Minyak kelapa dara mempunyai banyak khasiat tersembunyi yang mungkin ramai masih tidak tahu. Khasiat minyak kelapa dara ini boleh dimanfaatkan oleh kaum lelaki atau wanita.
Minyak kelapa dara atau dalam bahasa Inggerisnya virgin coconut oil (VCO) merujuk kepada minyak kelapa yang didapati daripada isi buah kelapa yang segar dan matang melalui kaedah mekanikal atau semulajadi tanpa penggunaan haba dan bahan kimia.
Artikel ini membawakan khasiat-khasiat minyak kelapa dara berdasarkan kajian serta maklumat ringkas mengenai penghasilan minyak ini dan cara penyimpanannya.
Pokok kelapa mempunyai 1001 kegunaannya. Begitu juga dengan buah kelapa, buah kelapa boleh menghasilkan minyak, santan dan juga air kelapa yang menyegarkan.
Minyak kelapa dara semakin terkenal dan mendapat tempat dalam pasaran kerana sifatnya yang kaya dengan antioksidan dan khasiatnya terhadap tubuh badan manusia.
Berikut adalah beberapa khasiat minyak kelapa dara yang disokong oleh kajian-kajian sains.
1. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kandungan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung koronari. Diet yang tinggi lemak dikatakan antara penyebab kepada peningkatan kepada penyakit kardiovaskular.
Kajian klinikal telah dijalankan terhadap 160 peserta sihat yang berumur 50 hingga 75 tahun. Peserta-peserta ini dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu kumpulan minyak kelapa dara, mentega dan minyak zaitun dara. Mereka dikehendaki mengambil 50 gram lemak atau minyak ini setiap hari selama 4 minggu.
Hasil kajian mendapati tiada peningkatan ketara pada kadar kolesterol-LDL bagi kumpulan minyak kelapa dara. Minyak kelapa dara juga didapati boleh meningkatkan kadar kolesterol-HDL (kolesterol baik) yang bermanfaat untuk kesihatan jantung. [1]
2. Baik untuk Kesihatan Kulit
Khasiat minyak kelapa dara juga boleh dimanfaatkan sebagai pelembap kulit.
Kajian yang dijalankan terhadap 34 orang pesakit kulit kering (xerosis) mendapati minyak kelapa dara turut menunjukkan keberkesanannya dengan meningkatkan kelembapan kulit dan meningkatkan lapisan lemak (lipid) di permukaan kulit.
Kajian ini juga turut mendapati minyak ini selamat digunakan dan tiada kesan sampingan yang berlaku. [2]
Kajian lain yang dijalankan terhadap kanak-kanak yang menghidap ekzema turut mendapati pengambilan minyak kelapa dara menunjukkan kesan penambahbaikan yang memberangsangkan. [3]
3. Boleh Mencegah Jangkitan Kuman
Minyak kelapa dara tinggi dengan kandungan asid laurik.
Apabila dihadam, asid ini akan bertukar menjadi bahan yang dikenali sebagai monolaurin. Asid laurik dan monolaurin boleh membunuh kuman yang terdiri daripada bakteria, kulat dan virus. [4]
Terdapat kajian tabung uji yang mendapati minyak kelapa dara berkesan dalam mencegah jangkitan akibat kulat Candida albicans. [5]
4. Mengandungi Asid Lemak yang Sihat
Minyak kelapa dara adalah minyak yang boleh dimakan yang terdiri daripada asid lemak sihat. Minyak kelapa kaya dengan asid lemak rantaian sederhana atau turut dikenali sebagai medium-chain fatty acids (MCFAs) yang terdiri daripada kira-kira 47% asid laurik. [6]
MCFAs lebih mudah dihadam dan terus dihantar ke hati untuk diproses menjadi tenaga atau ditukar menjadi keton. Secara asasnya, proses ini dapat mengelakkan penyimpanan lemak.
5. Membantu Mengurangkan Lemak di Perut
Minyak kelapa dara terdiri daripada asid lemak yang boleh mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran lemak.
Lemak perut atau popular dipanggil “belly fat” adalah petanda bahawa seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit kronik.
Asid lemak rantaian sederhana didapati berkesan untuk mengurangkan lemak perut berbanding asid lemak rantaian panjang. [7]
Satu kajian yang dijalankan terhadap 40 orang wanita obes (bahagian perut) mendapati pengambilan minyak kelapa sebanyak 30 mililiter setiap hari selama 12 minggu berjaya mengurangkan ukur lilit pinggang dan Body Mass Index (BMI).
