Keladi tikus atau nama saintifiknya Typhonium flagelliforme adalah tumbuhan herba yang semakin popular akan penggunaannya dalam merawat kanser. Bagi membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut akan khasiat keladi tikus, artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat keladi tikus berdasarkan sokongan kajian.
Keladi tikus atau dalam bahasa Inggerisnya “Rodent tuber” adalah tumbuhan semak jenis talas yang memilih tempat lembap berpaya untuk tumbuh. Daunnya berbentuk seperti jantung yang berwarna hijau segar.
Herba ini dikatakan berasal dari negara-negara Asia Tenggara sehinggalah ke Utara Australia dan Selatan India. Di Malaysia, keladi tikus ini boleh dijumpai di kebanyakan kawasan yang lembap.
Secara tradisionalnya, keladi tikus digunakan untuk melegakan bengkak, batuk dan merawat kanser. Terdapat juga laporan yang melaporkan bahawa bunga keladi tikus digunakan oleh penduduk di Greek untuk menahan pendarahan dan merawat kecederaan.
Berikut adalah khasiat-khasiat keladi tikus berdasarkan kajian-kajian sains:
1. Boleh Merawat Kanser
Penggunaan keladi tikus dalam merawat kanser telah mendapat banyak perhatian oleh saintis dari dalam dan luar negara.
Bahkan, keladi tikus telah terdapat secara komersial sebagai suplemen kesihatan untuk merawat kanser payudara, serviks, paru-paru, usus besar, hati, prostat, leukemia dan pankreas.
Antara kajian-kajian yang dilaporkan adalah seperti berikut:
- Kanser leukemia: Kajian terhadap haiwan yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia mendapati ekstrak keladi tikus boleh merencatkan pertumbuhan dan membunuh sel-sel leukemia. [1]
- Kanser paru-paru: Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia ini mendapati keladi tikus mengandungi sebatian yang boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser paru-paru dan membunuh sel-sel kanser tersebut. [2]
- Kanser usus besar: Kajian oleh pengkaji dari Universiti Senata Dharma, Indonesia mendapati ekstrak daun keladi tikus menunjukkan aktiviti antikanser dan boleh membunuh sel-sel kanser usus besar. [3]
2. Boleh Mencegah dan Merawat Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan apabila berlaku kecederaan atau jangkitan. Pada awalnya, keradangan tidak menyebabkan masalah kepada badan tetapi apabila ia berlaku secara berpanjangan, keradangan boleh menyebabkan masalah yang lebih serius.
Keradangan yang berpanjangan (kronik) dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti diabetes, kanser, sakit sendi, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Khasiat keladi tikus ini dilaporkan dalam kajian yang mendapati ekstrak daun dan batang keladi tikus menunjukkan aktiviti antiradang. [4]
Ciri-ciri antiradang ini mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada khasiat keladi tikus yang digunakan untuk merawat pendarahan atau luka.
3. Mempunyai Ciri-ciri Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Terdapat kajian yang mendapati ekstrak daun keladi tikus menunjukkan aktiviti-aktiviti antioksidan. [5]
Tambahan daripada itu juga, daun dan batang keladi tikus ini tinggi dengan kandungan vitamin C. Vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang melindungi badan daripada radikal bebas. [6]
4. Mempunyai Ciri-ciri Antibakteria
Selain itu, keladi tikus juga didapati boleh mencegah atau melawan bakteria.
Keladi tikus dilaporkan mempunyai aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria Bacillus subtilis dan Pseudomonas aeruginosa. [5]
Bakteria-bakteria ini biasanya menyebabkan pneumonia (radang paru-paru), jangkitan saluran kencing dan jangkitan saluran darah.
Di samping itu, terdapat juga kajian lain yang melaporkan bahawa ekstrak keladi tikus turut menunjukkan aktiviti-aktiviti antibakteria terhadap bakteria Pseudomonas aeruginosa dan Salmonella choleraesuis. [7]
Bakteria salmonella adalah bakteria yang selalunya menyebabkan keracunan makanan.
5. Boleh Membantu Merawat Batuk dan Asma
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, terdapat juga kajian moden yang mendapati ekstrak keladi tikus turut boleh membantu melegakan batuk dan gejala-gejala asma.
Kajian oleh pengkaji dari China ini mendapati ekstrak keladi tikus boleh mengurangkan kekerapan batuk dengan ketara. Selain itu, ekstrak ini juga boleh memanjangkan tempoh pengeraman asma. [8]
Ini bermakna ekstrak keladi tikus boleh melambatkan gejala-gejala asma daripada berlaku selepas terdedah kepada bahan-bahan iritasi.
Rumusan
Keladi tikus adalah tumbuhan herba yang dikomersialkan sebagai rawatan alternatif untuk merawat kanser.
Khasiat keladi tikus ini turut disokong oleh beberapa kajian. Selain bersifat antikanser, keladi tikus juga didapati mempunyai ciri-ciri antioksidan, antiradang dan antibakteria. Keladi tikus juga boleh digunakan untuk melegakan batuk dan asma.
Meskipun begitu, masih banyak kajian yang diperlukan untuk menguatkan dapatan kajian sedia ada dan merungkai lebih banyak khasiat keladi tikus ini.
Sebagai amalan umum, jus keladi tikus (keseluruhan tumbuhan) dicampur bersama-sama madu untuk diminum sebagai minuman.
Rujukan
- Mohan, S. et al. (2010). Typhonium flagelliforme inhibits the proliferation of murine leukemia WEHI-3 cells in vitro and induces apoptosis in vivo. Leukemia research.
- Lai, C.S. et al. (2008). Typhonium flagelliforme inhibits cancer cell growth in vitro and induces apoptosis: An evaluation by the bioactivity guided approach. Journal of Ethnopharmacology.
- Agustina Setiawati. et al. (2016). The inhibition of Typhonium flagelliforme Lodd. Blume leaf extract on COX-2 expression of WiDr colon cancer cells. Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine.
- Nitin A. Mirgane, et al. (2021). Phytochemical Study and Screening of Antioxidant, Anti-inflammatory Typhonium Flagelliforme. Research Journal of Pharmacy and Technology.
- Yunahara Farida. et al. (2014). Antibacterial and Antioxidant Activity of Keladi Tikus Leaves Extract (Typhonium Flagelliforme) (Lodd) Blume. Procedia Chemistry.
- Karuppiah, Thilakavathy. (2000). Nutritional Composition, Antioxidant Activity And Anticarcinogenic Effect Of Typhonium Flagelliforme (Nicholson 1029) Extract In Rat. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.
- Mohan, Syam. et al. (2008). Antibacterial and antioxidant activities of Typhonium flagelliforme (Lodd.) Blume tuber. American Journal of Biochemistry and Biotechnology.
- Zhong, Z. et al. (2001). [Pharmacological study on the extracts from Typhonium flagelliforme Blume]. Journal of Chinese medicinal materials.