Semput atau asma adalah penyakit kronik yang menjejaskan saluran udara di dalam paru-paru. Mungkin ramai penghidap asma yang takut untuk bersenam kerana takut mendapat serangan asma atau semput. Justeru itu, kami senaraikan beberapa senaman untuk orang semput yang kurang berisiko.
Sebenarnya, melakukan aktiviti fizikal secara kerap boleh mengurangkan tanda-tanda dan gejala asma. Bahkan, aktiviti fizikal ini boleh meningkatkan kesihatan paru-paru anda. Apa yang penting adalah pemilihan aktiviti fizikal atau senaman yang betul.
Sekiranya anda tidak pasti akan senaman yang sesuai, anda boleh berbincang atau mendapatkan pandangan doktor anda.
Sekiranya aktiviti fizikal menyebabkan anda semput dan menghalang anda daripada melakukan aktiviti yang anda sukai, anda tidak keseorangan. Ramai penghidap asma yang menghadapi cabaran dalam melakukan aktiviti fizikal.
Meskipun begitu, anda tidak seharusnya berputus asa daripada menjadikan diri anda seorang yang aktif. Hal ini demikian kerana, meningkatkan kadar denyutan jantung anda boleh menambah baik gejala-gejala asma seperti:
- Menguatkan sistem imun untuk melawan virus dan selesema
- Meningkatkan kekuatan paru-paru dan stamina
- Mengurangkan risiko serangan asma melalui pengekalan berat badan yang sihat
- Merembeskan hormon endorfin yang membuatkan anda berasa gembira dan mengurangkan tekanan.
Selain itu, mereka yang sihat dan tidak menghidap asma juga boleh mengalami semput akibat senaman yang berat. Keadaan ini dipanggil bronkokonstriksi yang dicetuskan oleh senaman (EIB). EIB ini juga boleh menyebabkan gejala-gejala seperti asma.
Secara umumnya, senama terbaik untuk orang semput adalah senaman yang lembut, berintensiti rendah dan aktiviti yang melibatkan semburan tenaga yang singkat.
Kebanyakan senaman jenis ini tidak menyebabkan paru-paru terpaksa bekerja keras. Walau bagaimanapun, setiap individu adalah berbeza. Fahami badan anda untuk mendapatkan senaman yang sesuai.
Berikut adalah beberapa senaman yang boleh dipertimbangkan untuk orang yang semput atau menghidap asma:
1. Berjalan
Berjalan adalah aktiviti yang berintensiti rendah dan merupakan pilihan yang baik. Senaman jenis ini juga turut lembut kepada badan dan membolehkan anda bernafas dengan baik.
Tambahan daripada itu juga, sekiranya anda ingin berjalan di luar rumah, pilihlah waktu yang mempunyai udara sedikit panas. Udara yang sejuk dan kering boleh mencetuskan gejala-gejala asma.
Anda juga boleh menggunakan “treadmill” untuk berjalan di dalam rumah.
2. Berenang
Berenang juga adalah senaman yang baik untuk orang semput kerana udara yang lembap, kurang terdedah kepada debuga dan tekanan cecair pada dada. Ia juga baik untuk membina kekuatan bahagian atas badan.
Walaupun begitu, kolam renang yang mengandungi klorin boleh menyebabkan gejala-gejala asma bagi sesetengah orang. Maka, berhati-hati jika anda ingin berenang di kolam renang.
3. Berbasikal
Berbasikal secara santai atau beriadah juga adalah senaman yang baik untuk orang semput. Aktiviti berbasikal secara santai adalah lembut dan tidak melibatkan intensiti yang tinggi secara berterusan.
Anda juga boleh berbasikal di dalam rumah menggunakan basikal pegun.
4. Kembara (Hiking)
Jika anda gemar menikmati keindahan alam, kembara (hiking) adalah senaman yang sesuai untuk anda walaupun anda menghidap asma.
Namun, harus diingat bahawa anda perlu memilih rintisan atau denai yang secara umumnya landai atau mempunyai kecerunan yang perlahan dan stabil.
Sekiranya anda mempunyai alahan debunga, pilihlah waktu kembara yang diluar musim bunga.
5. Balapan Jarak Dekat
Sekiranya anda suka berlari, anda boleh memilih untuk berlari pada jarak dekat seperti lari pecut.
Larian jarak jauh di trek atau di luar mungkin tidak disyorkan pada orang yang mempunyai asma yang tidak terkawal kerana usaha berterusan yang diperlukan.
6. Sukan dengan Aktiviti yang Singkat
Sukan-sukan berikut sesuai untuk penghidap asma atau orang yang semput. Aktiviti ini melibatkan rehat bersela, yang lebih lembut pada paru-paru.
- Golf
- Gimnastik
- Besbol
- Bola tampar
- Bola jaring
Apakah yang Perlu Dilakukan Sekiranya Mengalami Serangan Asma Semasa Bersukan?
Bronkokonstriksi yang dicetuskan oleh senaman (EIB) boleh berlaku semasa anda bersenam tidak kira anda menghidap asma atau tidak.
EIB menyebabkan saluran pernafasan anda menyempit dan anda mengalami gejala-gejala asma semasa bersenam, seperti:
- Berdehit
- Batuk
- Sesak nafas
- Sesak dada
Jika ini berlaku kepada anda, berhenti dan ikut arahan dalam pelan tindakan asma anda. Pastikan alat sedut (inhaler) anda mudah digunakan, dan gunakannya seperti yang diarahkan sebaik sahaja anda mengalami gejala. Jika gejala anda tidak bertambah baik, hubungi bantuan perubatan kecemasan.
Rujukan
- Nunez,K. (2020). All About Asthma and Exercise. Healthline
- Wanrooij, V. H. et al. (2014). Exercise training in children with asthma: a systematic review. British journal of sports medicine.