Malah, minyak kelapa juga didapati tidak menyebabkan peningkatan lemak atau kolesterol dalam darah. [8]
6. Mengandungi Antioksidan yang Kuat
Selain mengandungi asid lemak yang sihat, minyak kelapa dara juga mengandungi antioksidan yang kuat.
Kajian menunjukkan minyak kelapa dara mengandungi antioksidan seperti asid galik, asid ferulik, kuarsetin, dan katekin.
Antioksidan-antioksidan dalam minyak kelapa dara ini boleh melindungi sel-sel dalam badan daripada tekanan oksidatif. [9]
7. Mencegah Kerosakan Rambut
Minyak kelapa juga baik untuk mencegah kerosakan rambut. Ini kerana minyak kelapa mempunyai kemampuan untuk mengurangkan kehilangan protein bagi rambut rosak atau rambut sihat.
Keadaan ini disebabkan oleh kandungan asid laurik dalam minyak ini yang boleh menyerap masuk ke batang rambut. [10]
Bagaimana Proses Penghasilkan Minyak Kelapa Dara?
Perbezaan antara minyak kelapa dara dan minyak kelapa yang biasa adalah proses pembuatan dan pengekstrakannya. Proses pengekstrakan minyak kelapa dara ini tidak membenarkan penggunaan haba atau haba paling minima.
Kaedah pemampatan sejuk adalah antara kaedah terbaik untuk menghasilkan minyak kelapa dara.
Kini, banyak produk minyak kelapa dara yang berada di pasaran yang boleh didapati di kedai-kedai jamu atau secara atas talian
Cara Penyimpanan
Minyak kelapa boleh disimpan di dalam bekas yang tertutup dan di letakkan di kawasan yang terhindar dari sinaran matahari atau di dalam peti sejuk.
Minyak kelapa dara biasanya boleh bertahan sehingga 2 hingga 3 tahun sekiranya di simpan dengan baik dan jauh dari haba dan cahaya matahari.
Rumusan
Banyak khasiat yang boleh diperolehi daripada minyak kelapa dara sama ada untuk luaran atau dalaman badan. Sekiranya digunakan untuk makan, pengguna masih disarankan untuk menghadkan pengambilannya walaupun kajian klinikal menunjukkan kesan yang positif terhadap kadar kolesterol-HDL.
Khasiat-khasiat lain bagi minyak kelapa dara masih diperingkat yang memerlukan kajian lanjut dijalankan bagi menguatkan hasil kajian yang ditemui ini.
Rujukan
- Khaw, K. T., et al. (2018). Randomized trial of coconut oil, olive oil or butter on blood lipids and other cardiovascular risk factors in healthy men and women. BMJ open.
- Agero, A. L., et al. (2004). A randomized double-blind controlled trial comparing extra virgin coconut oil with mineral oil as a moisturizer for mild to moderate xerosis. Dermatitis : contact, atopic, occupational, drug .
- Evangelista, M. T., et al. (2014). The effect of topical virgin coconut oil on SCORAD index, transepidermal water loss, and skin capacitance in mild to moderate pediatric atopic dermatitis: a randomized, double-blind, clinical trial.International journal of dermatology.
- Kabara, J. J., et al. (1972). Fatty acids and derivatives as antimicrobial agents. Antimicrobial agents and chemotherapy.
- Ogbolu, D. O., et al. (2007). In vitro antimicrobial properties of coconut oil on Candida species in Ibadan, Nigeria. Journal of medicinal food.
- Boateng, L., et al. (2016). Coconut oil and palm oil’s role in nutrition, health and national development: A review. Ghana medical journal.
- Mumme, K., et al. (2015). Effects of medium-chain triglycerides on weight loss and body composition: a meta-analysis of randomized controlled trials. Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics.
- Assunção, M. L., et al. (2009). Effects of dietary coconut oil on the biochemical and anthropometric profiles of women presenting abdominal obesity. Lipids.
- Illam, S. P., et al. (2017). Polyphenols of virgin coconut oil prevent pro-oxidant mediated cell death. Toxicology mechanisms and methods.
- Rele, A. S., et al. (2003). Effect of mineral oil, sunflower oil, and coconut oil on prevention of hair damage. Journal of cosmetic science.