Mutakhir ini terdapat banyak tanggapan masyarakat yang menyatakan santan ini menyebabkan kolesterol tinggi. Adakah tanggapan ini benar? Artikel ini merungkai khasiat santan kelapa serta baik buruknya santan kelapa berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan.
Dalam masyarakat melayu, santan kelapa sudah tidak asing lagi. Santan banyak digunakan dalam masakan melayu sejak dahulu hinggalah kini. Sebagai contoh nasi lemak. Nasi lemak adalah menu sarapan harian bagi rakyat Malaysia.
Bagaimana Santan Kelapa dihasilkan?
Santan kelapa dihasilkan daripada isi kelapa tua yang diparut. Parutan isi kelapa ini akan dicampur dengan air dan diperah serta ditapis untuk mendapatkan santannya.

Bagi mendapatkan santan yang pekat, hanya satu kali campuran air dan perahan digunakan dalam parutan isi kelapa ini.
Manakala bagi santan yang cair, baki parutan isi kelapa yang telah digunakan untuk mendapatkan santan pekat dicampur air dan diperah untuk kali kedua atau ketiga bagi mendapatkan santan cair.
1. Kandungan Nutrisi
Santan kelapa ialah makan yang tinggi kalori.
Kira-kira 93% daripada kalorinya datang dari lemak termasuklah lemak tepu yang dikenali sebagai medium-chain triglycerides (MCT).
Dalam satu cawan (240 gram) santan kelapa terdapat nutrien berikut:
- Tenaga: 552 kcal
- Protein: 5.5 gram
- Lemak: 57 gram
- Karbohidrat: 13 gram
- Serat: 5.3 gram
- Kalsium: 38.4 miligram
- Zat besi: 3.9 miligram
- Magnesium: 88.8 miligram
- Fosforus: 240 miligram
- Kalium: 631 miligram
- Selenium: 14.9 mikrogram
- Vitamin C: 6.7 miligram
- Folat: 38.4 mikrogram
- Asid lemak tepu: 50.7 gram
- Asid lemak mono taktepu: 0.63 gram
2. Kesan kepada Paras Kolesterol Badan
Disebabkan santan kelapa tinggi dengan kandungan lemak tepunya, ramai tertanya-tanya sama ada santan ini baik untuk kesihatan jantung atau tidak.
Kajian khusus terhadap santan kelapa adalah amat terhad, namun terdapat satu kajian menunjukkan santan mempunyai manfaat kepada kadar kolesterol.
Kajian selama 8 minggu yang dijalankan oleh Institute of Cardiology, National Hospital of Sri Lanka terhadap 60 orang individu sihat mendapati, bubur santan kelapa menurunkan kadar kolesterol – LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan kadar kolesterol-HDL (kolesterol baik). [1]
Terdapat juga kajian mendapati emping kelapa boleh menurunkan paras kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dan paras trigliserida (lemak dalam darah). [2]
Walau bagaimanapun, asid laurik dalam santan kelapa boleh meningkatkan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) dengan mengurangkan aktiviti penerima (receptor) yang menyingkirkan LDL dalam darah. [3]
Dalam satu kajian terhadap wanita sihat, menggantikan 14% lemak mono taktepu dengan asid laurik menyebabkan kenaikan kolesterol-LDL sebanyak 16%, manakala menggantikan 4% lemak ini dengan asid laurik hanya memberi impak yang sedikit kepada kolesterol. [3, 4]
3. Kesan kepada Penurunan Berat Badan
Santan kelapa mengandungi lemak MCT.
Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan lemak MCT mempunyai manfaat kepada pengurangan berat badan, komposisi badan dan metabolisma.
MCT merangsang tenaga melalui proses yang dikenali sebagai termogenesis atau penghasilan haba.
