Alahan gandum ialah tindak balas alahan terhadap makanan yang mengandungi gandum. Sesetengah orang mungkin mengalami alahan apabila makan makanan yang mengandungi gandum dan sesetengah orang mengalami alahan ini apabila tersedut tepung gandum.
Menurut kajian, kelaziman alahan ini di negara-negara Asia-Pasifik adalah pada julat 10.4 % hingga 26.1%. Walaupun secara umumnya alahan ini amat jarang berlaku terutamanya di negara-negara Asia-Pasifik, tetapi alahan ini adalah antara penyebab anafilaksis di rantau ini.
Alahan gandum adalah berbeza dengan penyakit seliak atau tak tolerans gluten. Alahan gandum berlaku apabila badan menghasilkan antibodi terhadap protein yang terkandung dalam gandum.

Manakala, penyakit seliak atau tak tolerans gluten pula ialah penyakit yang bertindak balas terhadap protein khusus yang terkandung dalam gandum iaitu gluten. Penyakit seliak lebih kepada tindak balas sistem imun badan yang tidak normal.
Punca Alahan Gandum
Alahan gandum berpunca daripada tindak balas sistem imun terhadap protein-protein yang terkandung dalam gandum iaitu albumin, gluten, globulin dan gliadin.
Protein-protein gandum ini boleh terkandung dalam pelbagai jenis makanan, antaranya adalah:
- Roti
- Serbuk roti
- Kek
- Mufin atau baulu
- Kuih
- Biskut
- Pasta
- Kicap
- Sosej
- Aiskrim
- Pewarna semulajadi
- Kuskus
Mereka yang alahan terhadap gandum berkemungkinan besar juga akan mengalami alahan terhadap barli, oat atau rye.
Anafilaksis Berpunca Daripada Senaman
Bagi kes-kes yang ganjil atau sangat jarang berlaku. Terdapat segelintir individu yang menghidap alahan ini yang memperlihatkan simptom-simptom hanya selepas mereka bersenam, beberapa jam selepas makan makanan yang mengandungi gandum.
Senaman tersebut mencetuskan tindak balas alahan atau memburukkan tindak balas sistem imun terhadap protein gandum. Keadaan ini biasanya menyebabkan anafilaksis.
Faktor Risiko
Terdapat 2 faktor risiko yang meningkatkan keberangkalian untuk seseorang itu menghidap alahan ini iaitu:
- Keturunan. Anda berisiko tinggi untuk menghidap alahan ini sekiranya ada ahli keluarga anda menghidap alahan makanan atau asma.
- Usia. Alahan makanan jenis ini lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana sistem imun mereka masih belum matang.
Simptom-simptom atau Gejala
Mereka yang mengalami alahan ini akan mengalami simptom-simptom atau gejala berikut:
- Bengkak, gatal-gatal dan iritasi di bahagian mulut dan kerongkong
- Gatal-gatal, kemerahan dan ruam pada kulit
- Hidung tersumbat
- Sukar bernafas
- Loya atau muntah
- Cirit-birit
- Sakit kepala
Bagi kes-kes yang teruk yang membawa kepada anafilaksis, beberapa simptom yang boleh diperhatikan adalah:
- Bengkak di kerongkong
- Sakit atau rasa ketat di dada
- Kesukaran bernafas yang teruk
- Sukar untuk menelan
- Rasa pening
- Pitam atau pengsan
- Tekanan darah rendah
- Urtikaria (kulit membengkak, menebal merah dan gatal-gatal)
Anafilaksis boleh mengancam nyawa, dapatkan rawatan kecemasan sekiranya terdapat simptom-simptom anafilaksis ini.
Rawatan
Rawatan terbaik untuk alahan ini ialah menghindari gandum. Walau bagaimanapun, adalah sukar untuk menghindari gandum sepenuhnya. Gandum digunakan dalam banyak makanan atau produk makanan.
Oleh itu, ubat-ubatan mungkin diperlukan untuk mengendalikan alahan gandum ini sekiranya anda tersilap makan makanan yang mengandungi gandum.
Ubat-ubatan
- Antihistamin. Ubat antihistamin boleh membantu mengurangkan simptom-simptom atau gejala yang berlaku.
- Epinefrin. Ubat epinefrin ini ialah rawatan kecemasan untuk anafilaksis. Sekiranya anda adalah golongan berisiko tinggi untuk terkena anafilaksis, anda perlu membawa 2 dos epinefrin bersama-sama anda setiap masa.
Terapi
- Oral Immunotherapy
Kaedah rawatan ini ialah pendekatan terbaru dalam merawat alahan ini. Kaedah ini melibatkan pendedahan pesakit kepada protein gandum secara berperingkat. Bermula dengan dos yang kecil dan meningkat sedikit demi sedikit.
Tujuan terapi ini adalah untuk menjadikan badan tidak sensitif terhadap protein-protein gandum.
Kajian terbaru yang diterbitkan pada tahun 2019 melaporkan bahawa kaedah terapi ini berjaya menyahpekaan mereka yang menghidap alahan ini sehingga 50% setelah setahun menjalani terapi ini.
Langkah-langkah Pencegahan
Menghindari makanan atau produk yang mengandungi gandum masih menjadi pilihan utama atau langkah pencegahan terbaik buat mereka yang mempunyai alahan makanan jenis ini.
Selain itu, terdapat beberapa langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko anda terdedah kepada protein gandum secara tidak sengaja.
- Baca label. Baca label produk sebelum anda membeli atau memakannya. Protein gandum seperti gluten banyak digunakan dalam produk makanan.
- Beli makanan bebas gluten. Beli makanan yang dilabelkan sebagai bebas gluten.
- Maklumkan kepada orang lain. Pastikan ahli keluarga atau rakan-rakan anda mengetahui bahawa anda alah terhadap gandum. Sekiranya anak anda menghidap alahan ini, pastikan guru atau penjaganya dimaklumkan bagi memastikan mereka bersedia sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.
Rujukan
- Ashtari, S. et al. (2019). Prevalence of gluten-related disorders in Asia-Pacific region: a systematic review. Journal of gastrointestinal and liver diseases : JGLD.
- Scherf, K. A. et al. (2016). Wheat-dependent exercise-induced anaphylaxis. Clinical and experimental allergy : journal of the British Society for Allergy and Clinical Immunology.
- Nowak-Węgrzyn, A. et al. (2019). Multicenter, randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial of vital wheat gluten oral immunotherapy. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Wheat allergy. MayoClinic [diakses pada 26 Februari 2021].