Apa itu Gonorea?
Gonorea ialah penyakit hubungan jenis yang menyerang lelaki dan perempuan. Ia disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae. Ia cenderung untuk menyasarkan kawasan badan yang hangat dan lembap, termasuk:
- Salur kencing
- Faraj
- Anus
- Mata
- Kerongkong
- Tiub Fallopian
- Uterus
- Serviks
Gonorea boleh berjangkit daripada seorang ke seorang yang lain melalui oral, dubur atau hubungan kelamin tanpa kondom.
Bagi ibu hamil, bayi yang dikandung boleh dijangkiti semasa bersalin. Pada bayi, gonorea paling kerap menjejaskan mata.
Simptom-simptom atau Tanda
Simptom-simptom biasanya berlaku dalam masa 2 hingga 14 hari selepas terdedah kepada jangkitan ini.
Namun begitu, sesetengah orang yang dijangkiti gonorea tidak mempunyai simptom-simptom.
Simptom-simptom atau tanda bagi lelaki yang dijangkiti adalah:
- Sakit ketika kencing
- Sakit atau bengkak pada testis (buah zakar)
- Keluar lelehan seperti nanah daripada zakar (sama ada berwarna putih, kuning, kuning air atau kehijauan)
- Kerap membuang air kecil atau desakan untuk membuang air kecil
- Sakit tekak yang berterusan
Simptom-simptom atau tanda bagi wanita yang dijangkiti adalah:
- Peningkatan lelehan faraj (berair, berkrim atau kehijauan)
- Sakit ketika membuang air kecil
- Pendarahan faraj diantara haid seperti pendarahan selepas hubungan intim
- Sakit di bahagian abdomen atau pelvis
- Demam
- Sakit tekak
Punca yang Menyebabkan Gonorea
Gonorea disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhoeae. Bakteria ini merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain melalui hubungan seksual termasuklah melalui oral, dubur atau persetubuhan.
Bakteria N. gonorrhoeae adalah bakteria kedua paling lazim menyebabkan penyakit hubungan jenis (STD) di seluruh dunia.
Faktor risiko
Wanita muda yang berumur bawah 25 tahun yang aktif secara seksual dan lelaki yang melakukan hubungan sejenis berisiko tinggi untuk menghidap gonorea.
Beberapa faktor risiko lain yang meningkatkan risiko seseorang itu untuk dijangkiti gonorea adalah:
- Mempunyai pasangan seks baru
- Mempunyai pasangan seks yang mempunyai pasangan lain
- Mmepunyai lebih daripada satu pasangan seks
- Menghidap gonorea atau penyakit kelamin yang lain
Diagnosis
Beberapa ujian mungkin dijalankan oleh doktor untuk mengetahui sama ada pesakit menghidap gonorea atau tidak. Antara ujian yang mungkin dijalankan adalah:
- Ujian air kencing: Ujian ini untuk mengenal pasti bakteria yang terdapat dalam salur kencing
- Ujian swab di kawasan terkesan: Ujian swab dilakukan di kawasan terkesan seperti kerongkong, salur kencing atau faraj bagi mengumpul bakteria untuk dikenalpasti di makmal.
- Ujian darah: Ujian darah dilakukan sekiranya doktor mengesyaki berlakunya jangkitan dalam darah.
Rawatan
Rawatan yang betul boleh menyembuhkan penyakit gonorea ini. Rawatan utama bagi gonorea adalah ubat antibiotik.
Centers for Disease Control and Prevention (CDC) mencadangkan agar rawatan gonorea yang tidak kompleks dirawat menggunakan ubat antibiotik ceftriaxone (diberikan melalui suntikan) dan ubat makan azithromycin.
Sekiranya pesakit mempunyai alahan terhadap ubat antibiotik ceftriaxone, gabungan suntikan gentamicin dan ubat makan azithtomycin boleh diberikan.
Sekiranya pesakit telah mendapatkan rawatan, pesakit perlu menunggu tujuh hari selepas menghabiskan semua ubat sebelum melakukan hubungan seks.
Untuk mengelak daripada dijangkiti gonorea lagi atau menyebarkan gonorea kepada pasangan, pesakit dan pasangan seks harus mengelak daripada melakukan hubungan seks sehingga selesai setiap rawatan.
Komplikasi
Sekiranya tidak dirawat, gonorea boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius seperti:
- Ketidaksuburan bagi wanita
- Ketidaksuburan bagi lelaki
- Jangkitan yang boleh merebak ke bahagian sendi atau bahagian badan yang lain
- Berisiko untuk menghidap HIV/AIDS
- Komplikasi terhadap bayi (bagi ibu yang dijangkiti)