Penyakit meningitis adalah keradangan (bengkak) pada membran pelindung yang meliputi otak dan saraf tunjang. Jangkitan bakteria atau virus pada cecair dikeliling otak dan saraf tunjang biasanya menyebabkan bengkak.
Walau bagaimanapun, kecederaan, kanser, ubat tertentu dan jangkitan-jangkitan lain turut menyebabkan meningitis.
Meningitis boleh menjadi serius jika tidak dirawat dengan cepat. Ia boleh menyebabkan keracunan darah yang boleh mengancam nyawa dan menyebabkan kerosakan yang kekal terhadap otak dan saraf.
Vaksinasi boleh menjadi langkah pencegahan awal dalam menyediakan perlindungan terhadap meningitis.
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda awal meningitis mungkin menyerupai selesema (influenza). Gejala atau simptom ini boleh berkembang selama beberapa jam atau beberapa hari.
Gejala-gejala atau tanda bagi mereka yang berumur 2 tahun ke atas adalah:
- Demam panas
- Rasa tegang di leher
- Sakit kepala yang teruk yang berbeza daripada biasa
- Sakit kepala dengan loya dan muntah
- Sukar untuk memberikan tumpuan atau kekeliruan
- Sawan
- Mengantuk atau sukar untuk bangun tidur
- Sensitif kepada cahaya
- Tidak berselera atau dahaga
- Ruam kulit
Gejala-gejala bagi Bayi
Bayi atau bayi baru lahir mungkin menunjukkan gejala-gejala atau simptom seperti berikut:
- Demam panas
- Menangis berterusan
- Sukar untuk bangun daripada tidur
- Tidak aktif dan lembap
- Muntah-muntah
- Tidak bangun untuk makan
- Tidur berlebihan atau meragam
- Pemakanan yang kurang baik
- Benjolan pada titik lembut di atas kepala bayi
- Tegang di bahagian badan dan leher
Punca
Jangkitan bakteria dan virus adalah antara punca yang sering menyebabkan penyakit meningitis. Penyakit meningitis ini juga boleh disebabkan oleh jangkitan parasit dan kulat (fungus).
1. Meningitis bakteria
Meningitis bakteria adalah jangkitan yang serius dan boleh mengancam nyawa. Pesakit yang dijangkiti boleh meninggal dunia hanya beberapa jam selepas dijangkiti.
Walau bagaimanapun, ramai juga yang dijangkiti boleh sembuh daripada jangkitan tersebut. Mereka yang sembuh ini boleh mengalami kecacatan kekal seperti kerosakan otak, hilang pendengaran dan ketidakupayaan pembelajaran.
Meningitis bakteria disebabkan oleh beberapa jenis bakteria iaitu:
- Streptococcus pneumoniae
- Group B Streptococcus
- Neisseria meningitidis
- Haemophilus influenzae
- Listeria monocytogenes
- Escherichia coli
Sesetengah bakteria lebih lazim menjangkiti kumpulan umur tertentu seperti:
- Bayi baru lahir: Group B Streptococcus, S. pneumoniae, L. monocytogenes, E. coli
- Bayi dan kanak-kanak kecil: S. pneumoniae, N. meningitidis, H. influenzae, group B Streptococcus, M. tuberculosis
- Remaja dan belia: N. meningitidis, S. pneumoniae
- Golongan berumur: S. pneumoniae, N. meningitidis, H. influenzae, group B Streptococcus, L. monocytogenes
Bagaimana ia merebak?
Berikut adalah beberapa cara bagaimana bakteria-bakteria yang menyebabkan meningitis boleh tersebar:
- Group B Streptococcus dan E. coli: Ibu boleh menyebarkan bakteria ini kepada bayi mereka semasa bersalin.
- H. influenzae, M. tuberculosis dan S. pneumoniae: Bakteria ini tersebar apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin berdekatan dengan orang lain.
- N. meningitidis: Bakteria ini tersebar melalui perkongsian ciuman, batuk atau tinggal bersama.
- E. coli: Bakteria ini boleh tersebar melalui makanan yang tercemar seperti makanan yang disediakan oleh orang tidak membasuh tangan dengan bersih selepas pergi ke tandas.
2. Meningitis virus
Meningitis virus adalah jenis yang paling lazim berlaku. Ramai orang pulih dengan sendirinya tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, sesiapa yang mengalami simptom-simptom meningitis dinasihatkan untuk berjumpa doktor kerana ia boleh menjadi serius dan berbahaya.
Meningitis virus boleh disebabkan oleh:
- Non-polio enteroviruses
- Virus beguk
- Virus herpes
- Virus campak
- Virus influenza
- Arbonovirus
- Lymphocytic choriomeningitis virus
Bagaimana ia merebak?
