeine consumption: influence on thermogenesis and daily energy expenditure in lean and postobese human volunteers. The American journal of clinical nutrition.
- Acheson, K. J. et al. (2004). Metabolic effects of caffeine in humans: lipid oxidation or futile cycling?. The American journal of clinical nutrition.
- Bracco, D. et al. (1995). Effects of caffeine on energy metabolism, heart rate, and methylxanthine metabolism in lean and obese women. The American journal of physiology.
- Ammon H. P. (1991). Biochemical mechanism of caffeine tolerance. Archiv der Pharmazie.