Ya, alahan boleh membuatkan dada anda sesak dengan menyebabkan keradangan dan pengumpulan lendir (mukus) di saluran pernafasan.
Alahan boleh menyebabkan laluan udara membengkak, menyempit dan menghasilkan mukus di dalam paru-paur. Akibatnya, ia menyebabkan gejala seperti sesak dada.
Alahan juga boleh membawa kepada asma iaitu penyakit yang juga boleh menyebabkan sesak dada. Sekiranya anda mengalami sesak dada bukan disebabkan alahan atau asma, sila dapatkan pemeriksaan daripada doktor.

Sesak dada adalah simptom yang boleh berpunca daripada beberapa sebab dan alahan boleh menjadi salah satu daripadanya.
Kenapa Alahan Menyebabkan Sesak Dada?
Kesesakan dada seperti gejala-gejala alahan yang lain adalah hasil tindak balas badan terhadap rangsangan buruk. Apabila alergen memasuki badan, ia mencetuskan pembebasan histamin dan mediator keradangan lain ke dalam aliran darah.
Bahan kimia tersebut menyebabkan keradangan saluran pernafasan dan pengeluaran lendir. Ini boleh menyebabkan penyempitan, kesukaran bernafas dan kesesakan dada.
Bagaimanakah Rasa Sesak Dada Akibat Alahan?
Kesesakan dada akibat alahan boleh menjadi hampir sama dengan kesesakan biasa. Dalam kebanyakan kes, anda akan mengalami perasaan sesak dada yang sama, kesukaran bernafas dan sesak nafas yang berkaitan dengan gejala tersebut.
Walau bagaimanapun, kesesakan dada yang disebabkan oleh alahan jarang berlaku dengan sendirinya.
Sebagai sebahagian daripada tindak balas imun badan yang lebih luas, ia boleh disertai dengan gejala alahan yang lebih terkenal, termasuk hidung berair, mata gatal, batuk dan bersin.
Kesesakan dada biasanya berlaku bersama-sama beberapa simptom-simptom utama iaitu batuk dengan penghasilan mukus (kahak) yang berwarna kuning hingga kelabu.
Ia juga boleh menyebabkan berdehit dan sesak nafas.
Selain itu, sesak dada yang disebabkan oleh alahan boleh menyebabkan simptom-simptom alahan yang lain seperti:
- Hidung berair atau tersumbat
- Bersin
- Sakit kepala
- Kelesuan
- Ruam
- Gatal-gatal mata
- Mata menjadi merah
Bagaimana Merawat Alahan dan Sesak Dada?
Rawatan kesesakan dada bergantung kepada punca. Dalam kebanyakan kes, gejala-gejala hilang tanpa rawatan.
Jika sesak dada disebabkan oleh alahan, rawatan terbaik adalah mengelakkan alergen atau perengsa.
Walaupun kebanyakan gejala ringan hilang secara spontan, doktor juga boleh memberikan ubat untuk tindak balas alahan ringan seperti:
- Antihistamin
- Dekongestan
- Bronkodilator
- Kortikosteroid oral atau sedutan
Di samping itu, terdapat juga petua atau rawatan di rumah yang boleh membantu melegakan sesak dada dan batuk. Antaranya adalah:
- Meminum teh halia
- Mengambil lozeng
- Memakan madu
Meminum air juga boleh membantu mengekalkan hidung dan pelapik tekak lembap, ini menjadikan seseorang itu mudah untuk membersihkan lendir (mukus).
Faktor-faktor Lain yang Boleh Menyebabkan Sesak Dada
Selain alahan, terdapat juga beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan sesak dada.
Oleh sebab sesak dada akibat alahan tidak begitu berbeza daripada sesak dada biasa, sukar untuk menentukan puncanya.
Walau bagaimanapun, sesetengah daripada mereka boleh menjadi serius, jadi penting untuk mengenal pasti dan menangani masalah anda secepat mungkin.
Antara faktor-faktor tersebut adalah:
- Asma
- Demam selesema
- Bronkitis
- Serangan jantung
- Kanser paru-paru
- Embolisme pulmonari
- Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)
Rujukan
- Singh A, Avula A, Zahn E. Acute Bronchitis. [Updated 2023 Feb 13]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Tee-Melegrito, R.A. (2023). Can allergies cause chest congestion? MedicalNewsToday