Apa itu Tekanan Oksidatif?
Tekanan oksidatif adalah keadaan ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan dalam badan anda. Keadaan ini boleh menyebabkan sel dan tisu badan menjadi rosak.
Sel-sel badan menghasilkan radikal bebas semasa proses metabolisme. Walau bagaimanapun, sel-sel badan juga turut menghasilkan antioksidan yang meneutralkan radikal bebas ini.
Secara amnya, badan mampu mengekalkan keseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada tekanan oksidatif dan penghasilan radikal bebas yang berlebihan. Antaranya adalah:
- Pemakanan (diet)
- Gaya hidup
- Masalah kesihatan
- Faktor persekitaran seperti pencemaran dan radiasi

Tindak balas sistem imun dalam badan juga boleh mencetuskan tekanan oksidatif buat sementara waktu. Tekanan oksidatif jenis ini menyebabkan keradangan ringan yang hilang selepas sistem imun melawan jangkitan atau membaiki kecederaan.
Tekanan oksidatif yang tidak terkawal boleh mempercepatkan proses penuaan dan menyumbang kepada pembentukan masalah kesihatan yang lain.
Apa itu Radikal Bebas?
Radikal bebas ialah molekul yang mengandungi oksigen dengan bilangan elektron yang ganjil. Bilangan ganjil ini membolehkan mereka bertindak balas dengan mudah dengan molekul lain.
Radikal bebas boleh menyebabkan tindak balas kimia berantai besar dalam badan anda kerana ia bertindak balas dengan mudah dengan molekul lain. Tindak balas ini dipanggil pengoksidaan.
Antara contoh radikal bebas ialah:
- Superoksida
- Hydroxyl radical
- Radikal nitrik oksida
Kesan Tekanan Oksidatif Terhadap Badan
Pengoksidaan adalah proses normal dan perlu yang berlaku di dalam badan anda. Tekanan oksidatif, sebaliknya, berlaku apabila terdapat ketidakseimbangan antara aktiviti radikal bebas dan aktiviti antioksidan.
Apabila berfungsi dengan baik, radikal bebas boleh membantu melawan patogen. Patogen membawa kepada jangkitan.
Apabila terdapat lebih banyak radikal bebas daripada yang boleh diseimbangkan oleh antioksidan, maka radikal bebas akan mula merosakkan tisu lemak, DNA dan protein dalam badan anda.
Kerosakan tisu lemak, protein dan DNA boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang serius dari semasa ke semasa. Ini termasuklah:
- Penyakit jantung
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Keradangan
- Kanser
- Penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson
- Tekanan darah tinggi (hipertensi)
- Aterosklerosis (pengerasan pembuluh darah)
Tekanan oksidatif juga boleh mempercepatkan penuaan.
Faktor risiko
Radikal bebas boleh terbentuk secara semula jadi di dalam badan setiap kali anda bersenam atau mengalami keradangan.
Ini adalah perkara biasa dan merupakan sebahagian daripada sistem badan untuk memastikan dirinya sihat.
Anda juga boleh terdedah kepada radikal bebas dalam persekitaran apabila terdedah kepada:
- Asap rokok
- Pencemaran
- Radiasi
- Bahan kimia
- Racun perosak
Tambahan daripada itu juga, pemakanan yang tinggi dengan gula, lemak dan alkohol boleh menyumbang kepada penghasilan radikal bebas.
Cara Mencegah dan Menguruskan Tekanan Oksidatif
Adalah penting untuk diingat bahawa badan memerlukan kedua-dua radikal bebas dan antioksidan. Mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit kedua-dua bahan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan.
Walau bagaimanapun, terdapat perkara yang boleh anda lakukan untuk meminimumkan kesan tekanan oksidatif pada badan anda.
Perkara utama yang boleh anda lakukan ialah meningkatkan paras antioksidan dan mengurangkan pembentukan radikal bebas anda.
Perubahan gaya hidup dan pemakanan boleh membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan. Apa yang perlu anda lakukan adalah:
- Mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang seperti buah-buahan dan sayur-sayuran
- Mengehadkan pengambilan makanan yang diproses atau makanan yang tinggi dengan gula dan lemak.
- Kerap bersenam
- Berhenti merokok
- Berhenti meminum alkohol (arak)
- Mengurangkan tekanan atau stres
- Elakkan atau kurangkan terdedah kepada pencemaran dan bahan kimia
- Mendapatkan tidur yang mencukupi
- Memakai pelindung cahaya matahari
- Elakkan makan berlebihan
Mengekalkan berat badan yang sihat boleh membantu mengurangkan tekanan oksidatif. Menurut kajian, sel lemak yang berlebihan menghasilkan bahan keradangan yang mencetuskan peningkatan aktiviti keradangan dan pengeluaran radikal bebas dalam sel imun.
Rumusan
Secara ringkasnya, tekanan oksidatif adalah keadaan yang berlaku akibat daripada ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan.
Tekanan oksidatif boleh merosakkan sel, protein, dan DNA, yang boleh menyumbang kepada penuaan. Ia juga mungkin memainkan peranan dalam perkembangan pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kanser dan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer.
Salah satu cara untuk mencegah daripada berlakunya tekanan oksidatif ini adalah dengan mengamalkan pemakanan yang tinggi dengan antioksidan dan mengubah gaya hidup ke arah gaya hidup yang sihat.
Rujukan
- Eske,J. (2019). How does oxidative stress affect the body? MedicalNewsToday
- National Center for Complementary and Integrative Health. (2013). Antioxidants: In depth.