Penyakit seliak ialah penyakit imun yang menyebabkan penghidapnya tidak boleh makan makanan yang mengandungi gluten kerana ia boleh merosakkan usus kecil mereka. Sekiranya anda menghidap penyakit ini dan termakan atau makan makanan yang mengandungi gluten, sistem imun badan akan bertindak balas dengan merosakkan usus kecil anda.
Lama-kelamaan, akibat tindakan sistem imun yang merosakkan lapisan usus kecil ini. Ia akan menyebabkan usus kecil tidak dapat untuk menyerap sesetengah nutrien seterusnya membawa kepada terjadinya malserapan (malabsorption).
Bagi kanak-kanak, malserapan boleh mengganggu pertumbuhan dan perkembangan mereka. Sekiranya malserapan ini berlaku secara berpanjangan (kronik), maka ia boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami tumbesaran yang perlahan, tulang yang rapuh, sakit perut yang berpanjangan dan lain-lain lagi.
Gluten ialah protein yang boleh didapati dalam gandum, barli, rai dan oat. Selain itu, terdapat juga produk-produk yang mungkin menggunakan gluten seperti vitamin dan suplemen, produk kulit dan rambut, ubat gigi dan balsam bibir.
Penyakit seliak ini tidak mempunyai penawar. Tetapi rawatan dan diet bebas gluten boleh membantu menghilangkan simptom dan menggalakkan penyembuhan usus.
Simptom-simptom Penyakit Seliak
Simptom-simptom penyakit ini boleh sangat berbeza-beza bagi setiap individu. Gejala dan simptom ini berbeza bagi kanak-kanak dan orang dewasa.
Gejala-gejala dan Simptom bagi Orang Dewasa
Bagi orang dewasa, simptom-simptom penyakit ini adalah:
- Cirit-birit
- Kelesuan
- Hilang berat badan
- Kembung perut
- Sakit perut
- Loya dan muntah
- Sembelit
- Pedih ulu hati
Walau bagaimanapun, terdapat juga mereka yang menghidap penyakit ini mengalami gejala dan simptom yang tidak berkaitan dengan sistem penghadaman. Antaranya adalah:
- Sakit tulang atau sendi
- Kemurungan atau keresahan
- Ruam gatal dan lepuh (dermatitis herpetiformis)
- Sakit kepala
- Masalah keseimbangan
- Sawan
- Kecederaan sistem saraf termasuklah kebas atau sesemut di tangan dan kaki
- Ketidaksuburan bagi wanita
- Ketidaksuburan bagi lelaki
- Haid datang lambat
- Keguguran yang berulang-ulang
- Ulser dalam mulut
- Mulut kering
Gejala-gejala dan Simptom bagi Kanak-kanak
Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan lebih cenderung untuk mengalami simptom-simptom berkaitan dengan sistem penghadaman berbanding orang dewasa. Simptom-simptom yang boleh berlaku adalah:
- Kembung perut
- Cirit-birit yang kronik (berpanjangan)
- Sembelit
- Tak tolerans laktosa
- Loya dan muntah
- Sakit di bahagian perut
- Najis berbau busuk,besar, bergris dan longgar
Bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit seliak, malnutrisi boleh menyebabkan kanak-kanak ini mengalami:
- Lambat baligh
- Kerosakan pada enamel gigi
- Mempunyai berat badan yang rendah berbanding usia
- Perubahan emosi atau tidak sabar
- Pertumbuhan perlahan dan pendek
- Hilang atau turun berat badan
Punca Penyakit Seliak
Para pengkaji percaya penyakit seliak berpunca daripada genetik dan akibat makan makanan yang mengandungi gluten.
Selain itu, terdapat juga beberapa faktor lain yang meningkatkan risiko seseorang itu membentuk penyakit seliak ini. Contohnya, sekiranya seseorang itu mengalami banyak jangkitan pada usia muda atau mengalami jangkitan pada saluran usus.
Pakar juga percaya bahawa perubahan bakteria dalam saluran usus yang membantu penghadaman juga boleh menyumbang kepada pembentukan penyakit ini.
