Alahan ubat atau alergi ubat ialah tindak balas alahan terhadap ubat-ubatan. Alahan ubat terjadi apabila sistem imun bertindak balas dengan ubat yang dimakan atau digunakan.
Alahan ini boleh berlaku tidak kira terhadap ubat-ubatan yang dipreskripsi, ubat belian kaunter atau ubat herba.
Sebenarnya, alergi ubat adalah sejenis alahan yang jarang berlaku. Kira-kira hanya 5-10% tindak balas adalah disebabkan alahan ini. Selebihnya mungkin disebabkan oleh kesan sampingan ubat.
Namun begitu, harus diketahui juga bagaimana punca, simptom-simptom dan rawatan bagi alahan ini.
Punca
Alahan ubat berlaku apabila sistem imun anda tersalah tafsir bahawa ubat yang dimakan atau digunakan itu sebagai bahan yang berbahaya. Apabila sistem imun menyangka bahawa ubat tersebut adalah bahan berbahaya, sistem imun ini akan menghasilkan antibodi khusus untuk ubat tersebut.
Tindak balas ini boleh berlaku sama ada ia adalah kali pertama anda mengambil ubat tersebut atau akibat daripada pengambilan yang berulang-ulang.
Selepas antibodi telah melabelkan ubat jenis itu adalah sebagai bahan berbahaya, ia akan mengarahkan sistem imun untuk menyerang bahan ini. Bahan kimia yang semasa aktiviti ini menyebabkan simptom-simptom atau gejala yang berkaitan dengan tindak balas alahan.
Terdapat juga tindak balas alahan yang berlaku melalui proses yang berbeza iaitu sesetengah ubat akan terus mengikat dengan sel-sel darah putih sistem imun yang dipanggil sel T. Keadaan ini turut boleh menyebabkan penghasilan bahan kimia yang menyebabkan tindak balas alahan.
Jenis-jenis Ubat yang Boleh Menyebabkan Alahan
Beberapa jenis ubat yang lazimnya atau boleh menyebabkan alergi berbanding yang lain adalah seperti berikut:
- Ubat antibiotik seperti penicillin
- Ubat antibiotik sulfonamide
- Ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan aspirin
- Ubat antisawan seperti carbamazepine dan lamotrigine
- Ubat kemoterapi seperti docetaxel dan procarbazine
- Ubat yang digunakan dalam terapi antibodi monoklon seperti trastuzumab dan ibritumomab
- Ubat untuk penyakit autoimun
- Ubat bius (abestetik setempat)
- Ubat antivirus yang digunakan untuk merawat HIV dan hepatitis C seperti Nevirapine, Telaprevir dan Abacavir.
Simptom-simptom Alahan Ubat
Simptom-simptom atau gejala alahan boleh berlaku dalam masa satu jam selepas anda mengambil ubat tersebut.
Antara simptom-simptom yang paling kerap berlaku adalah:
- Ruam pada kulit
- Gatal-gatal
- Masalah pernafasan seperti sesak nafas
- Bengkak terutamanya di bahagian muka
Bagi tindak balas alahan yang serius yang dikenali sebagai anafilaksis, beberapa simptom atau gejala yang boleh berlaku adalah seperti:
- Bengkak dibahagian muka, mulut dan lidah
- Tekanan darah turun mendadak
- Sukar bernafas
- Deyutan jantung tidak sekata
- Tidak sedarkan diri
- Loya atau muntah-muntah
- Pening
Tindak balas anafilaksis memerlukan rawatan segera kerana ia boleh membahayakan nyawa.
Perbezaan Antara Alahan dan Kesan Sampingan Ubat
Alahan ubat hanya berlaku kepada orang-orang tertentu sahaja. Alahan melibatkan sistem imun dan selalunya memberikan kesan tidak baik.
Manakala kesan sampingan ubat boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang mengambil ubat tersebut. Kesan sampingan biasanya tidak melibatkan sistem imun dan kadang kalanya boleh menjadi memudaratkan atau membantu.
Sebagai contoh, ubat aspirin boleh menyebabkan kesan sampingan iaitu sakit perut kepada sesetengah orang. Tetapi ubat ini juga mempunyai kesan sampingan yang boleh membantu iaitu mengurangkan risiko serangan strok dan serangan jantung.
Rawatan Alahan Ubat
Rawatan kepada alahan ini bergantung kepada tahap keterukan alahan tersebut. Terdapat beberapa langkah rawatan yang akan dilakukan oleh doktor. Antaranya:
1. Menghentikan pemberian ubat tersebut
Sekiranya doktor mendapati anda mempunyai alahan terhadap ubat yang telah diberikan. Doktor akan menghentikan pemberian ubat tersebut sebagai langkah awal rawatan.
Doktor juga mungkin akan menggantikan ubat tersebut dengan ubat lain yang tidak menyebabkan tindak balas alahan kepada anda.
2. Antihistamin
Doktor juga mungkin akan memberikan ubat antihistamin atau mencadangkan ubat antihistamin belian kaunter sekiranya alergi tersebut menyebabkan badan menghasilkan histamin.
Ubat antihistamin akan menghalang penghasilan histamin yang dapat mengurangkan simptom-simptom alahan.
Ubat antihistamin boleh didapati dalam bentuk pil, ubat titis mata, krim dan semburan.
3. Kortikosteroid
Kortikosteroid diberikan sekiranya tindak balas yang berlaku menyebabkan keradangan seperti saluran pernafasan menjadi bengkak atau sempit atau masalah lain yang serius.
Kortikosteroid ini terdapat dalam bentuk pil, semburan, krim atau suntikan.
4. Epinefrina
Sekiranya berlakunya anafilaksis, rawatan segera menggunakan epinefrina harus diberikan untuk mengekalkan tekanan darah dan membantu pernafasan.
5. Penyahpekaan ubat
Sekiranya anda perlu untuk mengambil ubat yang menyebabkan tindak balas alahan kerana tiada pilihan lain. Doktor mungkin akan mencadangkan rawatan yang dipanggil penyahpekaan ubat.
Dengan rawatan ini, anda akan menerima dos yang rendah dan diikuti dos yang lebih besar bagi setiap 15 minit hingga 30 minit selama beberapa jam atau hari. Sekiranya anda mencapai dos yang diperlukan tanpa tindak balas, kemudian anda boleh terus menerima rawatan menggunakan ubat tersebut.
Langkah-langkah Pencegahan
Sekiranya anda mempunyai alahan ubat, langkah pencegahan terbaik ialah mengelak daripada ubat tersebut.
Maklumkan kepada doktor atau doktor gigi yang merawat anda mengenai alahan yang dihidapi.
Terdapat juga kajian yang mendapati sesetengah pesakit yang pernah mengalami alahan ini atau mempunyai sejarah alahan tidak lagi menunjukkan tindak balas alahan selepas 10 tahun.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. 2020. Drug allergy. Mayoclinic [diakses pada 3 Februari 2021].
- Healthline Editorial Team. 2018. What Is a Drug Allergy. Healthline [diakses pada 3 Februari 2021].
- American Academy of Allergy Asthma & Immunology. Drug Allergy [diakses pada 3 Februari 2021].
- Dorn, J. M. et al. (2018). Sulfonamide Drug Allergy. Current allergy and asthma reports.
- Zuo, J. et al. (2020). Risk of True Allergy to Local Anesthetics: 10-Year Experience from an Anesthesia Allergy Clinic in China. Therapeutics and clinical risk management.
- Milpied-Homsi, B. et al. (2014). Antiviral drug allergy. Immunology and allergy clinics of North America.