Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan media mendedahkan bahawa pihaknya akan mengukuhkan aktiviti survelan dan advokasi berkaitan mpox susulan pengisytiharan bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emergency of International Concern – PHEIC).
Pengumuman kedua oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos 2024 adalah pengumuman yang kedua dibuat selepas pengumuman pertama pada 23 Julai 2023 lalu.
Pengisytiharan ini dibuat berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR dengan menekankan penularan strain mpox baharu iaitu clade 1b.
Strain ini dilaporkan menular dengan lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara-negara jiran di rantau Afrika.
Peningkatan kes di DRC amat ketara dengan lebih 15,000 kes dan 537 kematian telah dilaporkan pada tahun 2024, melebihi jumlah pada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, pihak KKM mengambil beberapa langkah pengukuhan seperti berikut:
- Meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa di mana individu dari negara-negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri selama 21 hari dari tarikh ketibaan.
- Menasihatkan individu berisiko yang mengalami gejala seperti ruam dan lepuh untuk segera menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan.
- Memastikan semua pengamal perubatan untuk menotifikasikan kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah.
- Memastikan makmal pengujian dan diagnostik sentiasa bersedia.
- Mempertingkatkan aktiviti kesedaran mpox.
- Memastikan premis-premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.
Apa itu MPOX?
Mpox ialah virus yang tersebar kepada manusia daripada haiwan, terutamanya ditemui di Afrika Tengah dan Barat. Virus ini mula dikenal pasti dalam monyet makmal pada tahun 1958, oleh itu nama asalnya “monkeypox” atau cacar monyet.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2022, WHO secara rasmi menamakan semula penyakit itu kepada “Mpox” untuk mengelakkan stigmatisasi dan sebagai tindak balas kepada kebimbangan daripada pelbagai pihak berkepentingan tentang implikasi yang berpotensi mengelirukan dan diskriminasi nama sebelumnya.
Apa itu Pengisytiharan PHEIC?
Pengisytiharan PHEIC ialah tahap amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan oleh WHO dan hanya digunakan untuk acara yang menimbulkan risiko besar kepada kesihatan awam antarabangsa.
Keputusan untuk mengisytiharkan Mpox sebagai PHEIC didorong oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan mendadak dalam kes yang dilaporkan di seluruh dunia, penyebaran virus ke negara yang tidak pernah mengalami wabak sebelum ini, dan keperluan untuk tindak balas antarabangsa yang diselaraskan.