Apabila seseorang mengalami tindak balas alahan, mungkin terdapat bunyi siulan yang lebih ketara apabila mereka menghembus nafas. Bunyi ini dipanggil berdehit. Adakah anda tahu punca dan rawatan kepada berdehit alergi?
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai punca-punca dan rawatan kepada berdehit terutamanya yang berkaitan dengan alahan (alergi).
Berdehit adalah gejala atau simptom yang lazimnya berlaku ketika tindak balas alahan. Semasa tindak balas alahan, paru-paru dan tekak mungkin menyempit.
Dalam kes ini, badan perlu bekerja dengan lebih keras untuk mendapatkan udara yang mencukupi. Keadaan ini membawa kepada bunyi bernada tinggi apabila seseorang itu menghembus nafas.
Apabila badan mengesan alergen, ia cuba menyingkirkannya dengan menghasilkan antibodi dan bahan kimia, seperti histamin.
Histamin menyebabkan saluran pernafasan meradang dan sempit, ia juga menyebabkan badan menghasilkan lendir untuk membantu mengeluarkan alergen tersebut.
Akibatnya, saluran pernafasan menjadi lebih sempit. Apabila seseorang bernafas melalui saluran udara yang sempit, udara dipaksa melalui ruang yang lebih kecil daripada biasa dan bunyi bersiul boleh terhasil. Bunyi ini adalah berdehit.
Punca-punca yang Menyebabkan Berdehit
Pelbagai faktor boleh menyebabkan berdehit dan mengenal pasti yang betul adalah penting dalam menyediakan rawatan.
Beberapa punca yang boleh menyebabkan berdehit adalah:
1. Alergi Persekitaran atau Bermusim
Tindak balas alahan ialah bagaimana badan bertindak balas terhadap bahan asing, dipanggil alergen.
Antara contoh alergen yang boleh menyebabkan berdehit adalah:
- Debunga
- Habuk
- Makanan tertentu
- Sengatan serangga
- Bulu haiwan
- Ubat-ubatan tertentu
2. Asma Alergi
Tidak semua orang yang mengalami berdehit alergi mempunyai asma alergi. Tetapi ramai penghidap asma mengalami serangan asma yang dicetuskan oleh alergen.
Mengikut fakta, asma alergi adalah jenis asma yang paling lazim berlaku iaitu menjejaskan kira-kira 60% penghidap penyakit ini.
Asma alergi atau nama lainadalah penyakit jangka panjang dan ia turut menyebabkan berdehit.
3. Kejutan Anafilaksis
Individu yang mempunyai alahan yang lebih serius boleh mengalami tindak balas teruk yang dipanggil kejutan anafilaksis.
Jika keadaan ini berlaku, individu tersebut memerlukan rawatan perubatan dengan segera.
Kejutan anafilaksis boleh menyebabkan berdehit yang diikuti oleh gejala-gejala seperti:
- Kesukaran bernafas
- Bernafas dengan laju
- Bengkak pada muka dan bibir
- Warna kebiruan pada kulit
4. Masalah Kesihatan Lain
Walaupun berdehit lebih sinonim dengan tindak balas kepada alergen, namun ia juga boleh berpunca daripada masalah kesihatan.
Contohnya seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) atau penyakit jantung.
Jika anda tidak mempunyai sejarah alahan atau asma, berdehit mungkin membimbangkan. Anda harus memaklumkan doktor anda jika:
- Berdehit buat pertama kali
- Mengalami berdehit berulang-ulang kali
- Sakit semasa bernafas
Diagnosis
Pada peringkat awal, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal bagi membantu mereka memastikan bahawa berdehit ini tidak disebabkan oleh penyakit lain.
Seterusnya, mereka akan menguji fungsi paru-paru dengan mengukur berapa banyak udara bergerak masuk dan keluar apabila anda bernafas.
Doktor mungkin memberikan ubat yang dipanggil bronkodilator untuk membuka saluran pernafasan dan membantu dengan penilaian mereka.
Jika punca berdehit belum jelas, doktor mungkin:
- Memberikan ubat-ubatan tertentu yang mencetuskan asma
- Mengukur nitrik oksida dalam nafas seseorang, yang boleh menunjukkan keradangan saluran pernafasan
- Meminta melakukan imbasan sinar-X dada atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan)
- Melakukan ujian kulit dan darah untuk alahan tertentu
Rawatan
Rawatan untuk berdehit bergantung kepada sama ada ia disebabkan oleh alahan persekitaran atau bermusim, asma alergi, kejutan anafilaksis atau masalah kesihatan yang lain.
1. Rawatan Alergi Persekitaran atau Bermusim
Pendekatan rawatan adalah berdasarkan alergen yang menyebabkan tindak balas tersebut.
Contohnya seperti:
- Debunga: Ubat alahan boleh membantu alahan akibat daripada debunga.
- Habuk: Membersihkan karpet, tilam atau perabut serta mengurangkan kelembapan di dalam rumah adalah kaedah rawatan terbaik bagi alergen seperti ini.
- Makanan tertentu: Elakkan memakan makanan yang menyebabkan tindak balas alahan.
- Bulu haiwan: Sentiasa memvakum rumah anda boleh membantu.
2. Rawatan Asma Alergi
Kebanyakan penghidap asma bertindak balas dengan baik terhadap gabungan dua jenis rawatan ini iaitu:
- Ubat pelegaan pantas yang mengembangkan saluran udara seperti beta-2 agonists.
- Ubat bertindak panjang untuk mencegah gejala-gejala seperti ubat sedut kortikosteroid.
3. Rawatan Kejutan Anafilaksis
Apabila berdehit adalah sebahagian daripada kejutan anafilaksis, individu tersebut memerlukan rawatan kecemasan.
Oleh itu, hubungi 999 atau nombor kecemasan hospital terdekat.
Sebelum bantuan sampai, adalah penting untuk melakukan perkara-perkara berikut:
- Baringkan individu tersebut
- Berikan suntikan epinefrina jika ada
- Buangkan alergen yang menyebabkan tindak balas tersebut
Rujukan
- Asthma and Allergy Foundation of America. (2022). Allergens and Allergic Asthma.
- American College of Allergy, Asthma & Immunology. Wheezing, Shortness of Breath.