Apa itu Ulser Mulut?
Ulser mulut ialah luka yang terbentuk pada tisu lembut yang melapik gusi, lidah, dalam pipi, bibir atau lelangit.
Ulser mulut turut dipanggil luka kanker yang kadang-kadang terbentuk di lidah yang menyebabkan ulser lidah. Ulser-ulser ini biasanya berwarna putih, kuning atau merah dan ia agak menyakitkan terutamanya ketika anda makan.
Ulser ini boleh muncul secara individu atau seseorang mungkin mengalami antara dua dan empat pada satu masa.

Walaupun ulser ini menyakitkan, ulser tersebut biasanya sembuh sendiri dan tidak menyebabkan sebarang masalah.
Sesetengah orang mendapat ulser mulut sekali lagi hanya beberapa minggu kemudian, manakala yang lain mungkin mendapatnya beberapa bulan atau tahun kemudian.
Tanda-tanda atau Gejala
Gejala-gejala utama bagi ulser mulut ialah rasa sakit.
Seterusnya anda boleh melihat tanda luka (ulser) yang muncul pada bibir, gusi, lidah, dalam pipi atau lelangit anda.
Ulser mulut biasanya berwarna putih, kuning atau kelabu di tengah dan dikelilingi tepian berwarna merah.
Tanda-tanda atau gejala lain adalah seperti:
- Bengkak di sekeliling ulser tersebut
- Rasa pedih semasa memberus gigi
- Rasa semakin sakit apabila memakan makanan pedas, masin atau masam
Apakah Punca Ulser Mulut?
Punca sebenar ulser mulut tidak diketahui. Tetapi terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada berlakunya ulser ini:
- Tergigit lidah atau pipi
- Tindak balas alahan terhadap bakteria tertentu
- Kecederaan tisu akibat daripada kerja-kerja pergigian seperti menutup kaviti
- Memakai pendakap gigi
- Kekurangan vitamin
- Makan terlalu banyak makanan berasid
- Perubahan hormon semasa haid
- Stres (tekanan)
- Kurang tidur
- Menggunakan ubat gigi yang kasar
- Jangkitan bakteria,virus atau kulat
Siapakah Golongan Berisiko Mengalami Ulser Mulut?
Ulser ini boleh berlaku kepada semua orang tidak mengira umur. Selalunya, ulser mulut ini menyebabkan ketidakselesaan dan tidak berbahaya.
Walaupun pada asasnya ulser mulut dianggap tidak berbahaya, tetapi ia boleh juga dikaitkan dengan masalah kesihatan yang serius seperti:
- Gangguan imun
- Diabetes
- Penyakit seliak
- Penyakit usus inflamasi
- Penyakit Behcet
- HIV dan AIDS
Adakah Ulser Mulut Berjangkit?
Tidak. Ulser mulut tidak berjangkit seperti lepuh sejuk. Ulser mulut tidak berjangkit melalui ciuaman atau berkongsi makanan.
Rawatan
Lazimnya, ulser mulut akan sembuh dengan sendirinya.
Rawatan topikal mungkin dipreskribkan untuk mengurangkan ketidakselesaan dan mengurangkan risiko komplikasi. Rawatan ulser mulut yang biasa termasuk gel antiseptik, salap steroid atau ubat kumur.
Bagi kes yang teruk, rawatan menggunakan imunosupresan mungkin dipreskribkan.
Rawatan Di Rumah
Terdapat juga beberapa rawatan di rumah yang boleh dilakukan untuk melegakan ketidakselesaan yang berlaku dan membantu mempercepatkan ulser ini untuk sembuh.
Antaranya adalah:
- Minum banyak air
- Berkumur dengan air garam beberapa kali sehari
- Elakkan makanan panas dan pedas sehingga ulser tersebut sembuh
- Amalkan kebersihan mulut
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2021). Mouth Ulcer. Cleveland Clinic
- Johnson,J. (2021). What to know about tongue ulcers. MedicalNewsToday
- InformedHealth.org [Internet]. Cologne, Germany: Institute for Quality and Efficiency in Health Care (IQWiG); 2006-. Canker sores (mouth ulcers): Overview. 2019 Aug 15. Available from: NCBI