Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah terdedah kepada tindak balas alahan. Ubat alahan boleh membantu merawat gejala-gejala alahan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk menggunakan ubat alahan dengan betul kerana tidak semua ubat sesuai untuk kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda haruslah berbincang atau mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum merawat alahan yang dialami oleh anak-anak anda.
Ini bertujuan untuk memastikan anda memberikan rawatan yang betul sekiranya anak anda mengalami tindak balas alahan yang ringan atau mengambil langkah yang wajar sekiranya berlaku kecemasan berkaitan alahan seperti anafilaksis.
Bagi tindak balas alahan yang ringan, ia mungkin boleh dirawat menggunakan ubat belian kaunter. Manakala, bagi tindak balas alahan yang lebih teruk, ia memerlukan rawatan kecemasan dan rawatan susulan di hospital.
Berikut adalah beberapa contoh ubat alahan yang sesuai untuk kanak-kanak:
1. Antihistamin
Alahan ialah sejenis tindak balas sistem imun yang berlebihan terhadap sebatian atau bahan yang tidak berbahaya.
Semasa tindak balas alahan, sistem imun mengeluarkan sekumpulan bahan kimia yang dipanggil histamin.
Antihistamin mengurangkan aktiviti histamin, dan dengan berbuat demikian, ia mengurangkan gejala-gejala alahan.
Antara contoh antihistamin adalah:
- cetirizine
- diphenhydramine
- doxylamine
Dos antihistamin yang betul yang boleh diambil oleh kanak-kanak bergantung kepada jenis antihistamin.
Ibu bapa dan penjaga harus mendapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui dos yang sesuai.
Selain itu, sesetengah orang mungkin mengalami keletihan dan pening akibat pengambilan antihistamin tertentu. Justeru itu, anda harus memantau keadaan anak anda selepas pengambilan antihistamin tersebut.
Kanak-kanak harus mengelakkan aktiviti yang berpotensi berbahaya semasa mengambil antihistamin seperti berbasikal atau berenang.
2. Dekongestan
Tidak seperti antihistamin, dekongestan hanya membantu gejala-gejala yang melibatkan penyumbatan hidung.
Dekongestan berfungsi dengan menyempitkan saluran darah di hidung, yang boleh membantu mengurangkan bengkak dan keradangan. Maka, penghidap alahan dapat bernafas dengan lebih mudah.
Antara contoh dekongestan adalah:
- Xylometazoline (semburan hidung)
- Phenylephrine
- Pseudoephedrine
Dos yang sesuai untuk kanak-kanak bergantung kepada jenis dekongestan tersebut. Semak label, pastikan ubat itu selamat untuk kanak-kanak.
Menurut FDA, dekongestan adalah berbahaya dan boleh mengancam nyawa sekiranya diberikan kepada kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah.
Harus diingat juga bahawa dekongestan tidak merawat gejala-gejala alahan yang tidak berkaitan dengan hidung seperti ruam kulit, gatal-gatal dan anafilaksis.
3. Kortikosteroid
Kortikosteroid ialah sekumpulan ubat yang menghalang sistem imun daripada bertindak balas berlebihan kepada bahan kimia yang tidak berbahaya.
Kortikosteroid hidung adalah antara pilihan rawatan yang berkesan untuk merawat rinitis alergi.
Kebanyakan kortikosteroid memerlukan preskripsi. Ini bermakna, anak anda perlu mendapatkan rawatan daripada doktor sebelum ditetapkan dengan ubat kortikosteroid ini.
4. Ubat Semburan Hidung dan Titis Mata
Ubat semburan hidung dan titis mata yang mengandungi cromolyn boleh digunakan untuk merawat gejala-gejala alahan seperti rinitis alergi dan konjunktivitis alergi.
Ubat ini berfungsi dengan mengurangkan tahap histamin dalam badan dan keradangan yang berkaitan dengan tindak balas alahan.
Walau bagaimanapun, tiada data yang mencukupi untuk menyokong penggunaannya pada kanak-kanak di bawah umur 2 tahun.
Maka, anda perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakannya kepada bayi dan kanak-kanak kecil.
5. Epinefrin
Penggunaan epinefrin dalam merawat tindak balas alahan adalah ketika berlakunya tindak balas yang teruk yang dikenali sebagai anafilaksis.
Epinefrin dalam bentuk suntikan boleh membantu menterbalikkan gejala-gejala yang boleh mengancam nyawa.
Seseorang memerlukan preskripsi untuk mendapatkan penyuntik automatik epinefrin seperti EpiPen.
Doktor biasanya akan melatih kanak-kanak dan penjaga tentang cara menggunakan penyuntik automatik.
Harus diingat juga bahawa epinefrin tidak boleh menghalang tindak balas alahan dan ia bukan ubat untuk kegunaan harian atau jangka panjang.
6. Imunoterapi
Imunoterapi adalah satu kaedah rawatan yang bertujuan untuk mencegah tindak balas alahan dengan beransur-ansur mendedahkan seseorang itu dengan bahan yang mereka alergi.
Proses ini akan dikawal selia oleh doktor. Ia tidak boleh dilakukan di rumah oleh ibu bapa.
Suntikan alahan adalah salah satu jenis imunoterapi yang paling biasa. Imunoterapi juga boleh diperolehi dalam bentuk pil atau sebagai titisan, bergantung kepada alergen.
Rumusan
Adalah penting bagi ibu bapa untuk memahami alahan anak mereka, gejala-gejala khusus yang ditimbulkannya dan sama ada kanak-kanak itu berisiko mengalami anafilaksis.
Terdapat 6 jenis ubat alahan atau terapi yang boleh digunakan untuk merawat tindak balas alahan dalam kalangan kanak-kanak. Namun, ibu bapa atau penjaga harus mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai dos yang sesuai.
Bagi ubat alahan belian kaunter, adalah penting untuk ibu bapa dan penjaga membaca label sebelum menggunakan ubat tersebut.
Sesetengah ubat alahan mungkin sesuai untuk satu jenis alahan sahaja dan mungkin tidak berkesan untuk alahan yang lain.
Harus diketahui juga, sesetengah ubat alahan boleh menyebabkan kesan sampingan dan tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah umur 2 tahun.