Faktor Risiko
Beberapa golongan ini juga berisiko untuk menghidap penyakit ini:
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit seliak atau dermatitis herpetiformis
- Menghidap diabetes jenis 1
- Menghidap sindrom Down atau sindrom Turner
- Penyakit tiroid
- Kolitis mikroskopik
- Penyakit Addison
- Artritis reumatoid
Komplikasi
Sekiranya penyakit seliak ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Malnutrisi.
- Lemah tulang atau osteoporosis
- Ketidaksuburan atau keguguran
- Kanser
- Masalah sistem saraf
- Tak tolerans laktosa
Rawatan
Rawatan terbaik bagi penyakit ini ialah dengan mengamalkan diet bebas gluten yang ketat.
1. Hindari Makanan atau Produk Bergluten
Gluten adalah protein yang boleh dijumpai secara semulajadi dalam bijirin seperti gandum, barli, rai dan oat. Selain itu, gluten turut ditambah dalam banyak makanan dan produk lain.
Contohnya seperti:
- malt
- bir
- bijian
- biskut
- pasta atau mi
- sos atau kuah
- kek
- penkek
- roti canai
- kuih-muih
- sup
Selain itu, penghidap penyakit ini juga harus membaca label-label produk secara berhati-hati kerana berkemungkinan besar mengandungi gluten. Antaranya:
- kentang goreng
- kicap
- kerepek kentang
- gula-gula
- kuah salad (salad dressing)
- daging proses dan sosej
- daging atau makanan laut tiruan
- aiskrim
Gluten juga mungkin tersembunyi dalam makanan, ubat-ubatan dan produk bukan makanan seperti berikut:
- Pengawet atau penstabil makanan
- Ubat belian kaunter
- Suplemen
- Produk gincu
- Ubat gigi dan ubat kumur
- Gam
- Doh mainan
2. Suplemen Vitamin dan Mineral
Sekiranya penghidap penyakit ini mengalami kekurangan nutrisi atau darah, doktor mungkin akan menyarankan suplemen seperti:
- Vitamin D
- Vitamin K
- Vitamin B12
- Folat
- Zink
- Zat besi
- Tembaga
3. Ubat-ubatan Untuk Keradangan Usus
Sekiranya usus pesakit mengalami kerosakan teruk atau penyakit seliak yang tidak terkawal atau berulang, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan steroid untuk mengawal keradangan.
Ubat-ubatan ini boleh membantu mengurangkan keterukan gejala atau simptom penyakit seliak dan membantu menyembuhkan usus.
Antara ubat-ubatan steroid mungkin diberikan adalah:
- Azathioprine
- Budesonide
4. Dermatitis Herpetiformis
Dermatitis herpetiformis ialah keradangan kulit yang menyebabkan ruam yang berlepuh dan gatal yang terbentuk di kawasan siku, lutut, punggung, belakang badan atau di kulit kepala.
Dianggarkan kira-kira 2-3% kanak-kanak dan 10-20% orang dewasa mengalami dermatitis herpetiformis sekiranya penyakit seliak mereka tidak dirawat.
Ruam atau radang kulit ini akan sembuh apabila pesakit mengamalkan diet bebas gluten dan boleh kembali sekiranya pesakit makan makanan yang mengandungi gluten.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anda mengalami cirit-birit atau masalah penghadaman yang melebihi 2 minggu.
Dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya anak anda kelihatan pucat, tidak membesar, memiliki perut buncit dan najisnya berbau busuk dan besar.
Penyakit seliak boleh berlaku berpunca daripada keturunan. Dapatkan diagnosa daripada doktor sekiranya ada ahli keluarga yang menunjukkan simptom-simptom penyakit ini.
Rujukan
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. (2020). Symptoms & Causes of Celiac Disease [diakses pada 9 Mac 2021].
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Disease. (2020). Treatment for Celiac Disease [diakses pada 9 Mac 2021].
- Mayo Clinic Staff. (2020). Celiac disease. MayoClinic [diakses pada 9 Mac 2020].