Apa itu Keracunan Makanan?
Keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh tindakan memakan makanan yang tercemar. Bakteria, virus, parasit atau toksin daripada organisma ini adalah penyebab yang selalunya menyebabkan keracunan makanan.
Kuman atau toksin daripada kuman ini boleh mencemari makanan pada apa-apa peringkat termasuklah semasa pemprosesan atau penghasilan. Pencemaran juga boleh berlaku di rumah atau di kedai-kedai makan sekiranya makanan tidak dimasak dengan baik atau tidak diuruskan dengan baik.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala keracunan makanan boleh berlaku sama ada secara ringan atau sangat serius. Ia bergantung kepada organisma yang menyebabkan keracunan tersebut. Antara tanda-tanda dan gejala yang paling lazim adalah:
- Sakit perut
- Kekejangan perut
- Loya
- Cirit-birit (diarea)
- Demam
- Muntah
Selain itu, terdapat juga gejala-gejala teruk yang berpotensi mengancam nyawa termasuklah:
- Cirit-birit yang berpanjangan lebih daripada 3 hari
- Demam panas melebihi 38.9°C
- Sukar untuk bercakap dan melihat
- Air kencing berdarah
- Dehidrasi yang teruk termasuklah mulut kering, kurang atau tidak kencing
Sekiranya anda mengalami gejala-gejala yang teruk ini, sila dapatkan rawatan dengan segera.
Tanda-tanda dan gejala mungkin bermula dalam beberapa jam selepas makan makanan yang tercemar, atau ia mungkin bermula beberapa hari atau bahkan beberapa minggu kemudian.
Penyakit yang disebabkan oleh keracunan makanan biasanya berlangsung dari beberapa jam hingga beberapa hari.
Punca atau Penyebab
Kebanyakan keracunan makanan boleh disebabkan oleh salah satu daripada tiga punca utama iaitu bakteria, parasit atau virus.
Kuman-kuman ini boleh ditemui pada hampir semua makanan yang dimakan manusia. Walau bagaimanapun, haba daripada memasak biasanya membunuh kuman tersebut pada makanan sebelum ia sampai ke pinggan kita.
Makanan yang dimakan mentah adalah sumber biasa yang menyebabkan keracunan makanan kerana ia tidak melalui proses memasak.
Jadual berikut menunjukkan beberapa kuman yang lazimnya menyebabkan keracunan, tempoh anda mula merasakan gejala dan makanan yang biasanya tercemar dengan kuman tersebut.
Kuman (Bakteria, Parasit, Virus) | Tempoh Gejala Bermula (selepas pendedahan) | Sumber Makanan |
---|---|---|
Staphylococcus aureus (S. aureus) | 30 minit – 8 jam | Makanan yang tidak dimasak selepas dikendalikan seperti daging, puding, pastri dan sandwic. |
Vibrio | 2 – 48 jam | Kerang-kerangan mentah atau kurang masak, terutamanya tiram. |
Clostridium perfringens | 6 – 24 jam | Daging lembu, daging ayam atau daging itik terutamanya dipanggang, berkuah, kering atau “precooked“. |
Salmonella | 6 jam – 6 hari | Daging lembu, daging ayam, daging itik yang mentah atau kurang masak, telur, susu yang tidak dipasteurkan, jus, buah-buahan dan sayur-sayuran segar. |
Campylobacter | 2 – 5 hari | Daging haiwan ternakan yang mentah atau kurang masak, susu tidak dipasteurkan dan air yang tercemar. |
Clostridium botulinum (Botulism) | 18 – 36 jam | Makanan ditin atau difermentasi dengan tidak sempurna. |
Escherichia coli (E. coli) | 3 – 4 hari | Daging yang mentah dan kurang masak, susu dan jus yang tidak dipasteurkan, sayur-sayuran mentah seperti salad, tauge mentah dan air tercemar. |
Listeria | 1 – 4 minggu | Keju, tauge mentah, hotdog, daging deli, makanan laut disalai dan susu tidak dipasteurkan. |
Cyclospora | 1 minggu | Sayur-sayuran dan buah-buahan segar, herba. |
Norovirus | 12 – 48 jam | Sayur-sayuran berdaun, buah segar, kerang-kerangan (tiram), air tercemar dan orang yang telah dijangkiti. |
Rotavirus | 1 – 3 hari | Makanan mentah dan produk sedia makan. |
Shigella | 24 – 48 jam | Makanan laut dan produk mentah dan sedia makan. |
Rawatan
Rawatan untuk keracunan makanan biasanya bergantung pada sumber penyakit, jika diketahui, dan keterukan gejala.
Bagi kebanyakan orang, penyakit ini sembuh tanpa rawatan dalam masa beberapa hari, walaupun beberapa jenis keracunan makanan mungkin bertahan lebih lama.
Rawatan untuk keracunan makanan adalah:
- Penggantian cecair yang hilang: Cecair dan elektrolit seperti natrium, kalium dan kalsium yang membantu mengimbangkan cecair di dalam badan hilang semasa cirit-birit yang berterusan. Maka, mineral ini perlu diganti. Sesetengah orang yang mengalami cirit-birit berterusan mungkin dimasukkan ke hospital untuk menerima cecair dan garam melalui urat (vena) bagi mencegah atau merawat dehidrasi.
- Antibiotik: Doktor akan mempreskripsi ubat antibiotik sekiranya anda mengalami keracunan makanan akibat bakteria tertentu dan gejala yang dialami adalah teruk. Namun, antibiotik tidak akan membantu keracunan makanan yang disebabkan oleh virus.
Bagi rawatan dirumah, anda boleh melakukan perkara-perkara berikut:
- Kekal terhidrat: Minuman sukan yang tinggi elektrolit boleh membantu. Contohnya seperti 100 Plus. Jus buah dan air kelapa boleh membekalkan karbohidrat yang hilang dan mengurangkan keletihan.
- Ubat cirit-birit atau loya: Ubat belian kaunter di farmasi boleh membantu mengurangkan cirit-birit atau loya.
Langkah-langkah Pencegahan
Cara terbaik untuk mencegah keracunan makanan adalah mengendalikan makanan dengan selamat dan mengelakkan makanan yang tidak selamat.
Sesetengah makanan berkemungkinan menyebabkan keracunan makanan kerana cara ia dihasilkan dan disediakan. Kuman yang terbunuh semasa memasak mungkin terdapat dalam makanan tertentu, seperti:
- Daging merah
- Daging haiwan ternakan (ayam, itik atau angsa)
- Telur
- Kerang-kerangan
Keracunan makanan boleh berlaku jika makanan ini dimakan dalam bentuk mentah, tidak dimasak dengan betul, atau jika tangan dan permukaan tidak dibersihkan selepas bersentuhan.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. Food Poisoning Symptoms.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Food poisoning. MayoClinic