Alahan makanan atau turut dipanggil alergi makanan adalah salah satu bentuk alahan yang paling lazim berlaku. Terdapat kira-kira 9 jenis alahan makanan yang paling banyak berlaku dalam populasi umum di dunia ini. Justeru itu, artikel ini menjelaskan dengan ringkas jenis-jenis alahan makanan tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kelaziman dalam populasi umum dianggarkan sebanyak 1-3% bagi orang dewasa dan 4-6% bagi kanak-kanak.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai 9 jenis alahan makanan yang lazimnya berlaku dan simptom-simptom yang berkaitan serta golongan berisiko.
Alahan makanan ialah keadaan di mana sesetengah makanan yang menyebabkan tindak balas sistem imun yang tidak normal.
Keadaan ini menyebabkan sistem imun badan menyangka sesetengah protein dalam makanan tersebut sebagai berbahaya.
Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga badan melepaskan bahan kimia yang dikenali sebagai histamin. Histamin ini menyebabkan gejala-gejala alahan.
1. Alahan Susu Lembu
Alahan susu lembu adalah antara alahan makanan yang paling kerap terjadi kepada bayi atau kanak-kanak kecil.
Alahan susu lembu boleh terjadi dengan penglibatan perantara antibodi (IgE) atau tidak antibodi (non-IgE) atau melibatkan kedua-duanya sekali.
Alahan susu lembu yang melibatkan perantara antibodi (IgE) adalah antara yang paling lazim berlaku dan yang paling serius. [1]
Mereka yang mengalami alahan susu lembu yang melibatkan perantara antibodi biasanya akan menunjukkan simptom-simptom beberapa minit hingga 1 atau 2 jam selepas meminum susu ini.
Antara simptom-simptom yang boleh berlaku adalah:
- Sukar bernafas
- Bengkak muka, bibir, lidah dan disekitar mata
- Ruam kulit yang gatal dengan tompok-tompok merah
- Batuk
- Berdehit
- Sakit perut
- Muntah-muntah
- Cirit-birit
- Pening
- Tekanan darah menjadi rendah
- Anafilaksis (jarang-jarang berlaku)
Manakala mereka yang mengalami alahan susu yang tidak melibatkan perantara antibodi (non-IgE) pula biasanya menunjukkan simptom-simptom berkaitan usus seperti sembelit, cirit-birit dan muntah.
Ibu yang menyusukan anak mereka juga harus mengelakkan makan makanan yang mengandungi protein susu lembu sekiranya anaknya menghidap alahan susu lembu.
2. Alahan Telur
Alahan telur adalah jenis alahan makanan yang kedua paling lazim berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Kanak-kanak yang menghidap alahan telur ini biasanya akan pulih daripada alahan ini apabila mereka meningkat dewasa. [2]
Kedua-dua bahagian telur iaitu putih dan kuning telur boleh menyebabkan alahan. Walau bagaimanapun, putih telur lebih banyak menyebabkan alahan. [3]
Tindak balas alahan yang melibatkan perantara antibodi (IgE) juga adalah antara jenis yang paling lazim berlaku bagi alahan telur.
Antara simptom-simptom alahan telur adalah:
- Ruam kulit yang gatal dengan tompok-tompok merah
- Bengkak muka, bibir, lidah dan disekitar mata
- Sakit perut
- Masalah pernafasan
- Anafilaksis (jarang-jarang berlaku)
Penghidap alahan telur turut perlu mengelakkan daripada makan makanan atau produk yang mengandungi telur seperti kek, pastri, mayonis,ais krim atau albumin.
3. Alahan Makanan Laut
Alahan makanan laut adalah antara jenis alahan makanan yang paling lazim di negara-negara Asia. [4]
Makanan laut ini merujuk kepada kerang-kerangan seperti ketam, udang, udang kara, kupang, kerang, kepah, tiram dan sotong.
Alahan makanan laut mungkin dicetuskan oleh protein yang dikenali sebagai tropomyosin. Alergen lain seperti arginine kinase dan myosin turut memainkan peranan. [5]
Simptom-simptom bagi alahan makanan laut juga sama seperti alahan-alahan lain seperti alahan susu atau alahan telur.
