Sembelit ialah keadaan dimana anda membuang air besar kurang daripada 3 kali seminggu. Sembelit boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menganggu aktiviti harian kita. Untuk mengelakkan terjadinya sembelit, di sini kami kongsikan minuman dan makanan yang boleh menyebabkan sembelit.
Sembelit boleh disebabkan oleh banyak faktor. Antaranya ialah pemakanan yang rendah serat diet, kurang minum air, gaya hidup yang banyak duduk, sindrom usus iritabel (IBS) dan lain-lain lagi.
Sesetengah makanan boleh melegakan sembelit namun ada juga makanan yang boleh menyebabkan kepada sembelit.
Berikut merupakan beberapa minuman dan makanan yang boleh menyebabkan masalah sembelit.
1. Bijian yang Diproses
Bijian yang diproses dan produk yang dihasilkan daripadanya seperti roti putih, pasta putih dan nasi putih rendah dengan kandungan serat. Makanan jenis ini boleh memburukkan lagi sembelit.
Banyak kajian yang mengaitkan pengambilan serat yang tinggi boleh mengurangkan risiko sembelit. [1, 2]
Maka, mereka yang mengalami sembelit akan beroleh manfaat dengan mengantikan makanan berasaskan bijian diproses dengan bijian penuh.
Walaupun serat yang lebih bermanfaat kepada kebanyakan orang, namun ada juga mereka yang mendapat kesan sebaliknya. Bagi mereka, serat yang berlebihan akan memburukkan lagi sembelit. [3]
2. Makanan yang Mengandungi Gluten
Gluten ialah protein yang boleh dijumpai dalam bijian seperti gandum dan barli.
Sesetengah orang mengalami sembelit apabila makan makanan yang mengandungi gluten. [4]
Golongan ini mempunyai masalah yang dikenali sebagai intolerans gluten atau penyakit seliak.
Apabila seseorang dengan penyakit ini makan makanan yang mengandungi gluten, sistem imunnya menyerang dan mencederakan usus mereka. Oleh itu, mereka ini harus mengikuti diet bebas gluten. [5]
3. Alkohol (Arak)
Arak juga antara minuman atau makanan yang menyebabkan sembelit.
Arak boleh menyebabkan dehidrasi dengan meningkatkan jumlah air atau bendalir keluar melalui air kencing.
Kehilangan air yang banyak atau kurang minum air boleh meningkatkan risiko sembelit. [6]
4. Susu atau Produk Tenusu
Bagi sesetengah orang, produk tenusu juga boleh menyebabkan sembelit.
Bayi dan kanak-kanak adalah antara mereka yang senang terdedah kepada sembelit kemungkinan akibat sensitif terhadap protein yang terdapat dalam susu lembu.
Selain boleh menyebabkan alahan susu lembu, susu lembu juga boleh menyebabkan sembelit kronik dalam kalangan kanak-kanak. [7]
5. Daging Merah
Daging merah boleh menyebabkan sembelit kerana daging merah mengandungi lemak yang agak tinggi. Makanan yang tinggi lemak mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam.
Selain itu, daging merah juga rendah dengan serat dan secara tidak langsung menyebabkan seseorang itu kurang mengambil makanan berasaskan serat.
Senario ini akan menyebabkan pengambilan serat diet yang rendah dalam menu harian seterusnya meningkatkan risiko mengalami sembelit. [8]
6. Makanan Segera dan Bergoreng
Makan makanan ringan pada kuantiti yang banyak boleh menyumbang kepada sembelit.
Hal ini demikian kerana makanan jenis ini kebiasaannya tinggi dengan lemak dan rendah dengan serat. Kombinasi yang boleh melambatkan proses penghadaman.
Ramai juga yang percaya coklat adalah salah satu penyebab sembelit kepada mereka.
Makanan ringan juga selalunya tinggi dengan kandungan garam. Garam akan menyebabkan najis kurang kandungan air dan kering. Seterusnya menyebabkan najis ini sukar untuk disingkirkan.
7. Buah Pisang Kaki
Buah pisang kaki atau dalam bahasa inggerisnya dikenali sebagai persimmon adalah buah yang agak popular di Asia.
Terdapat banyak jenis buah ini, ada yang manis dan ada yang kelat.
Pisang kaki yang kelat mengandungi jumlah tanin yang tinggi. Tanin dipercayai mengurangkan perembesan dan pengecutan usus seterusnya memperlahankan pergerakan dalam usus.
Keadaan ini akan membawa kepada sembelit. Oleh sebab itu, sekirannya diambil pada jumlah yang banyak, pisang kaki boleh menyebabkan sembelit terutamanya yang rasanya kelat.
Rumusan
Walaupun sembelit itu adalah perkara normal, namun ia menyebabkan rasa tidak selesa.
Oleh itu, pengambilan makanan yang sesuai dan seimbang dapat mengurangkan risiko daripada terkena sembelit.
Sekiranya anda mudah untuk mengalami sembelit, jauhi makanan yang menyebabkan sembelit seperti yang disenaraikan.
Rujukan
- Bae S. H. (2014). Diets for constipation. Pediatric gastroenterology, hepatology & nutrition.
- Abdullah, M. M. et al (2015). Dietary fibre intakes and reduction in functional constipation rates among Canadian adults: a cost-of-illness analysis. Food & nutrition research.
- Ho, K. S. et al. (2012). Stopping or reducing dietary fiber intake reduces constipation and its associated symptoms. World journal of gastroenterology.
- Saturni, L. et al. (2010). The gluten-free diet: safety and nutritional quality. Nutrients.
- Barker, J. M., & Liu, E. (2008). Celiac disease: pathophysiology, clinical manifestations, and associated autoimmune conditions. Advances in pediatrics.
- Boilesen, S. N. et al. (2017). Water and fluid intake in the prevention and treatment of functional constipation in children and adolescents: is there evidence?. Jornal de pediatria.
- Crowley, E. T. et al. (2013). Does milk cause constipation? A crossover dietary trial. Nutrients.
- Abdullah, M. M. et al. (2015). Dietary fibre intakes and reduction in functional constipation rates among Canadian adults: a cost-of-illness analysis. Food & nutrition research.