Ujian alahan atau ujian saringan alahan adalah pemeriksaan yang dilakukan oleh ahli profesional perubatan atau pakar alahan untuk mengenal pasti sama ada badan anda mempunyai tindak balas alahan atau tidak terhadap sesuatu alergen.
Alergen ialah bahan yang menyebabkan tindak balas alahan. Secara umumnya, terdapat 3 kategori alergen yang boleh menyebabkan alahan.
Contohnya seperti:
- Alergen sentuh. Alergen jenis ini akan menyebabkan tindak balas alahan apabila bersentuhan dengan kulit anda.
- Alergen makan. Alergen jenis ini adalah alergen yang terkandungan dalam makanan seperti makanan laut, kekacang, susu lembu atau gandum yang menyebabkan tindak balas alahan.
- Alergen hidu(udara). Alergen yang menyebabkan tindak balas alahan apabila anda menyedut udara yang mengandungi alergen ini. Contohnya seperti debunga dan habuk.
Tujuan Ujian Alahan
Alahan boleh menyebabkan penurunan kepada kualiti hidup dan daya tumpuan kepada penghidapnya apabila mereka sering terganggu dengan kegatalan, ketidakselesaan dan kesukaran bernafas.
Ujian alahan ini dapat membantu kita untuk mengetahui punca alahan (alergen), tahap alahan dan jenis-jenis alahan.
Rinitis alergi (alahan hidung atau resdung), asma, alahan mata, ekzema dan urtikaria adalah antara penyakit-penyakit yang tergolong dalam kumpulan alahan.
Persediaan Sebelum Menjalani Ujian Alahan
Sebelum ujian alahan dilakukan, doktor mungkin akan menjalankan sedikit soal selidik terhadap pesakit seperti borang soal selidik berkaitan dengan matlumat diri, cara hidup, sejarah keluarga (sekiranya ada ahli keluarga yang lain yang turut mempunyai alahan) dan lain-lain lagi.
Selain itu, doktor juga mungkin meminta pesakit untuk berhenti mengambil ubat tertentu sekiranya pesakit sedang mengambil ubat tersebut kerana boleh mempengaruhi keputusan ujian ini.
Antara jenis ubat yang boleh mempengaruhi keputusan ujian alahan adalah:
- ubat antihistamin belian kaunter atau preskripsi
- ubat untuk pedih ulu hati seperti famotidine
- ubat asma seperti omalizumab
- ubat antidepresi seperti amitriptyline
- ubat benzodiazepines (benzos) seperti diapezum atau lorazepam
Jenis-jenis Ujian Alahan
Ujian alahan dapat dibahagikan kepada 2 jenis ujian utama iaitu ujian cucuk kulit (“skin prick test“) atau ujian darah.
1. Ujian Cucuk Kulit (Skin Prick Test)
Ujian cucuk kulit ini adalah ujian yang selalunya dijalankan kerana keputusan yang cepat dan tepat. Ujian ini mempunyai tahap kepekaan yang tinggi iaitu sekitar 70% hingga 95% terutamanya terhadap alergen hidu (udara).
Ujian ini akan dilakukan di lengan pesakit. Lengan pesakit akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum lengan tersebut dilekatkan dengan pita pelekat bernombor.
Terdapat lebih daripada 30 alergen akan dititiskan pada lengan tersebut mengikut nombor pada borang keputusan ujian.
Kemudian, lengan pesakit akan dicucuk sedikit bagi membolehkan alergen ini masuk ke dalam lapisan kulit luar. Kedalaman cucukan hanyalah pada lapisan kulit luar sahaja.
Selepas 15-20 minit, keputusan ujian ini akan dibaca dan dicatatkan. Bagi keputusan positif, bahagian yang diletakkan alergen tadi akan membentuk benjolan seperti gigitan nyamuk. Saiz benjolan ini akan diukur untuk mengetahui tahap keterukan alahan yang dialami.
2. Ujian Darah (Blood Test)
Ujian darah biasanya dilakukan sekiranya pesakit mempunyai tindak balas alahan yang teruk terhadap ujian cucuk kulit.
Ujian ini melibatkan pengambilan sedikit darah dari lengan pesakit yang kemudiannya dihantar ke makmal untuk diuji.
Terdapat dua kaedah pengujian untuk mengetahui alahan bagi ujian darah ini iaitu radioallergosorbent testing (RAST) dan enzyme-linked immunosorbent assays (ELISA). ELISA adalah bentuk ujian yang lebih baharu berbanding RAST.
RAST melibatkan pengiraan antibodi alahan tertentu dalam sampel darah. Manakala ELISA melibatkan mengikat antibodi alahan dalam sampel darah kepada alergen.
Ujian darah melibatkan kos yang lebih tinggi berbanding ujian cucuk kulit.
Keputusan dan Tindakan Selepas Ujian
Berdasarkan keputusan yang diperolehi, doktor dan pesakit boleh mengetahui alergen yang menyebabkan tindak balas alahan kepada pesakit.
Doktor akan mungkin akan memberikan ubat untuk mengurangkan simptom-simptom yang dialami. Pesakit juga boleh membuat perancangan dan peka akan alergen yang boleh menyebabkan tindak balas alahan kepadanya.
Bagi ujian cucuk kulit, keputusan ujian yang negatif tidak bermakna bahawa pesakit tidak mempunyai alahan terutamanya jika pesakit mengalami simptom-simptom alahan yang nyata.
Keputusan negatif ini mungkin disebabkan oleh kemungkinan pesakit mengambil ubat-ubatan yang boleh menghalang mekasnisme alahan, alergen yang digunakan terlalu cair atau reaksi kulit yang rendah kepada ujian terutamanya bagi warga tua dan bayi.
Rujukan
- Krans, B. (2019). Allergy Testing. Healthline [diakses pada 14 Jun 2021].
- More, D. (2020). What Types of Allergy Test Are Available? Verywellhealth [diakses pada 14 Jun 2021].