Beberapa kajian mendapati MCT berguna dalam menurunkan berat badan dan ukur lilit pinggang. MCT juga boleh menyeimbangkan mikrobiota usus yang tidak stabil. [5]
Satu kajian kecil mendapati lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan yang mengambil 20 gram minyak MCT ketika sarapan pagi makan kurang 272 kalori ketika makan tengah hari.
Ini menunjukkan MCT dapat membantu dalam pengurangan pengambilan kalori yang seterusnya dapat membantu menurunkan berat badan. [6]
4. Mencegah Daripada Jangkitan
Santan kelapa juga mempunyai lemak yang dikenali sebagai asid laurik.
Asid laurik ini ditukarkan dalam badan kepada sebatian yang dikenali sebagai monolaurin iaitu sebatian yang mempunyai sifat antivirus, antikulat dan antibakteria. [7, 8]
5. Berpotensi untuk Mencegah atau Merawat Kanser
Santan kelapa juga didapati berpotensi untuk membantu mencegah atau merawat kanser.
Khasiat santan kelapa ini disumbang oleh kandungan asid laurik di dalamnya.
Terdapat kajian yang mendapati asid laurik ini mencetuskan apoptosis (kematian sel) kepada sel-sel kanser payudara dan endometrium. Kajian ini menunjukkan bahawa asid ini boleh mencegah tumbesaran sel-sel kanser. [9]
Kajian tabung uji yang lain turut melaporkan bahawa asid laurik boleh mencetuskan kematian sel di dalam sel-sel kanser usus besar (kolon). [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan.
Rumusan
Secara keseluruhannya, santan kelapa mempunyai khasiat dan manfaat kepada kesihatan. Kajian-kajian menunjukkan khasiat santan kelapa dapat membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan, mencegah jangkitan dan kanser.
Bagi isu kolesterol, kajian khusus terhadap pengaruh santan kelapa terhadap kadar kolesterol baik dan jahat adalah terhad. Terdapat kajian yang mendapati santan kelapa boleh menurunkan kolesterol jahat dan meningkatkan kolesterol baik.
Banyak kajian-kajian lain menfokuskan terhadap minyak kelapa berbanding santan kelapa.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang diperlukan untuk mendapatkan satu kesimpulan yang kukuh. Pada masa yang sama, masyarakat mungkin boleh mengamalkan pengambilan santan kelapa ini pada kadar yang sederhana.
Rujukan
- Ekanayaka, R. A. et al. (2013). Impact of a traditional dietary supplement with coconut milk and soya milk on the lipid profile in normal free living subjects. Journal of nutrition and metabolism.
- Trinidad, T. P. et al. (2004). The cholesterol-lowering effect of coconut flakes in humans with moderately raised serum cholesterol. Journal of medicinal food.
- Tsai, Y. H. et al. (1999). Mechanisms mediating lipoprotein responses to diets with medium-chain triglyceride and lauric acid. Lipids.
- Schwab, U. S. et al. (1995). Lauric and palmitic acid-enriched diets have minimal impact on serum lipid and lipoprotein concentrations and glucose metabolism in healthy young women. The Journal of nutrition.
- Rial, S. A. et al. (2016). Gut Microbiota and Metabolic Health: The Potential Beneficial Effects of a Medium Chain Triglyceride Diet in Obese Individuals. Nutrients.
- St-Onge, M. P. et al. (2014). Impact of medium and long chain triglycerides consumption on appetite and food intake in overweight men. European journal of clinical nutrition.
- Elmore, K.E. (2014). Treatment of Dermal Infections With Topical Coconut Oil. Natural Medicine Journal.
- Shilling, M. et al. (2013). Antimicrobial effects of virgin coconut oil and its medium-chain fatty acids on Clostridium difficile. Journal of medicinal food.
- Lappano, R. et al. (2017). The lauric acid-activated signaling prompts apoptosis in cancer cells. Cell death discovery.
- Sheela, D. L. et al. (2019). Lauric acid induce cell death in colon cancer cells mediated by the epidermal growth factor receptor downregulation: An in silico and in vitro study. Human & experimental toxicology.