Alahan makanan laut boleh terjadi kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa.
4. Alahan Kacang Tanah
Alahan kacang tanah adalah antara alahan yang sering berlaku dan berbahaya. Alahan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya berlaku anafilaksis.
Kacang tanah adalah dari kategori legum. Biasanya mereka yang mempunyai alahan terhadap kacang tanah turut alah kepada kekacang.
Alahan ini boleh terjadi kepada kanak-kanak dan orang dewasa.
Biasanya penghidap alahan kacang tanah akan mengalami alahan ini sepanjang hayat mereka. Tetapi ada juga yang berjaya sembuh daripada alahan ini apabila mereka meningkat dewasa. [6]
Simptom-simptom alahan kacang tanah adalah sama seperti alahan lain seperti:
- Ruam kulit yang gatal dengan tompok-tompok merah
- Bengkak muka, bibir, lidah dan disekitar mata
- Radang pada kulit
Cara terbaik untuk merawat alahan ini ialah dengan mengelak daripada semua makanan yang berkaitan dengan kacang tanah.
5. Alahan Kacang atau Kekeras
Kacang ialah kategori buah atau biji yang berkulit keras yang diperolehi daripada pokok berkayu.
Antara contoh kacang adalah:
- Kacang badam (pokok badam)
- Kacang walnut (pokok walnut)
- Kacang pekan (pokok pekan)
- Kacang gajus (pokok gajus)
- Buah berangan (pokok berangan)
- Kacang pistasio (pokok pistasio)
- Kacang makadamia (pokok makadamia)
Mereka yang mengalami alahan kacang harus menjauhi sebarang makanan yang mengandungi kacang ini termasuklah minyak kacang dan mentega kacang.
Selain itu, dinasihatkan juga agar menjauhi kesemua jenis kacang sekiranya anda atau anak anda mempunyai alahan terhadap satu atau dua jenis kacang ini.
Alahan kacang tanah dan kacang menyebabkan lebih 50% kematian akibat daripada tindak balas anafilaksis. [7]
Simptom-simptom alahan kacang adalah sama seperti alahan kacang tanah atau alahan yang lain.
6. Alahan Ikan
Alahan ikan adalah alahan yang lebih biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa.
Tidak seperti alahan lain, alahan ikan boleh terjadi ketika seseorang itu sudah dewasa.
Alahan ikan mempunyai simptom yang sama seperti alahan terhadap makanan laut dengan simptom-simptom utamanya seperti:
- Muntah-muntah
- Cirit-birit
Alahan ikan ini disebabkan oleh alergen utama yang dikenali sebagai parvalbumin. [8]
Tindak balas akibat makan ikan yang telah tercemar dengan bakteria, toksin dan parasit sering disalah ertikan sebagai alahan ikan.
7. Alahan Gandum
Alahan gandum berlaku apabila sistem imun badan bertindak balas dengan protein yang terkandung dalam tepung gandum.
Alahan gandum lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Namun, biasanya golongan ini akan menjadi toleran setelah meningkat dewasa.
Alahan ini dicetuskan oleh tindak balas yang berkaitan dengan antibodi (IgE). Alergen yang dikenalpasti bertanggungjawab terhadap kebanyakan alahan gandum adalah globulin dan glutenin iaitu dua daripada 4 pecahan protein gandum. [9]
Simptom-simptom alahan ini akan terbentuk dalam masa 2 jam selepas gandum ini dimakan. Antara simptom-simptom yang boleh berlaku adalah:
- Ruam kulit yang gatal dengan tompok-tompok merah
- Bengkak muka, bibir, lidah dan disekitar mata
- Sesak nafas
- Loya
- Sakit perut
- Anafilaksis
8. Alahan Soya
Alahan soya juga adalah jenis alahan makanan yang sering berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Secara umumnya, kira-kira 50% kanak-kanak akan mengatasi alahan mereka terhadap soya selepas umur 7 tahun. [10]
Alahan soya boleh berkaitan dengan perantara antibodi (IgE), tanpa perantara antibodi (non-IgE) atau gabungan kedua-duanya. [11]
Simptom-simptom alahan soya adalah seperti :
- Gatal-gatal dimulut
- Ruam kulit yang gatal dengan tompok-tompok merah
- Bengkak muka, bibir, lidah dan disekitar mata
- Loya atau muntah
- Sakit perut
- Sembelit
- Cirit-birit
- Radang pada kulit (dermatitis atau alahan kulit)
- Anafilaksis
Kanak-kanak yang menghidap alahan soya harus menjauhi atau mengelak daripada makan makanan atau produk mengandungi kacang soya, susu soya atau kicap.
