Ekzema pada bayi merujuk kepada masalah kulit yang menyebabkan gatal-gatal, kemerahan dan radang. Terdapat beberapa jenis ekzema dan ekzema jenis dermatitis atopik dan dermatitis seborheik adalah ekzema yang paling lazim berlaku kepada bayi.
Ekzema terutamanya dermatitis atopik selalunya berlaku dalam masa 6 bulan hingga 5 tahun pertama kehidupan bayi tersebut.
Bagi bayi yang berumur 12 bulan ke bawah, ekzema biasanya berlaku di kawasan dagu, kulit kepala, badan dan kaki.
Tanda-tanda Ekzema
Tanda-tanda ekzema boleh berbeza-beza antara bayi (individu): [1]
- Kulit kering.
- Gatal-gatal.
- Kemerahan.
- Kecil, berbenjol-benjol dan boleh mengeluarkan cecair.
- Kulit menjadi bersisik.
- Kulit menjadi kasar, sensitif dan bengkak akibat digaru.
Punca-punca Ekzema Pada Bayi
Ekzema adalah akibat tindak balas berlebihan daripada sistem imunisasi.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kepada ekzema. Boleh juga disebabkan oleh kombinasi seperti faktor genetik dan persekitaran.
Contohnya, sekiranya keluarga atau ibu bapa bayi itu pernah mengalami ekzema, maka bayi mereka juga berpotensi tinggi untuk mengalami ekzema juga.
Hal ini demikian kerana, penyebab ekzema juga turut melibatkan bakteria, alergen dan variasi genetik.
Ekzema pada bayi ini juga mungkin berpunca daripada masalah penghalang kulit yang membenarkan lembapan keluar dan kuman untuk masuk. [2]
Sesetengah kanak-kanak turut menghidap ekzema disebabkan alahan kepada makanan.
Rawatan Dirumah
Terdapat beberapa rawatan atau langkah pencegahan dirumah yang boleh diamalkan oleh ibu-ibu untuk merawat ekzema pada bayi mereka:
1. Mandikan setiap hari dan gunakan pelembap
Mandikan bayi anda setiap hari dengan air suam tidak lebih daripada 5 hingga 10 minit dapat membantu merawat dan mengawal ekzema.
Lapkan badan bayi untuk keringkan badannya. Sementara badannya masih lembap, sapukan krim pelembap tanpa wangian atau losyen seperti Vaseline. [2]
Lembapkan kulit mereka 2 kali sehari, mungkin semasa menukar lampin.
Sekiranya, anda ingin mencuba pelembap baru, sapukan sedikit pada kulit bayi anda untuk mengetahui sama ada pelembap tersebut sesuai atau tidak.
2. Kenali penyebab kepada ekzema
Mengetahui punca atau penyebab kepada ekzema bagi bayi anda dapat mencegah daripada masalah ini berlaku.
Antara pencetus atau punca ekzema kepada bayi termasuklah:
- Sabun yang tidak bersesuaian
- Wangi-wangian
- Pakaian yang tidak sesuai (kasar atau ketat)
- Peluh
- Alahan makanan
3. Pakaikan sarung tangan bayi
Sekiranya bayi anda menghidap ruam dan gatal-gatal, potong kuku mereka dan pakaikan dengan sarung tangan bayi bagi mengelakkan mereka mengaru-garu kawasan ruam.
Mengaru-garu boleh menyebabkan ruam semakin teruk dan boleh membawa kepada jangkitan.
4. Ambil probiotik
Ibu hamil dan ibu menyusu yang mengambil makanan tambahan probiotik (L. rhamnosus) dapat mengurangkan berlakunya ekzema terhadap anak mereka. [3, 4, 5]
Kajian lain terhadap ibu hamil dan bayi mereka (sehingga umur 6 bulan) menerima makanan probiotik (L. salivarius, L.paracasei, Bifidobacterium animalis subspecies lactis, Bifidobacterium bifidum) secara harian mendapati, probiotik ini dapat mengurangkan berlakunya ekzema terhadap anak mereka.[6]
Bila Perlu berjumpa Doktor
Sekiranya masalah ekzema ini berlanjutan lebih daripada seminggu, dapatkan rawatan daripada doktor.
Sekiranya anak anda demam berserta ruam, dapatkan juga rawatan daripada doktor.
Selain itu, dapatkan rawatan daripada doktor juga sekiranya ruam anak anda bertukar warna kepada ungu, berlapisan keras, atau berlepuh.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Atopic dermatitis (eczema). MayoClinic
- Marenholz, I. et al. (2015). The genetics of the skin barrier in eczema and other allergic disorders. Current opinion in allergy and clinical immunology.
- Wickens, K. et al. (2008). A differential effect of 2 probiotics in the prevention of eczema and atopy: a double-blind, randomized, placebo-controlled trial. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Betsi, G. I. et al. (2008). Probiotics for the treatment or prevention of atopic dermatitis: a review of the evidence from randomized controlled trials. American journal of clinical dermatology.
- Mansfield, J. A. et al. (2014). Comparative probiotic strain efficacy in the prevention of eczema in infants and children: a systematic review and meta-analysis. Military medicine.
- Allen, S. J. et al. (2014). Probiotics in the prevention of eczema: a randomised controlled trial. Archives of disease in childhood.