Chlamydia ialah penyakit hubungan jenis (STD) yang boleh menjangkiti lelaki dan wanita. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan bakteria yang berjangkit melalui hubungan intim (hubungan seks). Chlamydia adalah jangkitan yang sering berlaku di Malaysia.
Chlamydia berlaku empat kali ganda lebih kerap daripada penyakit gonorea. Wanita yang dijangkiti boleh mengalami kerosakan yang teruk terhadap sistem reproduktif (peranakan) mereka.
Akibatnya, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk mengandung atau tidak dapat mengandung.
Penyakit ini sangat mudah merebak melalui hubungan intim dengan pasangan yang telah dijangkiti. Wanita mengandung boleh menjangkiti bayi mereka semasa bersalin, dan boleh menyebabkan infeksi pada mata atau paru-paru (pneumonia) bayi.
Tanda-tanda atau Gejala
Kebanyakan orang yang dijangkiti tidak mempunyai sebarang gejala atau tanda. Sekiranya seseorang itu mempunyai gejala, gejala tersebut hanya akan muncul selepas beberapa minggu mereka melakukan hubungan intim dengan pasangan yang telah dijangkiti.
Bagi lelaki, tanda-tanda atau gejala yang boleh berlaku adalah:
- Keluar cecair dari zakar
- Pedih atau perik semasa membuang air kecil
- Sakit dan bengkak pada testis (jarang-jarang berlaku)
Bagi wanita pula, tanda-tanda atau gejala yang boleh berlaku adalah:
- Demam
- Keluar lendiran pada faraj
- Perdarahan diantara kitaran haid
- Sakit di bahagian abdomen (perut)
- Nanah dalam air kencing
- Haid yang menyakitkan
- Sakit semasa melakukan hubungan intim
- Gatal atau pedih di dalam atau sekitar faraj
Manakala, bagi bayi pula, tanda-tanda atau gejala jangkitan adalah seperti berikut:
- Demam
- Sakit mata
- Radang paru-paru (pneumonia)
Biasanya ia akan menunjukkan gejala dalam masa satu minggu hingga satu bulan selepas jangkitan.
Punca atau Penyebab
Jangkitan Chlamydia merebak melalui sentuhan seksual apabila cecair faraj atau air mani mengandungi bakteria yang menyebabkan Chlamydia tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain.
Sentuhan seksual ini termasuklah semua bentuk hubungan intim walaupun ia tidak melibatkan penetrasi atau ejakulasi.
Terdapat banyak cara untuk bakteria tersebut tersebar. Antaranya adalah:
- Hubungan intim: Bakteria disebarkan melalui zakar kepada faraj pasangannya atau sebaliknya.
- Seks anal: Bakteria disebarkan melalui zakar kepada dubur pasangannya atau sebaliknya.
- Seks oral: Bakteria disebarkan melalui mulut seseorang kepada zakar, faraj atau dubur pasangannya atau sebaliknya.
- Seks melibatkan alat: Bakteria tersebar melalui alat tersebut kepada mulut, zakar, faraj atau dubur.
- Rangsangan manual alat kelamin atau dubur: Walaupun ia jarang-jarang berlaku, sekiranya cecair faraj atau air manis yang telah dijangkiti bersentuhan dengan mata seseorang, ia boleh menyebabkan jangkitan kepada mata yang dipanggil konjuktivitis. Contohnya sekiranya seseorang itu memegang alat kelamin mereka dan kemudiannya menggosok mata mereka tanpa membasuh tangan dahulu.
Jika anda menghidap Chlamydia dan pernah dirawat pada masa lalu, anda masih boleh dijangkiti lagi. Ini boleh berlaku jika anda melakukan hubungan intim tanpa perlindungan dengan seseorang yang menghidap Chlamydia.
Walau bagaimanapun, tidak semua keintiman atau pertukaran cecair badan boleh menyebabkan Chlamydia. Contoh aktiviti yang tidak menyebabkan jangkitan adalah:
- Ciuman
- Berkongsi makanan dan minuman
- Berpelukan atau memegang tangan
- Menggunakan tandas selepas orang lain
- Tersedut titisan air selepas seseorang bersin atau batuk
Golongan Berisiko
Terdapat beberapa golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Chlamydia iaitu:
- Individu kuat syahwat
- Gay
- Dwiseksual (bisexual)
- Sesiapa yang melakukan hubungan intim tanpa perkahwinan
Rawatan
Pesakit wanita boleh diperiksa melalui pengambilan swab ke dalam pangkal rahim semasa pemeriksaan pelvis, sementara pesakit lelaki boleh diperiksa dengan swab ke dalam hujung salur air kencing untuk mengambil spesimen. Pemeriksaan air kencing boleh juga dilakukan untuk kedua-dua jantina.
Penyakit ini boleh sembuh dengan pemberian antibiotik selama seminggu.
Rawatan awal digalakkan. Ia boleh mengelak daripada masalah seperti penyakit radang pelvis (pelvic inflammatory disease) di samping kemandulan dan masalah mengandung.
Rawatan mesti diberi sepenuhnya sehingga gejala Chlamydia hilang. Pesakit tidak digalakkan mengambil arak, susu dan produk tenusu yang lain.
Dalam kes-kes Chlamydia melalui perhubungan seksual, kedua-dua pasangan perlu dirawat bersama. Aktiviti seks perlu dielakkan sehingga rawatan selesai. Rawatan susulan juga penting, kerana doktor perlu memastikan jangkitan penyakit tersebut sembuh sepenuhnya.
Komplikasi
Chlamydia boleh mendatangkan komplikasi yang serius jika tidak dirawat.
Bagi wanita, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Penyakit keradangan pelvis
- Kemandulan
- Sukar untuk mengandung
- Mengandung di luar rahim
Seterusnya, bagi lelaki pula, komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Jangkitan pada saluran sperma
- Mandul
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Chlamydia. Cleveland Clinic.
- Centers for Disease Control and Prevention. Chlamydia – CDC Fact Sheet.