Gigi berlubang sudah semestinya boleh menyebabkan rasa sakit dan tidak selesa dalam mulut anda. Cara terbaik untuk menghilangkan atau melegakan rasa sakit gigi berlubang adalah dengan menampal, terapi kanal akar atau mencabutnya (jika pereputan sudah di tahap yang teruk).
Namun begitu, ia perlu dilakukan di klinik gigi oleh doktor gigi. Sementara itu, anda boleh menghilangkan rasa sakit gigi berlubang tersebut buat sementara waktu di rumah menggunakan beberapa petua yang dinyatakan dalam artikel ini.
Bagaimana Gigi Berlubang Terjadi?
Gigi berlubang atau turut dikenali sebagai kaviti terjadi apabila asid di dalam mulut menghakis lapisan luar gigi yang dikenali sebagai enamel.
Asid ini terhasil daripada bakteria yang berada di dalam mulut anda. Bakteria ini menghadam gula daripada makanan dan minuman yang anda makan.
Bakteria, asid, makanan dan air liur akan bercampur membentuk plak yang menyaluti gigi. Asid di dalam plak tersebut akan menghakis enamel gigi secara perlahan-lahan dan lama-kelamaan, pereputan boleh berlaku di dalam enamel.
Lubang-lubang yang terbentuk pada enamel dipanggil kaviti atau gigi berlubang.
Tanda-tanda Gigi Berlubang
Kerosakan gigi pada permukaan enamel biasanya tidak menyebabkan kesakitan atau gejala.
Anda mungkin mengalami gejala atau tanda apabila pereputan menjangkau melebihi enamel ke bahagian dalam gigi yang dikenali sebagai dentin dan pulpa.
Antara tanda-tanda atau gejala gigi berlubang adalah:
- Nafas berbau (halitosis)
- Rasa yang tidak enak dalam mulut
- Gusi berdarah
- Gusi bengkak dan merah
- Sakit gigi atau sakit mulut
- Gigi sensitif kepada minuman atau makanan sejuk atau panas
- Muka bengkak
Cara Menghilangkan Sakit Gigi Berlubang
Gigi berlubang tidak dapat pulih dengan sendirinya, ia akan bertambah teruk sehingga anda mendapatkan rawatan yang betul daripada doktor gigi.
Apabila pereputan gigi menjadi semakin teruk, anda mungkin mengalami sakit gigi dan kepekaan yang lebih tinggi di dalam mulut.
Pada masa ini cuba untuk tidak mengunyah di sekitar kawasan yang terjejas. Makan makanan yang lembut seperti telur dan yogurt; elakkan gula-gula dan makanan yang sangat panas atau sangat sejuk.
Bagi menghilangkan sakit gigi berlubang buat sementara waktu, anda boleh melakukan perkara berikut:
1. Berkumur dengan Air Garam
Air garam boleh melonggarkan serpihan di antara gigi anda, bertindak sebagai pembasmi kuman dan mengurangkan keradangan. [1]
Kacau setengah sudu teh garam ke dalam segelas air suam dan berkumur dengan air tersebut.
2. Antiseptik (Hidrogen Peroksida 3%)
Berkumur dengan hidrogen peroksida (hydrogen peroxide) juga boleh membantu melegakan kesakitan dan keradangan. Selain membunuh bakteria, hidrogen peroksida boleh mengurangkan plak gigi. [2]
Cairkan hidrogen peroksida 3% dengan air mengikut nisbah 1:1 dan berkumur dengannya. Jangan telan cecair tersebut.
3. Ubat Tahan Sakit
Ubat tahan sakit atau ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti paracetamol (Penadol / Uphamol) atau ibuprofen boleh membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan.
4. Bunga Cengkih
Bunga cengkih sememangnya terkenal digunakan dalam merawat sakit gigi. Ia bertindak sebagai antiseptik semulajadi yang menghilangkan rasa sakit dan mengurangkan keradangan.
Cairkan minyak cengkih dengan minyak pembawa, seperti minyak bunga matahari atau jojoba. Gunakan nisbah kira-kira 15 titis minyak cengkih kepada 30ml minyak pembawa.
Kemudian, sapukan sedikit minyak yang telah dicairkan pada kapas dan sapukan ke kawasan yang terjejas beberapa kali sehari.
Anda juga boleh cuba mengigit bunga cengkih yang telah dibersihkan pada gigi yang berlubang.
Anda juga boleh menambah setitik minyak cengkih ke dalam segelas kecil air dan digunakan untuk berkumur.
5. Bawang Putih
Bawang putih terkenal dan diiktiraf kerana nilai-nilai perubatannya.
Bawang putih mempunyai sifat antibakteria. Ia bukan sahaja boleh membunuh bakteria berbahaya yang menyebabkan plak gigi, tetapi ia juga boleh bertindak sebagai penghilang rasa sakit. [3]
Untuk menggunakan bawang putih pada sakit gigi berlubang, hancurkan seulas bawang putih menjadi seperti pes dan sapukan pada kawasan yang terjejas. Anda boleh menambah sedikit garam.
Sebagai alternatif, anda boleh mengunyah seulas bawang putih segar secara perlahan-lahan.
Bolehkah Gigi Berlubang Dipulihkan Secara Semula Jadi?
Ya, pada peringkat awal, anda mungkin boleh menterbalikkan kaviti yang terbentuk.
Jika kaviti sangat kecil dan ia belum merebak melebihi enamel anda, maka anda mungkin boleh memineralkan semula gigi anda dengan rawatan fluorida dan menjaga kebersihan mulut dengan lebih baik.
Tetapi, jika gigi berlubang sudah menyebabkan kesakitan. Itu bermakna pereputan telah merebak ke lapisan yang lebih dalam pada gigi anda.
Pada peringkat ini, anda memerlukan doktor gigi untuk merawat gigi berlubang tersebut. Apabila segera dirawat, doktor gigi mungkin boleh menjalankan prosedur tampalan yang ringkas.
Namun, jika gigi berlubang itu lambat dirawat sehingga ia bertambah teruk. Anda mungkin memerlukan rawatan yang lebih mahal seperti terapi kanal akar (root canal), penggantian korona atau pencabutan gigi.
Rujukan
- Huynh, N. C. et al. (2016). Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro. PloS one.
- Rashed H. T. (2016). Evaluation of the effect of hydrogen peroxide as a mouthwash in comparison with chlorhexidine in chronic periodontitis patients: A clinical study. Journal of International Society of Preventive & Community Dentistry.
- Bayan, L. et al. (2014). Garlic: a review of potential therapeutic effects. Avicenna journal of phytomedicine.
- Cleveland Clinic medical professional. (2023). Cavities. Cleveland Clinic