Sebagai seorang ibu, anda mungkin bimbang sekiranya bayi anda berdehit (wheezing). Lebih-lebih lagi sekiranya anda tidak mengetahui punca yang menyebabkan bayi anda berdehit. Bagi memberi sedikit kelegaan kepada anda, berdehit adalah perkara normal bagi bayi.
Bayi dan kanak-kanak lebih banyak berdehit berbanding orang dewasa. Kira-kira 25-30% bayi akan mengalami sekurang-kurangnya satu episod berdehit dan hampir 50% kanak-kanak mempunyai sejarah berdehit pada usia 6 tahun.
Berdehit biasanya berlaku semasa menghembus nafas. Ia berlaku apabila sesuatu menyekat atau menyempitkan laluan saluran pernafasan bawah di dalam paru-paru.
Sebagai contoh, sedikit lendir kering boleh menghasilkan bunyi siulan apabila bayi anda bernafas.
Walaupun banyak perkara boleh membuatkan bayi anda berbunyi seperti berdehit, selalunya sukar untuk mengetahui bunyi berdehit sebenar tanpa stetoskop.
Bunyi seperti wisel yang konsisten atau apa-apa hembusan nafas yang disertai dengan bunyi berdetar-detar adalah keadaan yang perlu diberikan perhatian dengan teliti.
Punca-punca yang Menyebabkan Bayi Berdehit
1. Alahan (Alergi)
Jika anak anda mempunyai alahan terhadap sesuatu bahan seperti debunga atau habuk, badan mereka melihat bahan itu sebagai bendasing dan sistem imun mereka bertindak balas.
Sebahagian daripada proses ini menyebabkan saluran udara menjadi sempit, bermakna udara dipaksa melalui ruang yang lebih kecil. Penyempitan ini menyebabkan bunyi siulan.
Tambahan lagi, alahan jarang berlaku kepada bayi yang berumur kurang dari satu tahun.
2. Asma
Kadangkala bayi berdehit adalah petunjuk kepada asma. Ini lebih berkemungkinan jika ibu bapa bayi merokok, mempunyai sejarah asma atau ibu bayi merokok semasa hamil.
Satu kejadian berdehit tidak bermakna bayi anda menghidap asma. Tetapi jika bayi anda mengalami episod berdehit yang berterusan, anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
3. Penyakit Refluks Gastroesofagus (GERD)
Ini adalah keadaan di mana asid perut bocor kembali ke dalam esofagus atau paip makanan.
Sebilangan kecil cecair ini kemudiannya boleh disedut ke dalam paru-paru menyebabkan kerengsaan dan pembengkakan saluran udara kecil, yang seterusnya menyebabkan berdehit.
Sendawa yang kerap semasa menyusu dan dudukan bayi anda dalam keadaan tegak selama sekurang-kurangnya 30 minit selepas menyusu boleh mengurangkan risiko GERD.
4. Bronkiolitis
Bronkiolitis ialah jangkitan pernafasan bawah yang boleh berlaku kepada bayi anda. Ia lazimnya banyak berlaku semasa musim tengkujuh atau musim hujan.
Bronkiolitis biasanya disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan bronkiol dalam paru-paru meradang. Jika bayi anda menghidap bronkiolitis, mereka mungkin mengalami gejala-gejala seperti berdehit, batuk kering dan muntah selepas menyusu.
5. Punca-punca Lain
Dalam kes jarang berlaku, bunyi berdehit bayi mungkin menunjukkan kehadiran penyakit kronik atau kongenital seperti fibrosis sista, pneumonia (radang paru-paru) atau pertusis (batuk kokol).
Jika terdapat penyakit serius, bayi anda akan mengalami gejala-gejala lain juga.
Rawatan untuk Bayi Berdehit
Oleh demikian kerana terdapat banyak sebab mengapa bayi mungkin berdehit, rawatan bergantung kepada punca tertentu.
Seorang doktor mungkin mencadangkan merawat berdehit di rumah jika ia adalah kali pertama ia berlaku.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk berjumpa doktor pada peringkat awal jika anda mendapati bayi anda berdehit.
Antara rawatan di rumah yang boleh dilakukan adalah:
1. Hidrasi
Jika bayi anda berdehit kerana jangkitan, penting untuk memastikan mereka terhidrasi. Pastikan anda memberi mereka banyak cecair.
Penghidratan akan membantu mencairkan mukus (lendir) dan membersihkan saluran hidung.
2. Penebula (Nebulizer)
Penebula ialah alat yang membolehkan ubat disedut sebagai kabus. Jika berdehit disebabkan oleh asma, doktor mungkin mempreskripsi albuterol, yang mungkin juga dicampur dengan air masin.
Albuterol hanya akan berfungsi jika berdehit disebabkan oleh asma.
3. Alat Pelembap
Pelembap udara menambah kelembapan ke udara. Ini boleh membantu melegakan sebarang kesesakan di saluran pernafasan, yang berpotensi mengurangkan berdehit.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika anda rasa bayi anda berdehit, bawa mereka berjumpa doktor kanak-kanak secepat mungkin. Diagnosis yang betul diperlukan untuk menentukan rawatan sesuai anak anda.
Jika pernafasan anak anda sukar atau jika kulit mereka menjadi kebiruan, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Ia mungkin menandakan tindak balas alahan yang teruk atau keadaan perubatan yang serius.
Anda juga harus berjumpa doktor dengan segera jika bayi anda mempunyai:
- Bunyi berdetar-detar di dalam dada
- Dehidrasi
- Demam panas
- Batuk yang teruk
Rujukan
- Weiss, L.N. (2008).The Diagnosis of Wheezing in Children. American Family Physician.
- Watson, K. (2017). Why Is My Baby Wheezing? Healthline