Ujian alahan membolehkan seseorang mengetahui bahan apa yang mereka alah terhadapnya, maka mereka boleh merancang dan mengelakkan alergen tersebut. Terdapat 2 jenis ujian alahan yang utama iaitu RAST atau ujian kulit.
Ujian RAST adalah alternatif kepada ujian kulit. Ujian kulit atau ujian cucuk kulit boleh menentukan kulit seseorang bertindak balas terhadap alergen tertentu.
Dalam artikel ini, kita akan melihat perbezaan antara ujian RAST dan ujian kulit serta membandingkan keberkesanan antara kedua-dua ujian ini.
Apa itu Ujian RAST?
Ujian RAST atau ujian radioallergosorbent ialah ujian darah yang digunakan untuk melihat darah seseorang individu mengandungi antibodi untuk bahan-bahan tertentu. Contohnya seperti debunga, gandum atau kacang tanah.
Antibodi ini dikenali sebagai imunoglobulin E atau antibodi IgE. Jika darah seseorang mengandungi antibodi lgE yang khusus untuk bahan tertentu, bermakna mereka alah kepada bahan tersebut.
Antibodi ini menyebabkan ruam, gatal-gatal, bersin, dan gejala lain yang seseorang alami apabila mereka bersentuhan dengan alergen.
Ujian RAST yang asal kini telah ketinggalan. Daripada ujian RAST, doktor lebih cenderung untuk melakukan ujian darah berbeza yang dipanggil ELISA, yang bermaksud asai imunoserapan terangkai enzim.
Apa itu Ujian Kulit?
Ujian kulit adalah ujian yang mendedahkan kulit anda dengan beberapa bahan yang disyaki menyebabkan tindak balas alahan.
Ujian alahan ini mungkin dapat mengesahkan sama ada bahan tertentu yang anda sentuh, sedut atau makan menyebabkan gejala-gejala alahan.
Ujian RAST vs. Ujian Kulit
Ujian kulit adalah ujian alahan yang paling lazim digunakan untuk menentukan alergen yang menyebabkan gejala-gejala alahan.
Sekiranya seseorang itu tidak dapat menjalani ujian kulit, maka ujian darah seperti RAST atau ELISA digunakan sebagai pengganti.
Perbezaan antara ujian darah RAST atau ELISA dengan ujian kulit adalah seperti berikut:
- Kecepatan prosedur: Ujian kulit adalah lebih pantas daripada ujian darah. Ujian kulit boleh dilakukan di bilik doktor tetapi ujian RAST atau ELISA memerlukan sampel darah dihantar ke makmal.
- Kepantasan keputusan: Tindak balas terhadap ujian kulit biasanya berlaku dalam masa 15 minit, manakala ia boleh mengambil masa antara beberapa hari hingga 2 minggu untuk mendapatkan keputusan ujian RAST.
- Ketepatan: Ujian kulit mungkin lebih sensitif berbanding ujian darah, walaupun kedua-dua kaedah dianggap tepat untuk mendiagnosis alahan.
- Kos: Kos ujian kulit kurang daripada ujian RAST atau ELISA, yang mungkin menjadi pertimbangan bagi sesetengah orang.
- Keselamatan: Walaupun jarang berlaku, seseorang boleh mengalami tindak balas serius terhadap alergen yang digunakan dalam ujian kulit. Tiada risiko seperti ini bagi ujian darah RAST atau ELISA.
Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mengesyorkan ujian darah dan bukannya ujian kulit. Contohnya seperti:
- Ujian terhadap bayi atau kanak-kanak kecil.
- Untuk mengelakkan tindak balas alahan yang teruk terhadap alergen yang kuat.
- Mengurangkan risiko menyebabkan penyakit kulit sedia ada bertambah teruk, seperti ekzema atau psoriasis.
- Membolehkan seseorang mengambil ubat harian yang boleh menjejaskan ujian kulit.
Untuk Apa Ujian RAST?
Ujian darah seperti RAST dan ELISA boleh menguji pelbagai alahan, termasuk alahan makanan, alahan ubat, alahan bermusim dan alahan haiwan peliharaan.
Bersama-sama dengan mendiagnosis alahan semasa, ujian darah boleh digunakan sebagai sebahagian daripada proses ujian dan rawatan yang digunakan oleh doktor untuk menguji kemajuan alahan pada kanak-kanak kecil.
Rumusan
Adalah penting untuk diingat bahawa tiada ujian alahan boleh, dengan sendirinya, menentukan sama ada seseorang itu mempunyai alahan atau tidak dan apakah alahan tersebut.
Seorang doktor juga akan mengambil kira sejarah perubatan individu dan faktor-faktor lain.
Lazimnya, ujian kulit lebih menjadi pilihan kerana ia lebih pantas dan lebih sensitif. Walau bagaimanapun, kedua-dua ujian sama ada ujian RAST atau ujian kulit boleh digunakan untuk mendiagnosis jenis alahan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2022). Allergy Skin Tests. MayoClinic
- Dresden,D. (2018). Are RAST or skin test better for allergies? MedicalNewsToday