Bagi anda yang tidak mengetahui sama ada beguk boleh berjangkit atau tidak. Jawapannya adalah Ya. Beguk boleh berjangkit dan sangat mudah berjangkit.
Beguk adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus. Bagi mereka yang dijangkiti, pada mulanya mereka akan mengalami demam selama beberapa hari. Selain itu, mereka akan turut mengalami gejala-gejala lain seperti:
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Kepenatan
- Sakit otot
Kemudian, selepas itu pesakit akan mengalami bengkak di kelenjar air liur yang menyebabkan pipi kelihatan bengkak. Kelenjar air liur ini turut dikenali sebagai kelenjar parotid yang terletak di hadapan dan bawah telinga.
Kelenjar air liur yang bengkak ini turut menyebabkan rasa sakit pada sisi muka. Selain itu, pesakit mungkin turut mengalami gejala-gejala lain seperti:
- Sukar untuk menelan
- Sakit semasa menelan
- Demam
- Mulut kering
- Sakit pada sendi
Walaupun, beguk selalunya berlaku kepada kanak-kanak, ia juga boleh berlaku kepada orang dewasa terutamanya sekiranya mereka tidak mengambil vaksin beguk iaitu vaksin MMR.
Bagaimana Beguk Boleh Berjangkit?
Beguk adalah penyakit yang disebabkan oleh virus. Penyakit ini boleh berjangkit atau menular melalui sentuhan langsung dengan air liur atau titisan daripada mulut, hidung atau tekak.
Mereka yang telah dijangkiti boleh menyebarkan virus ini melalui:
- Batuk
- Bersin
- Bercakap
- Berkongsi barangan yang mempunyai air liur seperti cawan, sudu atau botol air
- Menyertai aktiviti yang melibatkan kontak rapat seperti menari, bersukan atau bercium
Individu yang telah dijangkiti boleh menyebarkan virus beguk ini beberapa hari sebelum mereka mengalami bengkak di kelenjar air liur sehingga 5 hari selepas bengkak bermula.
Sekiranya anak anda dijangkiti beguk, langkah terbaik adalah tidak menghantar mereka ke pusat asuhan atau sekolah serta tidak menyertai sebarang majlis sosial.
Adakah Beguk Berbahaya?
Walaupun kebanyakan kanak-kanak boleh pulih sepenuhnya dalam masa 2 minggu. Tetapi, penyakit beguk ini boleh menjadi serius dan berbahaya bagi sesetengah orang.
Sesetengah orang mungkin berasa sangat sakit dan tidak boleh makan kerana sakit rahang dan mungkin mengalami komplikasi yang serius.
Komplikasi lebih banyak berlaku kepada golongan dewasa berbanding kanak-kanak.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Orkitis (Keradangan Testis): Bagi lelaki dewasa dan remaja lelaki, mereka boleh mengalami keradangan pada testis yang menyebabkan testis mereka bengkak dan sakit. Bengkak ini biasanya mula surut selepas 1 minggu dan kesakitan mungkin lebih lama dari itu.
- Ooforitis (Keradangan Ovari): Wanita dewasa dan remaja perempuan boleh mengalami keradangan ovari akibat daripada jangkitan beguk. Ia menyebabkan ovari membengkak dan sakit. Bengkak ini biasanya surut apabila sistem imun melawan virus tersebut.
- Meningitis: Meningitis adalah komplikasi yang jarang berlaku. Ini mengakibatkan keradangan pada selaput yang melindungi otak dan saraf tunjang akibat daripada penularan virus beguk ke dalam saluran darah.
- Keradangan pankreas: Keradangan ini mengakibatkan rasa sakit di bahagian atas abdomen.
Bagi wanita hamil yang diserang beguk pada minggu ke 12-16 kehamilan, mereka berisiko untuk mengalami keguguran.
Kesan yang paling berbahaya yang boleh disebabkan oleh beguk adalah:
- Kehilangan pendengaran: Kehilangan pendengaran adalah komplikasi yang sangat jarang berlaku.
- Ensefalitis: Ensefalitis iaitu keradangan pada otak adalah komplikasi yang paling bahaya bagi beguk kerana ia boleh membawa kematian. Walau bagaimanapun, ia sangat jarang berlaku.
Langkah-langkah Pencegahan
Vaksin untuk beguk (vaksin MMR) adalah langkah pencegahan terbaik untuk mencegah beguk. Vaksin ini sangat bermanfaat untuk mengurangkan komplikasi serius seperti kehilangan pendengaran (pekak) dan ensefalitis.
Selain itu, orang dewasa juga masih boleh menerima vaksin beguk terutamanya sekiranya mereka melancong atau mengembara ke negara yang berisiko seperti:
- India
- Sesetengah tempat di Afrika
- Jepun
- Pakistan
- Asia Tenggara
Selain itu, mereka yang bekerja di sektor kesihatan juga turut disarankan untuk menerima vaksin MMR.
Bagi anda atau anak anda yang telah dijangkiti, anda boleh mencegah beguk daripada menular dengan melakukan perkara-perkara berikut:
- Menutup mulut dan hidung dengan tisu semasa batuk atau bersin. Kemudian, membuang tisu tersebut di dalam tong sampah.
- Membasuh tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya selama 20 saat.
- Mengelakkan daripada berkongsi barangan yang mungkin mempunyai air liur padanya seperti cawan atau botol minuman.
- Kerap membasmi kuman pada permukaan yang disentuh.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Mumps.