Apa itu Beguk?
Beguk adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur. Lazimnya, beguk berlaku kepada kanak-kanak tetapi ia juga boleh berlaku kepada orang dewasa.
Beguk adalah penyakit yang mudah tersebar melalui air liur dan mukus. Hanya dengan bercakap, berkongsi perkakas atau batuk, anda boleh dijangkiti dengan virus ini.
Penyakit ini biasanya mengambil masa kira-kira 2-3 minggu untuk kelihatan. Penyakit ini sebenarnya sudah jarang-jarang berlaku sejak pengenalan vaksin MMR.

Walau bagaimanapun, wabak masih berlaku di sesetengah tempat sama ada disebabkan oleh kesukaran akses kepada vaksin, pengubahan antigen, kegagalan vaksin dan golongan antivaksin.
Simptom-simptom atau Tanda-tanda Beguk
Simptom-simptom boleh menjadi sangat ringan dan anda mungkin menyedari bahawa anda telah dijangkiti. Atau anda mungkin berasa seperti anda dijangkiti selesema.
Tanda-tanda beguk yang paling jelas ialah kelenjar air liur bengkak, tetapi gejala ini muncul dalam kurang daripada separuh kes.
Berikut adalah beberapa simptom atau tanda yang perlu diperhatikan:
- Ketidakselesaan atau sakit di kelenjar air liur di rahang
- Ketidakselesaan atau sakit di kelenjar parotid (di hadapan telinga)
- Sukar untuk mengunyah dan menelan
- Demam
- Sakit kepala
- Sakit badan
- Hilang selera makan
- Kelesuan
- Sakit pada testikel (buah zakar)
Sekiranya anda mengesyaki anda menghidap beguk, sila dapatkan rawatan segera. Ingat bahawa beguk boleh berjangkit.
Elakkan kontak rapat dengan orang lain sehingga sekurang-kurangnya 5 hari selepas simptom-simptom kelihatan.
Tetapi anda mungkin boleh menyebarkan virus itu sebanyak 7 hari sebelum dan 9 hari selepas kelenjar air liur anda mula membengkak.
Punca yang Menyebabkan Beguk
Anda boleh mendapat virus yang menyebabkan beguk ini hanya melalui sentuhan dengan titisan air liur seseorang yang telah dijangkiti.
Titisan boleh dilepaskan di udara apabila mereka yang dijangkiti bersin, batuk atau bercakap.
Berada dalam persekitaran yang sesak dengan seseorang yang mempunyai virus boleh membawa kepada wabak, jadi pertimbangkan jenis persekitaran ini di mana orang dewasa berkongsi ruang:
- Kumpulan atlet
- Bilik asrama kolej
- Kelas
Anda juga boleh menyebarkan beguk melalui:
- Ciuman
- Menggunakan gincu orang lain
- Berkongsi rokok
Bagaimana Beguk di Diagnosis?
Doktor boleh mendiagnosis beguk berdasarkan simptom-simptom yang anda alami dan ujian virus. Ujian mungkin dilakukan dengan sapuan pipi atau tekak anda, atau anda mungkin menjalani ujian darah atau air kencing.
Dalam kes di mana jangkitan mungkin telah merebak ke otak atau saraf tunjang, anda mungkin memerlukan menjalani tebukan lumbar untuk menguji cecair cerebrospinal.
Bagaimana Beguk di Rawat?
Oleh sebab beguk disebabkan oleh virus, tiada ubat yang boleh menyembuhkannya. Kebanyakan orang pulih sepenuhnya selepas beberapa minggu.
Untuk meredakan simptom-simptom yang dialami, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
- Dapatkan rehat yang mencukupi
- Gunakan kompres sejuk atau suam pada kelenjar yang bengkak
- Makan ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen
- Makan makanan lembut
- Kekal terhidrat dengan minum banyak air
- Elakkan makanan masam yang boleh menyebabkan penghasilan air liur
Komplikasi Beguk bagi Orang Dewasa
Orang dewasa yang menghidap beguk lebih cenderung untuk mengalami komplikasi berbanding kanak-kanak.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Meningitis atau encephalitis: Keradangan pada membran yang melitupi otak dan saraf tunjang atau keradangan otak.
- Mastitis: Keradangan tisu payudara
- Orchitis: Keradangan satu atau kedua-dua testikel
- Parotitis: Keradangan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid
- Oophoritis: Keradangan pada satu atau kedua-dua ovari
- Pancreatitis: Keradangan pada pankreas.
- Pekak.
Rujukan
- John Hopkins Medicine. Mumps in Adults
- WebMD Editorial Contributor. (2022). Mumps in Adults. WebMD.