Orkitis (orchitis) adalah keadaan di mana satu atau kedua-dua testis menjadi bengkak dan sakit. Ia lazimnya disebabkan oleh jangkitan.
Meskipun orkitis boleh menyebabkan ketidakselesaan, ia boleh dirawat. Walau bagaimanapun, jika dibiarkan, orkitis boleh membawa kepada masalah serius seperti kemandulan.
Berikut adalah apa yang perlu anda tahu tentang orkitis, dari penyebab hingga cara rawatannya.

Apa Itu Orkitis?
Orkitis adalah istilah perubatan untuk keradangan (bengkak dan kerengsaan) pada testis (buah zakar). Ia boleh berlaku secara tiba-tiba atau berkembang secara perlahan.
Sesetengah lelaki hanya mengalaminya pada satu testis, sementara yang lain mungkin mengalaminya pada kedua-duanya.
Sakit dan bengkak biasanya muncul dengan cepat dan boleh bertahan selama beberapa hari atau minggu.
Biasanya, orkitis adalah ringan, tetapi ia juga boleh menjadi sangat sakit dan menyebabkan demam atau gejala lain.
Apakah Punca atau Penyebab Orkitis?
Terdapat dua jenis orkitis yang utama yang dikategorikan berdasarkan penyebab masalah ini:
1. Orkitis Virus
Penyebab virus yang paling biasa bagi orkitis ialah virus beguk. Jika seorang lelaki mendapat beguk selepas akil baligh, terdapat kemungkinan virus itu boleh merebak ke testis dan menyebabkan bengkak.
Ini biasa berlaku sebelum vaksin beguk diberikan secara meluas.
2. Orkitis Bakteria
Orkitis jenis ini biasanya disebabkan oleh jangkitan bakteria, dan ia sering bermula di bahagian tubuh lain seperti pundi kencing atau uretra, kemudian merebak ke testis.
Bagi lelaki di bawah 35 tahun, ia sering disebabkan oleh penyakit hubungan jensi (STD) seperti klamidia atau gonorea.
Bagi lelaki yang lebih tua, ia lebih cenderung disebabkan oleh jangkitan saluran kencing (UTI) atau masalah prostat.
Siapa yang Berisiko?
Anda lebih berisiko untuk mendapat orkitis jika:
- Anda tidak pernah mendapatkan vaksin beguk
- Anda baru-baru ini mengalami STD atau UTI
- Anda menggunakan kateter urinari
- Anda melakukan hubungan seks tanpa perlindungan (bertukar-tukar pasangan)
- Anda mempunyai masalah prostat atau saluran kencing
Gejala-gejala Orkitis
Gejala-gejala orkitis boleh muncul dengan cepat dan biasanya menyebabkan:
- Sakit atau sensitif pada satu atau kedua-dua testis
- Bengkak pada skrotum (kantung yang menampung testis)
- Kulit pada skrotum yang kemerahan atau panas
- Demam atau kesejukan
- Sakit semasa kencing atau ejakulasi
- Lelehan dari zakar (jika disebabkan oleh STD)
- Rasa tidak sihat atau letih
Jika anda mengalami gejala-gejala ini, anda perlu berjumpa doktor dengan segera.
Beberapa keadaan lain, seperti testicular torsion (testis terkilas), menyebabkan gejala yang serupa tetapi memerlukan rawatan kecemasan.
Bagaimana Diagnosis Dilakukan?
Doktor akan menanyakan mengenai gejala anda, melakukan pemeriksaan fizikal, dan mungkin menjalankan beberapa ujian untuk mengetahui punca masalah tersebut.
Ujian-ujian ini mungkin melibatkan:
- Ujian air kencing untuk memeriksa jangkitan
- Ujian STD jika anda aktif secara seksual
- Ultrabunyi pada testis untuk mengecualikan masalah yang lebih serius
Pilihan Rawatan
Rawatan orkitis bergantung kepada apa yang menyebabkannya:
1. Orkitis Virus (seperti beguk):
- Rehat
- Kompres ais pada skrotum
- Ubat penahan sakit (seperti ibuprofen)
- Seluar dalam sokongan untuk mengurangkan bengkak
Antibiotik tidak digunakan untuk orkitis virus kerana antibiotik hanya berkesan untuk bakteria.
2. Orkitis Bakteria:
- Antibiotik adalah rawatan utama.
- Jika disebabkan oleh STD, anda mungkin akan diberikan suntikan serta pil.
- Jika disebabkan oleh UTI atau jangkitan lain, anda akan diberikan antibiotik selama kira-kira 10 hari.
- Ubat penahan sakit dan rehat juga penting.
- Pasangan seksual mungkin perlu menjalani ujian dan rawatan juga.
Bolehkah Orkitis Menyebabkan Masalah Jangka Panjang?
Kebanyakan lelaki sembuh sepenuhnya, terutamanya dengan rawatan awal. Namun, jika dibiarkan tanpa rawatan, orkitis boleh menyebabkan:
- Pengecutan testis
- Kemandulan (terutama jika kedua-dua testis terjejas)
- Sakit kronik
- Dalam kes yang jarang berlaku, testis yang dijangkiti mungkin perlu dibuang
Pencegahan
Berikut adalah cara untuk mencegah atau mengurangkan risiko orkitis:
- Dapatkan vaksin MMR (measles, mumps, rubella) untuk melindungi daripada beguk
- Gunakan kondom untuk mengelakkan STD
- Dapatkan ujian STD secara berkala jika anda aktif secara seksual
- Rawat UTI dan masalah prostat dengan segera
- Amalkan kebersihan yang baik
Bila Perlu Berjumpa Doktor
Mana-mana sakit atau bengkak tiba-tiba pada testis perlu diperiksa oleh doktor dengan segera.
Menunggu terlalu lama boleh menyebabkan masalah yang lebih serius dan boleh membawa kepada komplikasi.
Kesimpulan
Orkitis bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan. Sama ada disebabkan oleh beguk, STD, atau jangkitan lain, rawatan awal boleh mengurangkan kesakitan dan mencegah kerosakan jangka panjang.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali mengalami sakit testis, jangan tunggu—periksa segera!
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2024). Orchitis-Symptoms and Causes. MayoClinic
- Cleveland Clinic. (2024). Orchitis: Causes, Symptoms, Treatment
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Mumps: Symptoms and Complications. U.S. Department of Health & Human Services.