Sebanyak 31 kes mpox atau cacar monyet disyaki di Malaysia sehingga hari ini dengan 25 kes telah disahkan negatif manakala 6 kes lagi masih dalam pemantauan.
Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes mpox di Malaysia kekal 9 kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan kes terakhir pada November 2023.
“Dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes mpox,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Dzulkefly turut berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah segera dengan memperkukuhkan saringan di pintu masuk negara dan mengaktifkan 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan susulan peningkatan kes di negara jiran seperti Thailand dan Singapura.
“Bukan hanya dua negara ini (Thailand dan Singapura) tetapi juga pengunjung yang datang dari negara-negara lain terutamanya dari benua Afrika.
“Kami juga menghantar lebih banyak dan kerap pekeliling dalam kalangan kemudahan kesihatan kami, kedua-dua awam dan swasta,” katanya.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.