Kanser hati adalah salah satu kanser yang telah dikenal pasti sebagai penyebab kematian bagi 250,000 hingga 1,000,000 individu pada setiap tahun di seluruh dunia.
Hati adalah organ dalaman terbesar dalam badan manusia. Ia mempunyai beberapa fungsi penting iaitu membantu badan anda menghapuskan bahan buangan, menyerap nutrien dan menyembuhkan luka.
Apabila kanser terbentuk di dalam hati, ia memusnahkan sel-sel hati dan mengganggu keupayaan hati untuk berfungsi seperti yang sepatutnya.
Kanser hati secara amnya dikelaskan kepada primer atau sekunder. Kanser hati primer bermula dalam sel-sel hati. Manakala, kanser hati sekunder pula terbentuk apabila sel-sel kanser dari organ lain merebak ke hati.
Jenis-jenis
Terdapat beberapa jenis kanser hati primer. Setiap satu merujuk kepada bahagian hati yang berbeza atau jenis sel hati yang terjejas. Kanser tersebut boleh bermula sebagai satu gumpalan yang tumbuh di hati atau ia boleh bermula di banyak tempat dalam hati pada masa yang sama.
Beberapa jenis kanser hati primer yang utama adalah:
- Karsinoma hepatoselular: Turut dipanggil hepatoma. Ia merupakan jenis kanser hati yang paling lazim berlaku.
- Cholangiocarcinoma: Turut dipanggil kanser duktus hempedu. Ia terbentuk di dalam duktus hempedu di dalam hati.
- Liver angiosarcoma: Kanser jenis ini yang jarang-jarang berlaku. Ia bermula di dalam salur-salur darah hati. Kanser jenis ini merebak dengan cepat.
- Hepatoblastoma: Kanser jenis ini sangat jarang berlaku. Lazimnya dijumpai dalam kalangan kanak-kanak yang berumur di bawah 3 tahun.
Tanda-tanda atau Simptom-simptom Kanser Hati
Kebanyakan orang tidak mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom pada peringkat awal kanser hati primer. Apabila tanda-tanda dan simptom muncul, ia termasuk:
- Kehilangan selera makan
- Pengurangan berat badan tanpa dirancang
- Sakit perut bahagian atas
- Loya dan muntah
- Keletihan
- Jaundis
- Najis berkapur dan pucat
- Demam
- Mudah untuk lebam atau berdarah
- Mudah untuk berasa kenyang apabila makan
Punca Kanser Hati
Kanser hati berlaku apabila sel hati mengalami perubahan (mutasi) dalam DNA mereka. DNA sel ialah bahan yang menyediakan arahan untuk setiap proses kimia dalam badan manusia. Mutasi DNA menyebabkan perubahan dalam arahan ini.
Kesannya adalah sel mungkin mula berkembang di luar kawalan dan akhirnya membentuk tumor. Kadang-kadang, kanser ini boleh disebabkan oelh jangkitan hepatitis yang kronik.
Kadang-kadang, kanser ini berlaku pada orang yang tidak mempunyai penyakit dan tidak jelas akan puncanya.
Faktor risiko
Terdapat beberapa faktor lain yang meningkatkan risiko terhadap kanser ini, antaranya adalah:
- Jangkitan virus hepatitis B dan hepatitis C yang kronik.
- Sirosis
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Penyakit hati berlemak bukan alkohol
- Penyakit hati akibat keturunan seperti penyakit Wilson dan hemokromatosis
- Terdedah kepada aflatoksin iaitu toksin yang dihasilkan oleh fungus yang tumbuh pada makanan ternakan
- Pengambilan alkohol yang menyebabkan kerosakan hati
- Merokok
Rawatan Kanser Hati
Rawatan untuk kanser ini bergantung pada tahap (peringkat) penyakit serta umur, kesihatan keseluruhan dan pilihan pesakit.
Antara pilihan rawatan yang ada adalah:
Pembedahan
- Pembedahan untuk membuang tumor (pembedahan hepatektomi)
- Pembedahan transplan hati (pemindahan hati)
Terapi
- Terapi radiasi: Terapi ini menggunakan pancaran sinaran tenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.
- Imunoterapi: Terapi ini menggunakan sistem imun untuk melawan kanser.
- Kemoterapi: Terapi ini menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.
- Terapi bersasar: Terapi ini menggunakan ubat untuk yang menumpukan kehadiran keabnormalan tertentu di dalam sel-sel kanser. Dengan menyekat keabnormalan ini, ubat yang digunakan boleh menyebabkan sel-sel kanser untuk mati.
Rawatan setempat
Rawatan jenis ini diberikan terus kepada sel-sel kanser atau kawasan disekeliling kanser. Antaranya adalah:
- Radiofrequency ablation: Menggunakan haba secara radio-frekuensi terus kepada sel-sel kanser. Ia dijalankan oleh pakar radiologi.
- Suntikan etanol: Etanol disuntik secara terus kepada sel-sel kanser. Etanol menyebabkan sel-sel kanser mati.
- Pembekuan sel-sel kanser: Sel-sel kanser dimusnahkan dengan menggunakan cecair nitrogen.
- Chemoembolization: Sejenis rawatan kemoterapi yang menyuntik ubat antikanser yang kuat terus ke dalam hati.
Pencegahan
Pesakit yang mengidap kanser hati pada umumnya adalah mereka yang telah pun di kesan mempunyai hepatitis B kronik atau sirosis pada hati.
Langkah pencegahan bagi jangkitan hepatitis B adalah mendapatkan vaksin hepatitis B. Di Malaysia, vaksin hepatitis B diberikan ketika bayi baru lahir.
Langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko berlakunya sirosis adalah berhenti meminum alkohol (arak) dan mengekalkan berat badan yang sihat.
Langkah pencegahan bagi jangkitan hepatitis C adalah mengamalkan seks selamat, tidak berkongsi jarum suntikan atau pergi ke kedai yang bersih untuk bertindik.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Liver cancer. MayoClinic
- Healthline Editorial Team. (2022). Liver cancer. Healthline
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Liver cancer.