9. Alahan Bijan
Alahan bijan merupakan alahan yang menunjukkan peningkatan, terutamanya dalam kalangan rakyat di negara maju.
Data menunjukkan bahawa alahan bijan memberi kesan kepada kira-kira 0.1% daripada populasi Amerika Utara dan merupakan makanan utama yang menyebabkan anafilaksis di Timur Tengah. [10]
Alahan bijan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa. Antara simptom-simptom atau gejala yang mungkin dialami adalah:
- Gatal-gatal
- Ruam
- Bengkak di bibir atau lidah
- Sukar untuk menelan
- Suara menjadi serak
- Gatal dalam mulut
- Rasa sesemut di mulut atau kerongkong
- Hidung tersumbat
- Batuk-batuk
- Berdehit
- Sakit perut
- Cirit-birit
- Loya
- Muntah-muntah
Bagi kes-kes yang teruk, tindak balas anafilaksis mungkin berlaku. Sekiranya berlakunya anafilaksis, pesakit mesti diberikan rawatan kecemasan kerana ia boleh membahayakan nyawa.
Antara simptom-simptom anafilaksis adalah:
- Sesak nafas
- Sakit dada
- Deyutan jantung menjadi laju
- Pengsan atau pening (kelihatan pucat)
- Tekanan darah rendah
- Bengkak dalam kerongkong
Alahan Makanan Yang Lain
Selain 9 jenis alahan makanan ini, terdapat juga beberapa alahan makanan yang lain tetapi sangat jarang-jarang berlaku.
Antara makanan lain yang boleh menyebabkan alahan ialah:
- Strawberi
- Pisang
- Avokado
- Buah kiwi
- Buah markisa
- Buah Pic
- Saderi
- Bawang putih
- Biji sawi
Rumusan
Dibanyak kawasan, alahan susu lembu dan telur adalah paling lazim berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Makanan laut, kacang dan kacang tanah pula adalah penyumbang kepada alahan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah dan kanak-kanak yang lebih besar.
Di negara Asia, alahan makanan laut adalah lebih kerap berlaku berbanding alahan kacang dan kacang tanah.
Rujukan
- Flom, J. D., & Sicherer, S. H. (2019). Epidemiology of Cow’s Milk Allergy. Nutrients.
- Savage, J. H., et al. (2007). The natural history of egg allergy. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Caubet, J. C., & Wang, J. (2011). Current understanding of egg allergy. Pediatric clinics of North America.
- Prescott, S.L., et al.(2013). A global survey of changing patterns of food allergy burden in children. World Allergy Organ J.
- Lopata, A. L., et al. (2010). Shellfish allergy. Clinical and experimental allergy : journal of the British Society for Allergy and Clinical Immunology.
- Al-Ahmed, N., et al. (2008). Peanut allergy: an overview. Allergy, asthma, and clinical immunology : official journal of the Canadian Society of Allergy and Clinical Immunology.
- Byrne, A. M., et al. (2010). How do we know when peanut and tree nut allergy have resolved, and how do we keep it resolved?. Clinical and experimental allergy : journal of the British Society for Allergy and Clinical Immunology.
- Mourad, A. A., & Bahna, S. L. (2015). Fish-allergic patients may be able to eat fish. Expert review of clinical immunology.
- Ricci, G., et al. (2019). Wheat Allergy in Children: A Comprehensive Update. Medicina (Kaunas, Lithuania).
- Savage, J. H., et al. (2010). The natural history of soy allergy. The Journal of allergy and clinical immunology.
- Kattan, J. D., et al. (2011). Milk and soy allergy. Pediatric clinics of North America.