Minyak zaitun adalah lemak yang diperolehi daripada buah zaitun. Khasiat minyak zaitun sangat baik untuk kesihatan kaum lelaki dan wanita. Minyak ini banyak digunakan dalam ubat-ubatan, masakan, kosmetik dan juga sabun.
Buah zaitun adalah buah yang diberkati. Allah SWT telah bersumpah dengan nama buah ini di dalam Al-Quran.
Minyak ini kaya dengan asid lemak monotaktepu yang dikenali sebagai lemak sihat. Terdapat beberapa jenis minyak zaitun yang berbeza-beza ciri dan sifatnya. Antaranya ialah Minyak Zaitun Muda Kualiti Tinggi (Extra Virgin Olive Oil), Minyak Zaitun Muda (Virgin Olive Oil), dan Minyak Zaitun Murni (Pure Olive Oil)
Berikut adalah 5 khasiat minyak zaitun:
1. Boleh Mencegah Penyakit Kardiovaskular
Satu ulasan berdasarkan beberapa kajian mendapati pengambilan minyak zaitun secara kerap dalam diet seharian berguna dalam melawan faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.
Satu kajian yang dijalankan di Itali turut mendapati minyak zaitun muda berkualiti tinggi mempunyai ciri-ciri antiradang, antioksidan dan vasodilator nutrien yang boleh merendahkan risiko penyakit kardiovaskular. [1]
2. Berkhasiat untuk Penyakit Hati Berlemak (Fatty Liver)
Dianggarkan sebanyak 25% orang dewasa di seluruh dunia mengalami masalah penyakit hati berlemak.
Kajian oleh Shiraz University of Medical Sciences, Iran mendapati, minyak zaitun boleh mengurangkan keparahan hati berlemak dan diet rendah kalori mungkin memberi manfaat kepada pesakit hati berlemak (bukan peminum arak). [2]
Pakar berpendapat, minyak zaitun yang mempunyai manfaat kesihatan kepada manusia daripada penyakit sistem kardiovaskular, diabetes, obesiti, dan kecelaruan metabolisma mungkin boleh memainkan peranan penting dalam manfaat kesihatan pesakit hati berlemak. [3]
3. Bersifat Antikanser
Ramai penyelidik percaya bahawa penduduk di negara-negara Mediterranean mempunyai risiko rendah terhadap sesetengah kanser disebabkan oleh minyak zaitun. [4]
Kajian oleh Pusat Kajian Kanser Jerman mendapati buah dan minyak zaitun mempunyai sebatian yang menjadi ejen antikanser. [5]
Sementara itu, satu kajian lain yang dijalankan menunjukkan sebatian antioksidan fenolik yang terdapat dalam minyak zaitun adalah penghalang kepada penjanaan radikal bebas. [6]
4. Boleh Mencegah Pereputan Tulang
Satu ulasan perubatan yang dijalankan terhadap kajian-kajian sejak 2001-2014 mendapati, sebatian fenolik dalam minyak zaitun muda kualiti tinggi (extra Virgin Olive Oil) bermanfaat dalam mencegah kehilangan jisim tulang. [7]
Kajian lain menyokong bahawa ekstrak dan sebatian fenolik dalam minyak ini merangsang pertumbuhan sel tulang.[8]
5. Boleh Mencegah Diabetes
Mereka yang mengambil kira-kira 15-20gram minyak zaitun sehari kurang berisiko menghidap diabetes. Minyak ini juga berkemungkinan mengurangkan risiko pengerasan arteri.
Sebatian yang diperolehi daripada daun atau minyak zaitun iaitu “hydroxytyrosol” mempunyai ciri-ciri antidiabetes, antioksidan, antiradang, dan antikanser. Ia juga mempunyai kesan sama seperti insulin dan berpotensi digunakan sebagai rawatan atau pencegahan kepada rintangan kepada insulin. [9]
Rumusan
Minyak zaitun mempunyai pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia. Kajian-kajian menunjukkan minyak zaitun boleh mencegah penyakit kardiovaskular, bersifat antikanser dan lain-lain.
Anda boleh memanfaatkan minyak zaitun ini dalam diet harian anda untuk mendapatkan kebaikannya. Pastikan anda mendapat minyak zaitun yang asli di pasaran.
Rujukan
- Nocella, C. et al. (2018). Extra Virgin Olive Oil and Cardiovascular Diseases: Benefits for Human Health. Endocrine, metabolic & immune disorders drug targets.
- Rezaei, S. et al. (2019). Olive oil lessened fatty liver severity independent of cardiometabolic correction in patients with non-alcoholic fatty liver disease: A randomized clinical trial. Nutrition.
- Abenavoli, L. et al. (2019). Olive oil antioxidants and non-alcoholic fatty liver disease. Expert review of gastroenterology & hepatology.
- Trichopoulou, A. et al. (2000). Cancer and Mediterranean dietary traditions. Cancer epidemiology, biomarkers & prevention.
- Owen, R. W. et al. (2004). Olives and olive oil in cancer prevention. European journal of cancer prevention.
- Owen, R. W. et al. (2000). The antioxidant/anticancer potential of phenolic compounds isolated from olive oil. European journal of cancer.
- García-Martínez, O. et al. (2014). The effect of olive oil on osteoporosis prevention. International journal of food sciences and nutrition.
- García-Martínez, O. et al. (2016). Phenolic Compounds in Extra Virgin Olive Oil Stimulate Human Osteoblastic Cell Proliferation. PloS one.
- Vlavcheski, F. et al. (2019). Antidiabetic Effects of Hydroxytyrosol: In Vitro and In Vivo Evidence. Antioxidants.