Apa itu Cacar Monyet?
Cacar monyet ialah penyakit jarang jumpa yang disebabkan oleh virus cacar monyet. Penyakit ini menyebabkan gejala-gejala seperti ruam dan demam selesema.
Cacar monyet bukanlah penyakit baru. Ia pertama kalinya dijumpai dalam monyet pada 1958. Namun, jangkitan pertama terhadap manusia ditemui pada tahun 1970 dalam kanak-kanak kecil di Republik Demokratik Congo.
Selama beberapa dekad, penyakit ini kebanyakannya dilihat di Afrika. Walau bagaimanapun, ia kadang-kadang ditemui di negara lain, termasuk Amerika Syarikat. Pada musim bunga tahun 2003, wabak pertama cacar monyet di luar Afrika berlaku di Amerika Syarikat. Pada tahun 2022, wabak cacar monyet telah berlaku di luar Afrika termasuklah di Eropah, Amerika dan Australia.
Siapa yang Boleh Dijangkiti?
Sesiapa sahaja boleh terkena penyakit ini. Di Afrika, kebanyakan kes adalah dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di bawah 15 tahun.
Di luar Afrika, penyakit ini didapati berjangkit antara lelaki homoseks (gay) yang melakukan hubungan sejenis.
Cacar monyet merebak apabila anda bersentuhan dengan haiwan atau orang yang dijangkiti virus tersebut. Penularan haiwan ke manusia berlaku melalui kulit yang pecah, seperti dari gigitan atau calar, atau melalui sentuhan langsung dengan darah haiwan yang dijangkiti, cecair badan atau luka cacar (luka).
Tanda-tanda dan Gejala Cacar Monyet
Selepas pendedahan, tanda-tanda dan gejala mungkin mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu sebelum ia muncul. Tanda-tanda dan gejala awal adalah seperti:
- Demam
- Mengigil
- Sakit kepala
- Keletihan
- Bengkak nodus limfa
Selepas beberapa hari, biasanya ruam akan terbentuk. Ruam tersebut akan bermula sebagai benjolan merah dan rata yang mungkin menyakitkan. Benjolan itu bertukar menjadi lepuh, yang dipenuhi dengan nanah.
Akhirnya, lepuh akan berkerak dan luruh. Keseluruhan proses ini boleh berlangsung selama 2 hingga 4 minggu. Anda juga boleh mendapat luka di mulut, faraj atau dubur.
Berdasarkan wabak baru-baru ini, doktor telah mendapati beberapa gejala baru yang tidak sepadan dengan tanda-tanda atau gejala yang biasa.
Antara gejala-gejala baru tersebut adalah:
- Ruam yang menyakitkan yang bermula di kawasan kemaluan atau dubur
- Benjolan yang lebih sedikit
- Benjolan kelihatan seperti lepuh, benjolan berisi nanah atau luka terbuka
- Benjolan berada pada peringkat yang berbeza walaupun dikawasan yang sama
- Sesetengah orang mungkin tidak demam atau selesema sebelum berlakunya ruam. Sesetengah orang tidak demam langsung.
Punca atau Penyebab
Cacar monyet berpunca daripada jangkitan virus cacar monyet. Virus ini adalah daripada genus Orthopoxvirus dalam keluarga Poxviridae.
Terdapat dua jenis virus cacar monyet yang diketahui. Satu berasal dari Tengah Afrika dan satu lagi berasal dari Barat Afrika. Wabak yang berlaku sekarang (2022) adalah disebabkan oleh virus jenis Barat Afrika yang kurang teruk.
Rawatan
Cacar monyet biasanya merupakan penyakit yang terhad dengan gejala yang berlarutan dari 2 hingga 4 minggu. Kebanyakan penghidap penyakit ini bertambah baik dengan sendirinya tanpa rawatan.
Selepas diagnosis, doktor anda akan memantau keadaan anda dan cuba melegakan gejala-gejala anda, mencegah dehidrasi dan memberi anda antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria sekunder jika ia berlaku.
Pada masa ini tiada rawatan antivirus yang diluluskan untuk penyakit ini. Ubat antiviral mungkin membantu, tetapi ia belum dikaji sebagai rawatan untuk cacar monyet.
Untuk mengawal wabak, doktor boleh beralih kepada ubat antivirus dan vaccinia gamma globulin (diperbuat daripada darah orang yang baru diberi vaksin cacar) serta vaksin cacar.
Langkah-langkah Pencegahan
Vaksin cacar didapati boleh melindungi terhadap penyakit cacar monyet ini tetapi penggunaannya pada masa ini terhad kepada ujian klinikal.
Pencegahan bergantung kepada pengurangan hubungan manusia dengan haiwan yang dijangkiti dan mengehadkan penyebaran antara manusia ke manusia.
Cara terbaik untuk membantu mencegah penyebaran virus ini adalah dengan:
- Elakkan sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti.
- Elakkan sentuhan dengan tilam atau bahan yang telah tercemar dengan virus.
- Masak dengan teliti semua makanan yang mengandungi daging atau bahagian haiwan.
- Basuh tangan dengan kerap dengan sabun dan air.
- Elakkan sentuhan dengan orang yang mungkin dijangkiti virus.
- Amalkan seks selamat, termasuk penggunaan kondom.
- Pakai topeng yang menutup mulut dan hidung apabila berada di sekeliling orang lain.
- Bersihkan dan menyahjangkit permukaan yang kerap disentuh.
- Gunakan peralatan pelindung diri (PPE) semasa menjaga orang yang dijangkiti virus.
Rujukan
- Centers for Disease Control and Prevention. About Monkeypox.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Monkeypox. Cleveland Clinic
- Sreevivas, S. (2022). Monkeypox: What to Know. WebMD