Kontak rapat dengan mereka yang telah dijangkiti virus meningitis ini boleh menyebarkan virus tersebut.
3. Meningitis Kulat (Fungus)
Meningitis kulat (fungus)boleh terjadi apabila jangkitan kulat pada badan merebak ke otak atau saraf tunjang.
Antara kulat yang menyebabkan meningitis adalah:
- Cryptococcus
- Histoplasma
- Blastomyces
- Coccidioides
- Candida
Bagaimana ia merebak?
Kebanyakan kulat hidup di persekitaran terutamanya di dalam tanah. Seseorang boleh sakit sekiraya mereka bernafas dalam spora kulat tersebut.
Manakala bagi kulat Candida, kulat ini biasanya hidup di dalam badan dan pada kulit manusia tanpa menyebabkan sebarang masalah. Tetapi, bagi mereka yang berisiko seperti mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, Candida boleh menyebabkan jangkitan.
4. Meningitis Parasit
Meningitis parasit kurang berlaku berbanding meningitis bakteria dan virus. Pelbagai parasit boleh menyebabkan penyakit ini.
Antaranya adalah:
- Angiostrongylus cantonensis
- Baylisascaris procyonis
- Gnathostoma spinigerum
Bagaimana ia merebak?
Parasit-parasit ini biasanya menjangkiti haiwan dan bukannya manusia. Tetapi manusia boleh dijangkiti sekiranya mereka memakan haiwan yang dijangkiti atau makanan yang tercemar.
5. Meningitis amebik
Meningitis amebik disebabkan oleh ameba Naegleria fowleri. Jangkitan ini jarang-jarang berlaku dan biasanya menyebabkan kematian.
Ameba ini hidup di dalam tanah dan air tawar hangat di seluruh dunia. Ia tumbuh dengan baik pada suhu 46°C. Ameba ini boleh dijumpai di tempat-tempat berikut:
- Tasik
- Sungai
- Mata air panas
- Kolam renang
- Pemanas air
- Tanah
N. fowleri tidak hidup di dalam air masin seperti laut.
6. Meningitis bukan jangkitan
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan meningitis. Namun,ia tidak disebabkan oleh jangkitan patogen. Ini bermakna ia tidak berjangkit.
Antara punca atau penyebab yang menyebabkan meningitis bukan jangkitan adalah:
- Kanser
- Kecederaan kepala
- Pembedahan otak
- Ubat-ubatan tertentu
- Lupus (lupus eritematosus sistemik)
Penyakit Meningitis vs Penyakit Meningococcal
Menurut Centers for Diasease Control and Prevention (CDC), menghidap meningitis tidak semestinya bermakna anda menghidap penyakit Meningococcal. Menghidap penyakit Meningococcol juga tidak bermakna anda menghidap meningitis.
Penyakit Meningococcol disebabkan oleh bakteria jenis Neisseria meningitidis.
Diagnosis
Doktor mungkin akan menjalankan beberapa pemeriksaan atau ujian seperti:
- Pemeriksaan fizikal
- Kultur darah
- Pengimejan seperti imbasan CT atau pengimejan resonan magnet (MRI)
- Tebukan lumbar
Rawatan
Rawatan kepada penyakit meningitis ini bergantung kepada jenis meningitis yang dialami.
Meningitis bakteria boleh dirawat dengan antibiotik. Antibiotik atau kombinasi antibiotik bergantung kepada jenis bakteria yang menyebabkan jangkitan tersebut.
Meningitis virus tidak boleh dirawat dengan antibiotik. Kebanyakan kes boleh bertambah baik dengan sendirinya selepas beberapa minggu. Bagi kes yang ringan, meningitis ini boleh dirawat dengan berehat, minum air yang cukup dan ubat belian kaunter untuk mengurangkan demam dan sakit badan yang lain.
Doktor juga mungkin akan mempreskripsi ubat kortikosteroid untuk mengurangkan bengkak di otak dan ubat antikonvulsan untuk mengawal sawan.
Ubat antikulat pula akan digunakan untuk merawat meningitis kulat (fungus). Bagi meningitis bukan jangkitan pula, rawatan akan bergantung kepada punca atau penyebab penyakit tersebut.
Komplikasi
Penyakit meningitis boleh menyebabkan komplikasi yang teruk bagi orang dewasa dan kanak-kanak, terutamnya sekiranya lambat menerima rawatan.
Antara komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Kerosakan otak
- Sawan
- Hilang pendengaran
- Masalah ingatan
- Masalah pembelajaran
- Kegagalan buah pinggang
- Susah untuk berjalan
- Terkejut
- Kematian
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. (2020). Meningitis.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Meningitis. MayoClinic