Alergen ialah bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan (alergi). Bagi sesetengah orang, sistem imun badan mereka mengenali alergen sebagai asing atau berbahaya.
Akibatnya, sistem imun akan bertindak balas dengan menghasilkan sejenis antibodi yang dipanggil IgE untuk mempertahankan badan daripada bahan asing ini. Tindak balas ini adalah salah satu peranan utama sistem imun dalam mempertahankan badan daripada sebarang jangkitan.
Biasanya, pertama kali seseorang itu terdedah kepada alergen, mereka tidak terus mengalami tindak balas. Ia selalunya mengambil masa untuk sistem imun menghasilkan kepekaan terhadap bahan tersebut.
Apabila sistem imun sudah belajar mengenali dan mengingati alergen, terdedah kepada bahan ini akan menyebabkan sistem imun menghasilkan antibodi untuk menyerang bahan asing tersebut.
Jenis-jenis Alergen
Jenis alergen yang berbeza menjejaskan anda dengan cara yang berbeza.
Contohnya, sesetengahnya menyebabkan gejala pernafasan, manakala yang lain mengakibatkan ruam kulit atau gangguan perut dan usus.
Lebih parah lagi, sesetengahnya boleh menyebabkan tindak balas alahan yang boleh mengancam nyawa.
1. Alergen Makanan
Alergen makanan boleh menyebabkan tindak balas ringan hinggalah teruk seperti tindak balas anafilaksis.
Terdapat 9 jenis makanan yang paling lazim menyebabkan tindak balas alahan berbanding makanan lain iaitu:
- Telur
- Kacang tanah
- Susu
- Kacang
- Kerang-kerangan
- Kacang soya
- Gandum
- Bijan
- Ikan
2. Alergen Kulit
Ruam kulit adalah tindak balas yang paling biasa berlaku apabila kulit bersentuhan dengan alergen kulit. Alahan ini dikenali sebagai dermatitis sentuh.
Antara alergen yang dikelaskan dalam kategori ini adalah:
- Getah (lateks)
- Nikel
- Kosmetik
- Minyak wangi atau wangian
- Ubat sapuan
- Pencuci atau sabun pencuci
- Tumbuhan
3. Alergen Bawaan Udara
Alergen bawaan udara adalah alergen yang memasuki badan anda melalui saluran pernafasan. Alergen jenis ini biasanya menyebabkan gejala-gejala alahan hidung dan mata seperti rinitis alergi dan konjunktivitis alergi.
Antara alergen bawaan udara adalah:
- Debunga
- Hama habuk
- Sisik haiwan
- Kulapuk dan kulat
4. Alergen Ubat-ubatan
Alergen ubat-ubatan boleh menyebabkan ruam kulit, gatal-gatal dan anafilaksis. Adalah tidak mustahil untuk anda mengalami alahan untuk apa-apa ubat.
Walau bagaimanapun, beberapa ubat yang sering menyebabkan tindak balas alahan adalah:
- Antibiotik seperti penicillin
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen atau naproxen
- Ubat sulfa yang selalunya digunakan untuk merawat jangkitan salur kencing
- Antikonvulsan (ubat sawan)
- Ubat kemoterapi
Gejala-gejala dan Komplikasi
Pendedahan kepada alergen boleh mengakibatkan pelbagai jenis gejala. Antara gejala-gejala yang sering berlaku adalah:
- Ruam
- Batuk
- Bersin
- Berdehit
- Hidung berair
- Hidung tersumbat
- Sakit kepala
- Loya
- Sukar bernafas
Selalunya, alergen hanyalah gangguan. Walau bagaimanapun, pendedahan kepada bahan-bahan tersebut boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius.
Beberapa risiko atau komplikasi yang boleh berlaku adalah:
- Asma: Asma adalah penyakit paru-paru yang kronik yang menyebabkan paru-paru bertindak balas dengan menutup apabila terdedah kepada pencetus tertentu.
- Anafilaksis: Anafilaksis adalah tindak balas alahan yang teruk yang boleh mengancam nyawa.
- Jangkitan kronik: Jangkitan kronik adalah lebih lazim bagi mereka yang mempunyai alahan.
Ujian Terhadap Alergen
Doktor atau pakar alergi lazimnya akan menjalankan ujian terhadap pesakit untuk mengetahui jenis alahan atau jenis alergen yang boleh menyebabkan tindak balas alahan kepada pesakit.
Doktor mungkin menjalankan ujian kulit atau ujian darah untuk mendiagnosis alahan anda.
- Ujian kulit: Ujian ini melibatkan mencucuk kulit dengan beberapa jenis alergen untuk melihat sama ada terdapat tindak balas atau tidak.
- Ujian darah: Darah diambil untuk dibuat pengiraan bilangan antibodi alahan tertentu.
Rawatan
Rawatan utama adalah mengelakkan daripada alergen yang membuatkan anda mengalami tindak balas alahan. Namun, kadangkala ia tidak mungkin atau sukar.
Justeru itu, rawatan-rawatan lain boleh membantu:
- Ubat antihistamin
- Kortikosteroid hidung
- Ubat titis mata
- Dekongestan
- Ubat kortikosteroid oral
- Suntikan alahan
Rujukan
- National Institute of Environmental Health Sciences. Allergens.
- FDA. (2023). Food Allergies.
- Valeii, K. (2021). What Are Allergens? verywellhealth.