Beguk ialah sejenis jangkitan virus yang menyerang kelenjar air liur yang terletak berdekatan dengan telinga. Beguk akan menyebabkan bengkak di salah satu atau kedua-dua bahagian kelenjar air liur ini.
Terdapat tiga set kelenjar air liur disetiap sebelah muka manusia dan ia terletak di belakang dan di bawah telinga. Kelenjar air liur atau turut dikenali sebagai kelenjar parotid ini bertanggungjawab untuk menghasilkan air liur.
Penyakit beguk ini boleh berjangkit antara satu individu kepada individu yang lain menerusi air liur, hingus atau kontak rapat.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah untuk dijangkiti oleh virus ini. Dalam kes tertentu, virus beguk ini boleh juga menyebabkan keradangan di testis, ovari, pankreas dan meninges (tiga lapisan selaput yang membaluti otak dan saraf tunjang).
Biasanya mereka yang pernah terkena beguk ini akan imun terhadap jangkitan yang sama di masa hadapan.
Simptom-simptom Beguk
Sesetengah orang yang dijangkiti virus beguk ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom. Biasanya, simptom-simptom yang terbentuk adalah setelah 2 atau 3 minggu terdedah kepada virus ini.
Tanda atau simptom yang paling jelas bagi beguk adalah bengkak pada kelenjar air liur yang membuatkan pipi membengkak.
Simptom-simptom lain termasuklah:
- Sakit di bahagian pipi yang bengkak
- Sakit semasa mengunyah atau menelan
- Demam
- Sakit kepala
- Hilang selera makan
- Kelesuan atau lemah badan
- Sakit otot
Punca
Beguk berpunca daripada virus yang mudah berjangkit. Virus ini boleh berjangkit antara individu kepada individu yang lain melalui air liur,
Mereka yang mempunyai sistem imun yang rendah mudah untuk dijangkiti sekiranya terdedah kepada bersin atau batuk mereka yang telah dijangkiti oleh virus ini.
Anda juga boleh dijangkiti sekiranya berkongsi perkakas dapur seperti sudu, garfu atau cawan.
Komplikasi
Dalam sesetengah kes, beguk juga boleh menyebabkan komplikasi.
Kebanyakan komplikasi yang berkaitan dengan beguk melibatkan keradangan dan bengkak di bahagian-bahagian badan tertentu seperti:
- Testis: Dikenali sebagai orkitis iaitu keradangan pada testis yang menyebabkan satu atau kedua-duanya membengkak (terjadi dalam kalangan lelaki yang telah baligh).
- Otak: Sekiranya jangkitan virus ini menyebabkan keradangan kepada otak. Keadaan ini dikenali sebagai ensefalitis.
- Pankreas. Keadaan ini dikenali sebagai pankreatitis.
- Otak dan saraf tunjang. Dikenali sebagai meningitis. Meningitis berlaku akibat daripada jangkitan virus yang menyerang sistem saraf pusat.
- Ooforitis. Bengkak pada ovari.
- Mastitis. Bengkak pada payudara (perempuan).
Komplikasi-komplikasi lain:
- Keguguran. Beguk semasa awal kehamilan boleh menyebabkan keguguran.
- Masalah jantung. Komplikasi ini jarang berlaku. Ia menyebabkan deyutan jantung tidak normal dan penyakit otot jantung.
- Hilang pendengaran. Hilang pendengaran di sebelah atau kedua-dua belah telinga (sementara atau kekal)
Rawatan
Beguk adalah penyakit yang disebabkan oleh virus. Maka, antibiotik atau ubat-ubatan lain tidak mempunyai kesan terhadap virus ini.
Meskipun begitu, rawatan boleh dijalankan untuk mengurangkan simptom-simptom yang berlaku . Antaranya adalah:
- Mengambil ubat seperti paracetamol atau ibuprofen untuk melegakan demam.
- Berehat jika badan terasa lemah atau letih.
- Merawat bengkak beguk dengan pek ais.
- Minum air yang banyak ketika demam bagi mengelakkan dehidrasi.
- Makan makanan yang lembut bagi memudahkan untuk menguyah.
- Elakkan makanan berasid yang boleh menambahkan kesakitan pada kelenjar air liur.
Langkah Pencegahan
Langkah pencegahan terbaik untuk penyakit ini ialah dengan mendapatkan vaksin.
Vaksin untuk penyakit beguk ini ialah kombinasi inokulasi measles-mumps-rubella (MMR). 2 dos vaksin MMR ini dicadangkan kepada kanak-kanak mengikut lingkungan usia:
- Antara umur 12 dan 15 bulan
- Antara umur 4 dan 6 tahun
Orang dewasa terutamanya buat mereka yang merantau ke negara-negara berisiko juga digalakkan untuk mengambil suntikan vaksin MMR ini. Contoh-contoh negara berisiko adalah:
- India
- Asia Tenggara
- Jepun
- Pakistan
- Sebahagian tempat di Afrika
Beberapa langkah lain boleh diambil bagi mengelakkan penyebaran jangkitan virus ini. Antaranya adalah:
- Kerap membasuh tangan dengan sabun dan air
- Tutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk
- Tidak hadir ke tempat kerja atau sekolah sehingga 5 hari selepas simptom-simptom bermula.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Mumps. MayoClinic
- Erica Roth. (2018). Mumps: Prevention, Symptoms, and Treatment. Healthline.